Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
122) BAYARAN FI PENYELENGGARAAN FLAT
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah kes yang didakwa di mahkamah kerana tidak membayar fi penyelenggaraan bulanan?. Sila beri pecahan mengikut PBT untuk 3 tahun yang lepas?
Untuk makluman Y.B, pendakwaan bagi kesalahan kegagalan atau keengganan membayar caj penyenggaraan dan pengurusan di bawah seksyen 34 Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007 (Akta
663) telah dimulakan oleh Kerajaan Negeri melalui pegawai pendakwa di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) pada tahun 2012. Seksyen 377(b) Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) membenarkan pendakwaan jenayah dijalankan di mahkamah oleh mana-mana pegawai setelah Pendakwa Raya memberi kuasa untuk mendakwa secara bertulis.
Kes pendakwaan yang telah dibawa ke mahkamah bagi kesalahan di bawah seksyen 34 Akta 663 atau seksyen 34(3) Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) [mana-mana yang berkaitan], bermula dari tahun 2012 sehingga kini adalah sebanyak 631 kes bagi 11 PBT. Berikut dilampirkan senarai kes bagi 3 tahun yang lepas iaitu bagi tahun 2014, 2015 dan 2016 serta senarai PBT yang tersebut seperti di Lampiran A.
-
Berapa bilangan pegawai di setiap PBT dan di LPHS yang bertugas untuk tujuan ini?
Bagi meningkatkan penguatkuasaan bersepadu dan berkesan bagi pelaksanaan seksyen 34(3) Akta 757, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 6/2016 yang bersidang pada 17 Februari 2016 mengarahkan pelaksaan bagi penstrukturan semula organisasi Pesuruhjaya Bangunan (COB) di setiap PBT Negeri Selangor sebelum atau pada 31 Mac 2016 dengan menggunakan peruntukan PBT masing-masing, antara lain seperti berikut:
i- Membuat pertambahan perjawatan kontrak berpandukan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 2003 seperti berikut:
- Melantik Pegawai Undang-Undang Gred L41 kecuali Penolong Pegawai Undang-undang Gred L29 di Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Kuala Langat.
- Melantik Pegawai Penilaian W41 bagi kategori 1 (mengikut kesesuaian PBT).
- Melantik Penolong Pegawai Penilaian Gred W27 dengan jumlah maksimum 5 orang (mengikut kesesuaian kawasan zon utama di kawasan PBT).
- Memenuhi waran penjawatan sedia ada di Unit COB yang masih ada kekosongan jawatan
Berikut dilampirkan bilangan pegawai yang bertugas di Unit Pesuruhjaya Bangunan di setiap PBT dan di LPHS seperti di Lampiran B.