Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

70) BANTUAN RM 2 JUTA KEPADA PELAJAR MESIR

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kaedah yang diguna pakai untuk memastikan pembahagian secara adil kepada pelajar?

    Agihan pemberian Bantuan Khas Siswa Selangor kepada pelajar Mesir, Jordan dan Maghribi dibuat berdasarkan syarat dan prosedur yang telah diluluskan oleh Lembaga Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor. Hanya pelajar yang memenuhi semua syarat kelayakan dan mengemukakan permohonan rasmi dengan lengkap dipertimbangkan untuk bantuan ini. Bagi memastikan kesahihan maklumat pemohon, Urus Setia telah mendapatkan pengesahan daripada pihak Lembaga Zakat Selangor dan Pejabat Atase Pendidikan Selangor di Mesir.

  2. Apakah Kerajaan Negeri akan meneruskan bantuan ini untuk semester atau tahun akan datang?

    Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 14 Jun 2017 telah meluluskan pelaksanaan Program Khas Peduli Siswa Timur Tengah ini sebagai Dasar Baru dalam Belanjawan tahun 2018.

  3. Adakah YAB akan mencadangkan kepada LZS untuk menyambung semula tajaannya kepada pelajar-pelajar timur tengah?

    Sejak tahun 2003, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menyalurkan bantuan pendidikan di bawah asnaf fakir, miskin dan fisabilillah melalui Bantuan Dermasiswa Pelajar Luar Negara yang melanjutkan pengajian ke negara Timur Tengah. Bantuan ini disalurkan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Islam, Bahasa Arab, perubatan dengan kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Selangor.Namun begitu disebabkan faktor ketidaktentuan ekonomi, tumpuan pengagihan zakat  di Selangor kini memfokuskan kepada Maqasid Syariah berdasarkan keperluan dharuriyat (bantuan utama), hajiyyat (bantuan sekunder) dan tahsiniyat (bantuan pilihan). Ia memberi keutamaan bagi memenuhi keperluan asnaf asnaf utama iaitu fakir, miskin dan mualaf yang kian meningkat. Untuk makluman pada tahun 2016, LZS telah menyantuni seramai 45,600 ketua keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor dan jumlah ini bertambah setiap tahun.

    Justeru itu bermula tahun 2017, permohonan baru bagi Bantuan Dermasiswa Pelajar Luar Negara di bawah asnaf fisabilillah sahaja ditangguhkan sehingga ke satu masa yang ditetapkan. Bagaimanapun bagi pelajar sedia ada dan masih meneruskan pengajian, LZS komited untuk terus menyalurkan bantuan kepada mereka.

    Manakala permohonan Dermasiswa Pelajar Luar Negara di Mesir masih diteruskan bagi pelajar dalam kalangan asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS.

Lampiran

Tiada Lampiran.