Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

34) PROGRAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN PEMBASMIAN KEMISKINAN KAUM INDIA DAN PEKERJA LADANG

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa peratus belia, dewasa dan usia emas dalam golongan keluarga pekerja ladang?

    Untuk makluman Yang Berhormat Meru, Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang setakat ini tiada data khusus mengenai peratusan mengikut kategori dalam kalangan keluarga pekerja ladang. Jawatankuasa adalah berperanan dalam memfokuskan kebajikan keluarga pekerja ladang menerusi penganjuran program – program yang memberi manfaat ke atas setiap pekerja ladang dan keluarga mereka yang berteraskan kemahiran, pendidikan dan sosial.

  2. Apakah ada apa-apa perbincangan Kerajaan Selangor dan majikan bagi menambah baik taraf ekonomi, pendidikan dan sosial golongan ini?

    Setakat ini, Kerajaan Negeri belum mengadakan sebarang perbincangan bersama pemilik ladang di Negeri Selangor berhubung perancangan bagi menambah baik taraf ekonomi, pendidikan dan sosial golongan ini. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang telah melaksanakan beberapa penganjuran program di bawah Jawatankuasa yang menjurus kepada peningkatan tahap kemahiran, ekonomi dan sosial bukan sahaja di kalangan pekerja ladang, bahkan manfaat yang diberi juga tidak terkecuali kepada anak – anak mereka dalam bidang pendidikan untuk samasama menikmati faedah dari pelbagai aspek termasuk bantuan kewangan untuk meringankan bebanan mereka dalam mengharungi hidup sebagai golongan yang dianggap susah.

    Program Pendidikan Anak – anak Pekerja Ladang ditubuhkan khusus untuk memberi bantuan kewangan dalam aspek kebajikan dan pendidikan. Skim ini terbuka kepada seluruh anak – anak pekerja ladang di negeri Selangor yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Program-program yang dianjurkan adalah khusus untuk menjaga kebajikan pekerja ladang dalam meringankan bebanan yang ditanggung dalam kehidupan seharian.

    Antara program – program yang telah dilaksanakan di sepanjang tahun  khusus bagi tujuan tersebut adalah seperti berikut:

    i. Sumbangan Bantuan Subsidi Tambang Bus Sekolah

    Pemberian wang RM300.00 kepada setiap anak pekerja ladang yang layak mengikut kriteria permohonan bagi setiap tahun.

    ii. Bantuan Yuran Pengajian (IPTA/IPTS) di Malaysia

    Bantuan Yuran Pengajian maksima sebanyak RM5,000.00 setiap pelajar yang layak mengikut kriteria permohonan bagi satu jurusan bagi mengurangkan bebanan yuran pengajian anak – anak kepada ibu bapa.

    iii. Program Penyampaian Anugerah Kecemerlangan UjianPeperiksaan Sekolah Rendah (UPSR)

    Penyampaian anugerah adalah berdasarkan keputusan UPSR yang diperolehi oleh pelajar terbabit. Ia dilaksanakan sebagai penghargaan kepada anak – anak pekerja ladang yang telah berjaya dan secara tidak langsung kepada ibu bapa yang pekerja ladang.

    iv. Program – program Motivasi UPSR untuk anak pekerja ladang

    Program ini dianjurkan adalah sebagai satu langkah Kerajaan Negeri dalam memastikan anak-anak di Negeri Selangor khususnya anak pekerja ladang mendapat pendidikan yang sempurna. Program berbentuk seminar ini dilaksanakan khusus untuk membantu anak pekerja ladang yang akan mengambil peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai persediaan sebelum menghadapi peperiksaan dan teknik menjawab peperiksaan.

    Di bawah Jawatankuasa Pekerja Ladang, kami memandang serius akan pendidikan anak-anak pekerja ladang terutamanya dalam bidang pelajaran bagi membantu mereka untuk lebih maju dan bersaing dengan pelajar di luar sana. Program sebegini secara tidak langsung dapat meningkatkan mutu pendidikan anak pekerja ladang. Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengekalkan bantuanbantuan sedia ada yang dilaksanakan dan akan menambaik program-program tersebut dari masa ke semasa.

    Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang juga mengambil kira akan aktiviti sosial di kalangan pekerja ladang dengan menganjurkan beberapa bentuk program khusus kepada pekerja ladang di Negeri Selangor termasuklah program – program perayaan. Antara program yang dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang adalah seperti berikut :-

    • Perayaan Pesta Ponggal Peringkat Negeri Selangor
    • Perayaan Thaipusam Peringkat Negeri Selangor
    • Program Bersama Pemimpin-pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO) Dan Bekas Pekerja Ladang
    • Program Lawatan Turun Padang Jawatankuasa Tetap Pekerja ladang Bersama Pekerja-pekerja Ladang di Negeri Selangor
    • Program Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Selangor

    Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang telah banyak membantu pekerja ladang dalam meringankan beban dalam arus pemodenan yang semakin berkembang pesat. Pembangunan ekonomi di kalangan pekerja ladang merupakan teras kepada kehidupan yang lebih selesa dan terjamin di masa hadapan. Justeru itu, program – program yang telah dilaksanakan memberi tumpuan kepada pekerja ladang di Negeri Selangor dalam meningkatkan pendapatan sampingan mereka menerusi penganjuran program – program berbentuk kursus kemahiran jangka pendek seperti membuat kek dan coklat, kelas jahitan, kelas solekan, membaiki peralatan, membuat kraftangan serta ceramah dan taklimat yang membantu meningkatkan keyakinan dan semangat di kalangan pekerja ladang untuk terus maju dan berdaya saing. Program – program kemahiran seperti ini dilihat sedikit sebanyak dapat membantu para pekerja ladang mendalami asas – asas kemahiran ilmu yang boleh menjana pendapatan sampingan.

  3. Bagaimanakah status kediaman pekerja yang telah bersara?

    Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik persoalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Meru berhubung status kediaman bekas pekerja ladang di Negeri Selangor terutamanya yang telah bersara.

    Setakat ini, Kerajaan Negeri Selangor belum mempunyai program bantuan khusus untuk membantu bekas pekerja ladang yang telah bersara untuk mendapatkan rumah selepas mereka bersara.

    Namun begitu, Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang telah mengambil beberapa langkah dan inisiatif dalam menangani masalah perumahan ini dengan melaksanakan beberapa siri lawatan dan turun padang ke ladang – ladang di seluruh Negeri Selangor bagi mendapatkan maklum balas, pandangan dan permasalahan yang dihadapi oleh pekerja ladang berkenaan bagi membantu mendapatkan jalan penyelesaian yang terbaik berhubung pembangunan pekerja ladang agar dapat dimanfaatkan oleh semua pihak yang terlibat.

    Dalam membela nasib bekas pekerja ladang, kuasa Kerajaan Negeri adalah terhad namun melalui Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pemilik ladang bagi pembangunan kawasan perladangan khusus bagi bekas pekerja ladang dengan mengambil kira syarat – syarat yang ditetapkan oleh “Estate Land Board”. Kerajaan Negeri senantiasa berusaha menjaga nasib bekas pekerja ladang di ladang – ladang sebaik mungkin seperti berikut :

    • Ladang Bukit Rajah – Seramai 75 keluarga telah dibantu dalam memiliki rumah teres satu tingkat dengan harga diskaun di bawah portfolio Pekerja Ladang. Namun, hanya 65 keluarga sahaja berjaya menerima dan berpindah ke rumah yang baru. Manakala 10 keluarga lagi mengalami masalah pinjaman bank Selain itu juga, Portfolio Pekerja Ladang telah membantu mereka untuk mendapatkan tapak kuil dan dewan komuniti sebagai kemudahan kepada mereka.
    • Ladang Bangi – Seramai 22 orang bekas pekerja ladang telah dibantu bagi mendapatkan persetujuan oleh pemaju untuk menyediakan rumah kos rendah dan kos ditanggung oleh pemaju itu sendiri. Pihak pemaju dan pekerja ladang telah menandatangani perjanjian jual beli pada 30 Mei 2017 ;
    • Taman Permata Dengkil – Kerajaan Negeri telah membantu seramai 393 orang pekerja ladang mendapatkan tanah untuk pembinaan rumah teres. Pemgambilan tanah dari Sime Darby seluas 30 ekar yang diuruskan oleh Kerajaan Negeri tersebut telah menelan kos sebanyak RM12.14 juta dan telah diselesaikan oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor di mana tanah tersebut telah diserah kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melaksanakan kerja – kerja pembangunan.
    • Ladang Duneden – Seramai 22 orang pekerja ladang telah mendapat manfaat berdasarkan perbincangan bersama majikan dan mereka bersetuju untuk membina 22 buah rumah kepada pekerja ladang serta memberikan tapak rumah ibadat ; dan
    • Ladang Tumbok – Kerajaan Negeri telah berjaya membantu seramai 12 orang bekas pekerja ladang dalam memiliki rumah dan tapak rumah.
    • Ladang Semenyih –Kerajaan Negeri melalui perbincangan dengan majikan dan pemilik ladang berkenaan telah berjaya membantu mendapatkan rumah teres 2 tingkat dengan diskaun kepada 25 bekas pekerja ladang, tempat beribadat dan juga tapak Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) diperbesarkan. 
    • Ladang Dusun Durian – Kerajaan Negeri telah berjaya menyelesaikan pembatalan “Rezab Melayu” yang telah dijadikan sebagai tapak perumahan kepada bekas pekerja ladang 109 orang serta tempat beribadat.

    Walau bagaimanapun, bekas pekerja ladang yang telah bersara adalah tidak terkecuali untuk mendapatkan bantuan rumah di bawah Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin. Di bawah program ini, Kerajaan Negeri menyediakan bantuan bina baru rumah serta bantuan baikpulih rumah dengan tertakluk kepada syarat – syarat yang telah ditetapkan. Program ini adalah terbuka kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor. Melalui program ini, Kerajaan Negeri Selangor telah membantu beberapa bekas pekerja ladang yang mempunyai tanah di atas milik sendiri untuk membina sebuah rumah yang selesa untuk didiami selaras dengan syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan. Kerajaan Negeri Selangor amat menitikberatkan nasib bekas pekerja ladang kerana golongan ini dianggap terpinggir dan tumpuan lebih harus diberikan kepada mereka dalam memastikan kebajikan mereka dijaga.

Lampiran

Tiada Lampiran.