Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
33) PILIHANRAYA PENGERUSI JAWATANKUASA KEMAJUAN DAN KESELAMATAN KAMPUNG DI NEGERI SELANGOR
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Tuan Tan Pok Shyong
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sama ada pilihanraya ketua kampung di Kampung Bagan di Pulau Ketam, Kampung Baru Sungai Jarom dan Kampung Baru Pandamaran akan dijalankan pada tahun ini? Sekiranya ya, bila diadakan?
Projek Perintis Pemilihan Pengerusi JKKK Kg Baru/ Bagan/ Tersusun Negeri Selangor di tiga (3) buah kampung iaitu Kampung Baru Sungai Jarum, Kampung Baru Pandamaran dan Kampung Bagan Pulau Ketam telah diadakan pada September tahun 2013 dan keputusan pemilihan telah disahkan oleh Kerajaan Negeri pada 23 Oktober 2013. Perkhidmatan ketiga-tiga ketua kampung tersebut telah berkuat kuasa pada tarikh disahkan sehingga 22 Oktober 2017.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru bercadang untuk mendapatkan persetujuan dan kelulusan Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri agar tempoh perkhidmatan kesemua ketua kampung JKKK Kampung Baru/ Bagan/ Tersusun dilanjutkan sehingga Dewan Negeri (DUN) dibubarkan bagi tujuan Pilihan raya Umum (PRU) yang akan datang untuk memastikan tumpuan dan perkhidmatan kepada rakyat dapat diberikan dengan sepenuhnya.
-
Samada pilihanraya tersebut akan dijalankan di lebih kampung baru Cina di Negeri Selangor?
Kerajaan Negeri melihat pelaksanaan Projek Perintis Pemilihan Pengerusi JKKK Kg Baru/ Bagan/ Tersusun Negeri Selangor yang telah dilaksanakan di tiga (3) buah kampung, iaitu Kampung Baru Sungai Jarum, Kampung Baru Pandamaran dan Kampung Bagan Pulau Ketam adalah satu kejayaan di mana pemilihan ketua kampung ini juga telah mendapat sambutan yang amat baik daripada penduduk tempatan. Justeru itu, Kerajaan Negeri masih optimis untuk meneruskan dan mengembangkan kaedah pelantikan Pengerusi JKKK Kampung Baru/ Bagan/ Tersusun ini secara pemilihan di lain-lain kampung baru/ bagan/ tersusun di Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, perkara ini akan diperhalusi semula dari pelbagai sudut sebelum dilaksanakan secara menyeluruh.