Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

28) TANAH PAJAKAN 99 TAHUN

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah prosedur pengambilan balik tanah pajakan 99 tahun yang telah tamat tempoh?

    Untuk makluman YB. Dengkil, tiada istilah pengambilan balik tanah pajakan 99 tahun yang telah tamat tempoh pajakan. Berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 46(1)(a) Kanun Tanah Negara, tanah berimilik hendaklah kembali dan terletakhak kepada Pihak Berkuasa Negeri setelah tamatnya tempoh pajakan yang ditetapkan dalam dokumen hakmilik mengenainya. Oleh itu, semua tanah berimilik yang telah tamat tempoh pajakan, akan menjadi Tanah Kerajaan tanpa perlu melalui prosedur pengambilan balik tanah.

    Oleh itu, sebelum tanah berimilik luput tempoh pajakan, pemohon boleh mengemukakan permohonan melanjutkan tempoh pajakan tanah kepada Pihak Berkuasa Negeri melalui permohonan serahbalik di bawah Seksyen 197 Kanun Tanah Negara dan berimilik Seksyen 76 Kanun Tanah Negara.

  2. Nyatakan tindakan kepada pemilik tanah yang ingkar

    Pemilik asal tanah yang hakmiliknya telah tamat tempoh pajakan diberi peluang untuk membuat permohonan pemberimilikan di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara dengan mengemukakan borang Jadual 1 dan akan diberikan keutamaan untuk dipertimbangkan semula tanah tersebut oleh Pihak Berkuasa Negeri selaras dengan pemakaian Pekeliling PTGS Bil 6/2011.

    Sekiranya tiada permohonan dibuat, tindakan penguatkuasaan dibawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara boleh dilaksanakan ke atas pendudukan secara tidak sah di atas Tanah Kerajaan. Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500 ribu atau dipenjarakan untuk suatu tempoh yang tidak melebihi lima (5) tahun.

Lampiran

Tiada Lampiran.