Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

27) BANJIR SUNGAI LANGAT

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh mana keberkesanan program tebatan banjir yang telah dilakukan untuk menangani masalah limpahan air yang sering berlaku di Sungai Langat?

    JPS Negeri Selangor telah memperolehi peruntukan sebanyak RM28,500,000.00 oleh kerajaan negeri bagi Projek Tebatan Banjir Sungai Labu, Mukim Labu yang sedang dalam proses draf akhir rekabentuk terperinci dan dijangka akan ditender pada tahun 2017. Skop Kajian Projek tebatan Banjir Sungai Labu telah mengambil kira lembangan Sungai Langat.

  2. Jelaskan usaha tebatan banjir di Sungai Sekamat, Sungai Sering (Kg Batu 10) dan Sg Jernih (Projek MRT).

    Usaha tebatan banjir di Sg. Sekamat, Sungai Sering (KG Batu 10) dan Sg Jernih (Projek MRT) adalah seperti pembersihan sampah sarap dan kerja penyelenggaraan berkala dan juga pelaksanaan Ops lumpur yang dijalankan bersama dengan Pihak Berkuasa Tempatan. Hasil daripada pemantauan Ops Lumpur mendapati kejadian banjir yang sering berlaku di Sg Sekamat adalah daripada projek pembinaan lebuhraya EKVE di mana pemaju telah menebas hutan sepanjang jajaran Sungai Sekamat. Manakala bagi Sungai Jernih, punca banjir sering berlaku adalah disebabkan oleh projek MRT. Kolam takungan telah dibina namun begitu, aras kolam dan asliran berkenaan berada di paras yang lebih tinggi dan menyebabkan air larian mengalir ke dalam Sungai Jernih. Pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah mengeluarkan notis kepada pemaju untuk mengelakkan kejadian berulang.

    MAKLUMAT TAMBAHAN

    Sungai Sekamat

    Kejadian Banjir kilat pada 25 Mei 2017 adalah disebabkan kadar hujan yang melebihi paras normal iaitu 104mm di mana 3 kali ganda dari paras normal.

    Tindakan atau usaha dari JPS : Kerja-kerja pembersihan sampah sarap dan halangan dari kayu atau balak yang hanyut ke Sungai Sekamat. Hasil siasatan ditapak pada 26 Mei 2017 didapati hampir 10 tan sampah serta kayu-kayu hasil penebangan dibuang ke dalam sungai. Kerja-kerja pembersihan ini menelan belanja hampir RM40,000.00.

    Lanjutan daripada isu sampah ini, JPS bersama MPKJ telah melaksanakan Ops Lumpur ke Upstream Sungai Sekamat. Didapati terdapat pemaju Lebuhraya

    EKVE yang telah menebas hutan sepanjang jajaran Sungai Sekamat dan Sungai Long. Bersama-sama ini juga terdapat TUJUH (7) Pemaju yang sedang mengusahakan tapak tanpa kolam takungan yang sempurna, tiada silt trap dan culvert yang merentasi anak-anak sungai ini tidak diselenggara oleh pemaju dengan sempurna. Pihak MPKJ bersama Ulasan JPS telah mengeluarkan Arahan Notis 70 (A) Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) ke atas semua pemaju.

    Sungai Sering (Kampung Bt.10)

    Kampung Bt. 10 direntangi oleh Sungai Sering di tengah-tengah jajaran pembangunan rumah kampung. JPS Daerah mengeluarkan kerja-kerja pembersihan dan cucigali 2 kali setahun dengan anggaran kos RM40,000.00

     

    Malah isu banjir di kawasan ini tidak dapat diselesaikan sepenuhnya kerana melibatkan lot-lot individu yang membuat penjajaran semula longkang dalaman dan sungai tanpa kelulusan dan pengetahuan mana-mana jabatan termasuk JPS/MPKJ/PTDHL ataupun LUAS.

    Kerja-kerja pembersihan atau cucigali sungai juga dihalang oleh sesetengah pihak tau pemilik tanah berkenaan.

    Isu banjir ini telah dikemukakan kepada MPKJ dan PTD Hulu Langat kerana longkang-longkang yang dibuat pengalihan haram ini adalah di bawah kuasa jabatan tersebut.

    Sungai Jernih (Projek MRT)

    Pembinaan Depot Kajang bersebelahan Kg. Sg. Jernih mengakibatkan Kg Sg Jernih menjadi dataran banjir dalam tempoh 3 tahun kebelakangan ini.

    Hasil siasatan ditapak, kolam takungan berfungsi dengan sepenuhnya tetapi kolam dibina lebih tinggi begitu juga dengan sistem saliran depot MRT. Ini mengakibatkan air dari depo MRT terus disalurkan ke Sungai Jernih. Setiap kali banjir, air sungai menjadi tinggi dan melimpah ke kawasan kampung.

    Untuk makluman juga, semua kelulusan dan Road & Drainage dipantau oleh Bahagian Kejuruteraan MPKJ sepenuhnya. MPKJ juga telah mengambil tindakan mengeluarkan notis dan arahan untuk pembersihan kolam dan sistem saliran setiap kali adanya kejadian banjir.

    Setiap tahun JPS Daerah membelanjakan hampir RM60,000 iaitu 3 kali kerja pusingan pembersihan dan cucigali Sungai Jernih.

Lampiran

Tiada Lampiran.