Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

26) PENGURUSAN SISA PEPEJAL

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan status terkini proses pertukaran syarikat pengendali pengurusan sisa pepejal?

    Kerajaan Negeri melalui MMKN Bil. 42/2016 pada 21 Disember 2016 telah bersetuju untuk meluluskan perluasan perkhidmatan Project Management Company (PMC) di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) setelah melihat keberkesanan pelaksanaan PMC di Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebagai pilot project. Dengan menggunakan model operasi yang sama, pelaksanaan PMC di MPAJ telah dimulakan bermula 1 Mac 2017 yang lalu.

  2. Bagaimanakah syarikat pengendali yang baharu ini dapat memberi nilai tambah kepada rakyat Negeri Selangor?

    KDEBWM juga telah memperkenalkan inisiatif baru di MPAJ bagi mempertingkatkan keseluruhan operasi pengurusan sisa pepejal melibatkan perkara-perkara berikut, iaitu:-

    1. pemberian lori kompaktor baru yang dilengkapi sistem pemantauan Auto Vehicle Locating System (AVLS), kamera undur dan CCTV kepada subkontraktor menggunakan kaedah sewa-beli;
    2. penggunaan sebuah lori kompaktor baru di setiap zon (1 lori 1 zon);
    3. pewujudan Centralized Command Centre (CCC) yang berperanan sebagai pusat kawalan operasi kutipan sisa pepejal KDEBWM dalam menerima aduan serta pemantauan penyelia kawasan dan kontraktor kutipan;
    4. penggunaan telefon pintar yang dilengkapi dengan alat pengesan (tracker) bagi memantau pergerakan penyelia kawasan dan lori kompaktor;
    5. penggunaan Aplikasi i-Clean sebagai salah satu medium kepada pengguna untuk menyalurkan aduan; dan
    6. penggunaan aset-aset lain selain kompaktor seperti RORO dan tricycle sebagai aset sokongan.

    Model perniagaan yang digunapakai oleh KDEBWM dengan memberikan lori kompaktor baru kepada sub-kontraktor menggunakan kaedah sewa beli merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia. Penggunaan lori kompaktor baru yang lebih tahan lasak dan dilengkapi dengan pelbagai sistem dan gajet terkini telah dapat menyelesaikan isu tipikal yang sering dihadapi di dalam industri pengurusan sisa pepejal seperti lori yang uzur dan sering rosak, tumpahan air leacheate, prestasi dan keupayaan lori yang menurun untuk memadatkan sampah (compression) dan sebagainya.  Pemasangan kamera undur yang merupakan aksesori wajib di setiap lori kompaktor baru KDEBWM juga akan mengurangkan kebarangkalian berlakunya kes-kes pelanggaran apabila lori tersebut mengundur. CCTV yang dipasang pada lori kompaktor KDEBWM juga membolehkan pematauan operasi kutipan sampah dilakukan secara langsung atau  „real time’  dari CCC.

    Usaha penambahbaikan dan pemodenan infratruktur kutipan yang dilaksanakan oleh KDEBWM adalah bertepatan dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk membangunkan negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang berkonsepkan Smart City dan Smart State. Penggunaan aplikasi dan teknologi dalam menangani masalah pengurusan sisa pepejal di negeri Selangor bukan sahaja merealisasikan objektif kerajaan negeri untuk membangunkan persekitaran dan infrastruktur yang lebih mampan, bahkan akan turut menyumbang kepada sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan bagi menjamin kualiti kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.

  3. Berapakah anggaran penjimatan perbelanjaan Kerajaan (jika ada) berbanding sistem terdahulu?

    Dalam melaksanakan langkah ini, kos yang terlibat tidak lebih daripada peruntukan tahunan semasa yang telah diperuntukkan oleh setiap PBT bagi pengurusan sisa pepejal.

Lampiran

Tiada Lampiran.