Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
4) PROGRAM PEMBASMIAN KEMISKINAN
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan secara terperinci pelaksanaan program tersebut.
Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan komited dalam mencapai matlamat kemiskinan sifar dalam pelbagai dimensi. Pelbagai inisiatif terus dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam merealisasikan “Distributive Justice” kepada rakyat.
Inisiatif dan usaha keras Kerajaan Negeri ini dapat dilihat melalui pelaksanaan pelbagai program bantuan oleh pelbagai Jawatankuasa Tetap (STANDCO) dan Jabatan/ Agensi untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi golongan berpendapatan rendah di samping mengurangkan bebanan kos sara hidup dari pelbagai aspek. Antara langkah-langkah dan inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 lagi adalah seperti berikut:-
Program Bantuan Perumahan
Program Bantuan Perumahan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam memenuhi keperluan rakyat untuk memiliki rumah pada harga yang mampu dimiliki dan selesa untuk diduduki adalah Rumah Selangorku. Manakala bantuan skim pembiayaan perumahan adalah melalui Skim DanaSel dan Skim Selangor Smart Home Buyers. Skim Smart-Sewa pula diwujudkan bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan sederhana untuk menyewa dan akhirnya beupaya memiliki rumah di Negeri Selangor. Selain itu, Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin disasarkan khusus kepada golongan miskin yang menetap di rumah yang serba daif di mana rumah akan dibina dan diberikan secara percuma kepada yang layak.
Program Bantuan Pengupayaan Ekonomi
Program-program Bantuan Pengupayaan Ekonomi pula adalah seperti Program HIJRAH, Dana Usahawan Mikro, Program Bantuan Makanan Asas (Food Stamp), Program Bantuan Nelayan/ Akuakultur, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Program Pemberian Bantuan Secara Baucer untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan serta pelbagai lagi Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) seperti Program Air Bersih Percuma sebanyak 20 meter padu sebulan, Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Skim Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS),
Hadiah Anak Masuk Universiti, Insentif Perkahwinan Belia dan lain-lain. Melalui program-program tersebut, ianya dijangka berupaya melonjakkan dan meningkatkan pendapatan golongan miskin yang akhirnya dapat mengeluarkan mereka daripada kitaran kemiskinan. Ini secara tidak langsung akan menghasilkan impak positif terhadap taraf dan kesejahteraan hidup rakyat secara berterusan.
Program Bantuan Peningkatan Tahap Kesihatan
Program-program Bantuan Peningkatan Tahap Kesihatan seperti Skim Peduli Sihat, Program Dialisis Rakyat, Skim Pemeriksaan Mammogram dan Program Bantuan Kesihatan Sihat Selangor (merangkumi bantuan seperti Katarak Mata, Pembedahan Kecil, Lain-lain Rawatan dan Kaki Palsu) pula dilihat sebagai inisiatif Kerajaan Negeri untuk mengurangkan bebanan kos hidup rakyat melalui bantuan kesihatan ke arah melahirkan rakyat yang sihat dan cergas.
Program Bantuan Pengupayaan Pendidikan
Terdapat pelbagai Program Bantuan Pengupayaan Pendidikan yang bukan sahaja berupaya memperkukuhkan daya saing graduan, malahan dapat mempertingkatkan kebolehpasaran mereka. Antaranya adalah seperti Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Kolej
Antarabangsa INPENS, Selangor Business School dan Program Boot
Camp Akademik. Manakala program-program yang dapat membantu meringankan bebanan rakyat melalui penajaan/ pembiayaan pendidikan pula adalah seperti Program Peduli Siswa, Biasiswa dan Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor, Biasiswa Selangor (untuk pelajar KUIS & UNISEL), Program Bantuan Sara Diri Pelajar (untuk pelajar KUIS, UNISEL dan INPENS), Program Kemahiran Teknikal (untuk pelajar INPENS), Program Tuisyen Rakyat, Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah untuk Anak Pekerja Ladang, Program Bantuan Yuran Pengajian (IPTA/ IPTS) untuk Anak Pekerja Ladang dan Program Kecemerlangan UPSR untuk Anak Pekerja Ladang.
Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin dan komited dalam usaha membantu meringankan bebanan rakyat dalam pelbagai aspek dengan memberi manfaat kepada semua rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah tanpa mengira gender dan etnik di samping memastikan rakyat terus menikmati kemakmuran dan kesejahteraan.
-
Apakah garis pendapatan kemiskinan yang digunapakai dan berapakah jumlah bilangan keluarga isi rumah miskin yang telah dikenalpasti?
Usaha membasmi kemiskinan di kalangan rakyat sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dengan membantu masyarakat meningkatkan tahap pendapatan, keadaan sosio ekonomi serta menganjak paradigma masyarakat untuk berhijrah keluar daripada kitaran kemiskinan. Untuk itu, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor terkini yang digunapakai oleh semua Jabatan/ Agensi di Negeri Selangor yang menyelaras dan melaksanakan program bantuan adalah berjumlah RM1,500 seisi rumah. Ini adalah berdasarkan kepada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 40/2016 bertarikh 7 Disember 2016 bersetuju bahawa Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor dikekalkan pada paras RM1,500.00 seisi rumah. Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Selangor ini dilihat lebih realistik dan bersesuaian dengan senario ekonomi semasa berbanding dengan PGK Nasional iaitu RM930 seisi rumah.
Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang data bersepadu berhubung jumlah sebenar keluarga isi rumah miskin. Statistik sedia ada merupakan jumlah isi rumah miskin yang telah menerima manfaat di bawah setiap program bantuan yang dijalankan oleh Jabatan/ Agensi terlibat. Berdasarkan rekod, seramai 762,841 orang yang telah menerima manfaat daripada program-program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kemiskinan sejak tahun 2008. Namun begitu, jumlah ini tidak termasuk pelbagai program bantuan dan pengupayaan ekonomi daripada pelbagai Jawatankuasa Tetap (STANDCO) dan Jabatan/ Agensi.
-
Nyatakan jumlah dan peratus yang telah terkeluar dari kelompok miskin selepas mengikuti program tersebut.
Ketika ini, Kerajaan Negeri Selangor tidak mempunyai sebarang data atau statistik bersepadu berhubung tahap pencapaian keseluruhan program bantuan dan program peningkatan tahap ekonomi rakyat. Ini kerana jumlah dan peratus penerima manfaat yang telah terkeluar daripada kitaran kemiskinan adalah tertakluk kepada kajian impak yang dilaksanakan bagi setiap program. Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada *Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2014 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor mencatatkan penurunan insiden kemiskinan daripada 0.4% pada tahun 2012 kepada 0.2% pada tahun 2014. Ini menunjukkan bahawa, pelaksanaan program bantuan dan peningkatan ekonomi seumpama ini berupaya memberi impak positif dalam menurunkan kadar kemiskinan di Negeri Selangor.
*Maklumat tambahan:
Jadual Insiden Kemiskinan Mengikut Etnik, Strata dan Negeri bagi tahun 1970 hingga 2014 daripada Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2014 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia adalah seperti di LAMPIRAN 1.
LAMPIRAN 1
INSIDEN KEMISKINAN MENGIKUT ETNIK, STRATA DAN NEGERI BAGI TAHUN