Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017
216) PROGRAM BANTUAN FOOD STAMP
Tahun: 2017
Sesi: 3
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan jumlah peserta program tersebut.
Sebagaimana Ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum, Program Bantuan Makanan Asas ‘Smart Selangor Food Stamp’ telah diperkenalkan semasa pembentangan Belanjawan 2016 oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor pada 30 Oktober 2015 yang lalu.
Pemberian bantuan ini diberikan kepada 100 buah keluarga termiskin yang memenuhi kriteria tertentu dan telah dikenalpasti oleh pihak Pusat Khidmat Masyarakat di kawasan masing-masing tanpa mengira bangsa, kaum serta fahaman politik. Jumlah peserta dan perbelanjaan yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan program ini adalah seperti berikut :-
TAHUN JUMLAH PENERIMA JUMLAH PERBELANJAAN 2016 5,500 buah keluarga RM2,116,800.00 2017 5,400 buah keluarga RM3,656,800.00 JUMLAH 10,900 buah keluarga RM5,773,600.00 -
Berapakah perbelanjaan bagi melaksanakan program tersebut?
Sama seperti di SUB(a)
-
Bagaimanakah Kerajaan Negeri memastikan program ini mencapai kumpulan yang disasarkan?
Bagi pelaksanaan Program Bantuan Makanan Asas ‘Smart Selangor Food Stamp’, Kerajaan Negeri telah menyediakan keperluan makanan asas iaitu 10kg beras, 1kg gula, 2kg minyak masak, 400gram bihun dan 2 tin susu pekat manis kepada keluarga yang termiskin dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.
Bantuan ini diberikan kepada penerima tanpa mengira bangsa, kaum dan fahaman politik. Ianya selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu keluarga miskin dari seluruh Negeri Selangor yang lebih memerlukan bantuan makanan asas serta membantu meringankan kos sara hidup yang kian meningkat.
Bagi memastikan program ini mencapai kumpulan yang disasarkan, Kerajaan Negeri telah mengambil pendekatan agar setiap pemohon harus menepati syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan seperti berikut:-
- Lahir di Selangor atau telah bermastautin di Selangor sekurang-kurangnya 10 tahun (perlu pengesahan ADUN/ Penghulu/ Pengerusi JKKK/ Pengerusi Taman);
- Terbuka kepada semua kaum;
- Berpendapatan isi rumah di bawah RM1,500.00 sebulan; dan
- Pengundi di DUN tersebut.
Di samping itu, setiap Yang Berhormat Ahli Dewan Negeri (ADUN) melalui Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di DUN masing-masing diberi tanggungjawab untuk mengenalpasti calon penerima bantuan yang berkelayakan dan memastikan calon tersebut mengemukakan Borang Maklumat Calon Penerima dan salinan-salinan dokumen dengan lengkap serta borang disahkan oleh Yang Berhormat ADUN berkaitan. Pemilihan calon penerima bantuan ini adalah dilakukan oleh Pusat Khidmat Masyarakat di setiap DUN masing-masing. Kerajaan Negeri telah mengambil pendekatan ini bagi memastikan setiap penerima bantuan tergolong daripada kumpulan yang benar-benar memerlukan bantuan dan mencapai kumpulan yang disasarkan.