Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

204) PRESTASI PERBELANJAAN JABATAN PERHUTANAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Abdul Shukur Bin Idrus

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan secara terperinci prestasi perbelanjaan pembangunan Jabatan Perhutanan yang diumumkan dalam Bajet Selangor 2017.

    Jumlah peruntukan kewangan bagi projek pembangunan (P10) tahun 2017 yang diterima oleh JPNS adalah RM7 juta. Prestasi kewangan yang telah dibuat pembayaran atau perbelanjaan sehingga 27 Oktober 2017 adalah 68.58% dan tidak termasuk tanggungan. Berdasarkan tindakan terkini, pihak JPNS yakin bahawa jumlah prestasi perbelanjaan pembangunan (P10) sehingga berakhir tahun 2017 akan mencapai sasaran KPI yang telah ditetapkan iaitu melebihi 96%.

  2. Sejauh manakah perbelanjaan tersebut dapat meningkat kualiti perkhidmatan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor?

    Berdasarkan bajet pembangunan (P10), prestasi peningkatan kualiti perkhidmatan JPNS kepada pelanggan-pelanggan JPNS  iaitu pihak Kerajaan Negeri, Jabatan/ agensi, NGO dan masyarakat adalah semakin bertambah baik.

    Asas utama program dan projek yang diwujudkan di dalam bajet pembangunan (P10) adalah berdasarkan kepada objektif dan strategik JPNS di dalam memacu komitmen, misi dan wawasan JPNS untuk menjadi agensi terunggul dalam pengurusan hutan tropika secara berkekalan. Secara keseluruhannya, prestasi kualiti perkhidmatan JPNS adalah begitu cemerlang berdasarkan kepada pelbagai kejayaan dan pengiktirafan yang telah dicapai.

    Di dalam penentuan pencapaian dan pengiktirafan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan, terdapat dua (2) kaedah penilaian yang sedang dilaksanakan iaitu pengauditan pematuhan kepada Kriteria dan Petunjuk Malayisa (MC&I) bagi FMU Selangor dan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2008. Bagi kedua-dua pengauditan ini, JPNS adalah merupakan negeri pertama yang dapat mengekalkan kejayaan mendapat Zero Cars di dalam MC&I dan Pematuhan Tanpa Ketakakuran di dalam Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2008 bagi lima (5) tahun berturut-turut bermula dari tahun 2012 hingga 2016.

    Di dalam pengurusan Hutan Paya Laut, berdasarkan rekod JPNS, jumlah bilangan pokok-pokok bakau dan spesies-spesies pokok yang bersesuaian yang telah ditanam semenjak 2016 sehingga 2017 adalah berjumlah sebanyak 376,720.00. Berdasarkan komitmen tersebut, DYMM Sultan Selangor bersama DYTM Raja Muda Selangor telah mencemar duli bagi merasmikan Program Tanam Pokok bersempena Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2017 di Taman Alam Kuala Selangor. Acara bersejarah ini melibatkan penyertaan masyarakat seramai 1,500 orang dengan jumlah tanaman sebanyak 5,000 pokok bakau. Selain itu, DYTM Raja Muda Selangor juga telah mencemar duli bagi melakukan penanaman pokok bakau di Pulau Klang pada 16 April 2017.

    Di dalam pengurusan Hutan Paya Gambut, Hutan Simpan Paya Gambut Selangor Utara telah dipilih oleh Kerajaan Malaysia sebagai projek perintis bagi Asean Peatland Forest Project (APFP) yang mendapat dana pembiayaan daripada International Fund for Agricultural Development (IFAD) yang merupakan salah satu agensi pertubuhan di dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pelbagai program dan aktiviti telah dijalankan dan menarik minat pelbagai agensi kerajaan/swasta/NGO termasuk dari dalam dan luar negara untuk mengambil bahagian di dalam projek pemuliharaan, pengurusan dan penanaman pokok di kawasan tersebut

    Seterusnya, projek ini telah dijadikan sebagai model pengurusan dan pemuliharaan hutan paya gambut bagi negara ASEAN. Kejayaan program ini telah menarik minat pihak Royal Commonwealth Society untuk menjadikan HS Raja Musa sebagai salah satu Queen Commanwealth Canopy Initiative di antara Negara-Negara Komanwel. Sehubungan dengan itu, HS Raja Musa telah dipilih sebagai salah satu destinasi larian baton Sukan Komanwel 2018, Gold Coast, Australia.

     

    Pada tahun 2013, Hutan Paya Gambut juga telah menjadi pilihan DYTM Raja Muda Selangor untuk mencemar duli melakukan penanaman pokok bersempena Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2013. Di samping itu, terdapat beberapa orang kenamaan dan VVIP terdiri dari negara ini dan seluruh dunia seperti delegasi-delegasi dari Negara-negara Kesatuan Eropah, Jepun, Korea dan ASEAN datang bagi menyaksikan sendiri kejayaan pengurusan hutan paya gambut dan turut mengambil bahagian di dalam program penanaman pokok dan sebagainya. Kecemerlangan ini juga telah menarik minat penyumbang dana pertubuhan dunia International Fund for Agricultural Development (IFAD) untuk meneruskan kesinambungan projek tersebut melalui projek yang bertajuk Sustainable Managmenet of Peatland Ecosystem in Malaysia.

    Di dalam pengurusan kewangan (Indeks Akauntibiliti), pihak JPNS telah mendapat anugerah dalam tiga (3) tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2014, 2015 dan 2016. Selain itu, JPNS juga merupakan agensi di dalam jabatan yang menjadi penyumbang utama di dalam kutipan hasil dan secara konsisten bermula tahun 2014 sehingga 2016 dengan anggaran kutipan hasil kewangan berjumlah RM70 juta.

    Pencapaian terkini juga, pihak JPNS merupakan adalah merupakan antara tiga (3) agensi jabatan di Negeri Selangor yang mengaplikasikan penggunaan Digital Document Management System (DDMS) di dalam Sistem Pengurusan Rekod Elektronik Kerajaan di Negeri Selangor. Manakala bagi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan jabatan/agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), JPNS adalah merupakan Jabatan Perhutanan pertama yang mengaplikasi penggunaan sistem ini dan menjadi di antara 30 jabatan/agensi yang menjadi perinitis kepada program ini di seluruh negara.

    Jabatan Perhutanan Negeri Selangor juga telah menyediakan pelbagai dokumen berkaitan perancangan dan pengurusan hutan selaras dengan keperluan dan kehendak standard yang telah ditetapkan diperingkat nasional dan antarabangsa. Di antara dokumen-dokumen tersebut yang masih berkuatkuasa adalah seperti berikut :

    • Rancangan Pengurusan Hutan Negeri Selangor 2011-2020;
    • Rancangan Kerja Hutan Paya Laut 2009 – 2019;
    • Rancangan Pengurusan Hutan Taman Warisan Negeri Selangor 2011-2020;
    • Rancangan Pengurusan Hutan Tadahan Air Negeri Selangor 2013-2022;
    • Integrated Management Plan For North Selangor Peat Swamp Forest 2014-2023;
    • Rancangan Pengurusan Hutan Simpan Kota Damansara;
    • Rancangan Pengurusan Hutan Mempunyai Nilai Pemeliharaan Yang Tinggi (HCVF) di Negeri Selangor;
    • Penghasilan Kuantiti dan Kos Air Mentah dari kawasan Hutan Tadahan Air di Negeri Selangor 2014;
    • Rancangan Tahunan Hutan di setiap Daerah;
    • Rancangan Pengurusan Hutan Taman Eko-Rimba 2016-2025;
    • Kajian Inventori Hutan Simpanan Hutan Dara & Anggaran Ekonomi Negeri Selangor Darul Ehsan 2012;
    • Orchidea Selangoreana : Wild Orchids of Selangor 2014;
    • Penilaian Penglibatan Komuniti Setempat: Terhadap Program dan Pemuliharaan Hutan Paya Gambut di Selangor 2014;
    • Pelan Pembangunan Hutan Lipur Sungai Tua Selangor Darul Ehsan 2015;
    • Pelan Tindakan Pembangunan Semula Ampang Look Out Point 2016;
    • Rancangan Pengurusan Hidrologi Hutan Paya Gambut Selangor Utara, Selangor 2016-2016;
    • Pelan Pengurusan Kebakaran Hutan Bagi Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan 2017- 2021;
    • Rancangan Pengurusan Central Forest Spine 2017-2027 (deraf akhir); dan
    • Rancangan Pengurusan dan Pemuliharaan Kawasan Hutan bagi Aktiviti Pengkuarian di dalam Hutan Simpanan Kekal 2020-2050 (deraf awal).

    Kesemua dokumen di atas adalah amat berguna dan penting sebagai panduan di dalam mencapai Visi, Misi dan Objektif Pengurusan Hutan Secara Berkekalan di Negeri Selangor dan penyampaian maklumat tentang pengurusan hutan di Negeri Selangor yang dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

    Maka, berdasarkan kepada beberapa pencapaian cemerlang di atas dan beberapa kejayaan-kejayaan lain yang tidak dinyatakan seperti di atas, perbelanjaan daripada peruntukkan kewangan merupakan salah satu elemen terpenting di dalam merangka strategik pengurusan dan pelaksanaan setiap aktiviti di dalam projek.  Hasil daripada pengurusan dan pelaksanaan yang mantap dan berhemah telah dapat mencapai piagam pelanggan dan seterusnya meningkatkan kualiti perkhidmatan JPNS seluruhnya.

Lampiran

Tiada Lampiran.