Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

192) PROJEK HORAS

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan status terkini pelaksanaan Projek HORAS?

    HORAS 600 dibangunkan di kawasan bekas lombong di Kg. Sungai Darah, Bestari Jaya, Daerah Kuala Selangor. Bagi memudahkan pelaksanaan dan pemantauan, Projek HORAS 600 ini dibahagikan kepada 2 fasa pembangunan iaitu:

    1.1    Fasa 1 yang melibatkan 3 pakej kerja iaitu:

    (1)    Pakej 1 – Kerja Pengorekan Kolam Utama oleh Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) yang telah bermula semenjak 15 Mac 2014 yang dibahagikan kepada tiga seksyen kerja iaitu:

     

    a) Seksyen 1 melibatkan kawasan seluas 48 hektar. Kerja-kerja pengorekan hingga mencapai paras kedalaman (ODL) antara -13 meter hingga -15 meter telah siap sepenuhnya pada 30 Oktober 2015.

    b) Seksyen 2 melibatkan kawasan rumah pam. Kerja-kerja pengorekan telah siap pada 25 Januari 2017.

     

    c) Seksyen 3 telah mencapai 85% pada 25 September 2017 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 31 Disember 2017.

     

    (2)   Pakej 2 – Kerja-kerja  Membina Cerun Kolam & External Works yang telah bermula pada 16 November 2015 dan akan siap pada 16 Februari 2017. Kerja-kerja di tapak telah mencapai 64% dan terpaksa diberhentikan berikutan dari kerja-kerja pengorekan kolam utama oleh KSSB yang masih belum siap sepenuhnya. Lanjutan masa telah diberikan kepada kontraktor untuk menyiapkan kerja sehingga 15 Ogos 2018.

    (3)    Pakej 3 – Pembinaan kolam Hang Tuah

    Berdasarkan kepada kajian dan analis yang dibuat, pihak Perunding mencadangkan supaya pelaksanaan Pakej ini ditangguhkan kerana air mentah dari HORAS 600 akan dipam terus ke sungai dan bukan ke loji rawatan air.

    1.2    Fasa 2 pula melibatkan pembinaan rumah pam. Kerja-kerja di tapak dijadualkan bermula pada 14 Ogos 2017 dan kerja-kerja dijadualkan siap pada 13 Disember 2018.

  2. Adakah Kerajaan Negeri masih meletakkan harapan pelaksanaan HORAS dalam membantu mengatasi masalah air di Selangor?

    Tanggungjawab Kerajaan Negeri Selangor adalah untuk menyediakan jumlah air mentah yang mencukupi bagi dibekalkan kepada Loji rawatan air bagi menyediakan air terawat buat bekalan kepada pengguna.

    Di  Lembangan Sungai Selangor, ketika ini terdapat 5 loji rawatan air, iaitu Loji SSP1, SSP2, SSP 3(Badong), SSP 3 (Rasa)  dan Rantau Panjang.  Loji-loji ini memerlukan sejumlah 3000 juta liter sehari (JLH) bekalan air mentah.

    Sebelum Mac 2014, punca bekalan air mentah datangnya hanya dari 2 sumber iaitu:

    1. Pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi; dan
    2. Aliran asas (river base flow) air di Sungai Selangor

    Keadaan musim kering dan kekurangan kadar penurunan hujan yang pada tahun 2013 dan 2014 telah menyebabkan penurunan paras Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi seperti berikut:-

    Empangan/

    paras simpanan

     

    SEBELUM ADANYA HORAS
    31 Dis 2013 30 Sep 2014
    Empangan Sungai Selangor

     

    65.20% 35.69%
    Empangan Sungai Tinggi

     

    88.45% 42.23%

    Akibat perkara tersebut. Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil tindakan berikut:

     

    • Jangka pendek

    Mengenal pasti kolam-kolam alternatif yang dapat membekalkan air mentah dengan segera dan dapat membantu kekurangan air mentah di dalam Sungai Selangor dan mengurangkan pelepasan di empangan bermula dari April 2014.

     

    • Jangka Panjang

    Pembangunan HORAS iaitu untuk menampung air mentah ketika musim hujan dan melepaskannya ketika kemarau

     

    Maka itu, bermula pada April 2014, punca bekalan air mentah di Lembangan Sungai Selangor adalah datangnya dari 3 punca iaitu:

    • Pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi;
    • Aliran asas air di Sungai Selangor; dan
    • Kolam-kolam alternative yang berupaya membekalkan maksima 800 mld. Terdapat 9 buah kolam dan rangkaiannya.

     

    Kolam-kolam alternatif ini telah dirancang untuk ditambah baik fungsi dan keupayaannya dengan membangunkannya menjadi projek yang dikenali sebagai HORAS.

    Walaupun HORAS belum siap sepenuhnya, ia telah dapat membantu menghasilkan air tambahan sehingga 190 juta liter sehari (JLH) untuk keperluan SSP1, SSP2, SSP 3 (Badong), SSP 3 (Rasa)  dan Rantau Panjang di samping mengurangkan pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi.

    Melalui konsep HORAS, pelepasan air dari kedua-dua empangan ini dapat dikawal hingga dapat membantu kedua-dua empangan melepasi paras kritikal.  Dengan adalah projek HORAS, kedudukan paras kedua-dua empangan adalah seperti berikut:

    Empangan/

    paras simpanan

    SEBELUM ADANYA HORAS SELEPAS ADANYA HORAS
    31 Dis 2013 30 Sep 2014 31 Dec 2014 30 Sep 2015 31 Dec 2015 30 Sep 2016 31 Dec 2016 30 Sep 2017
    Empangan Sungai Selangor 65.20% 35.69% 69.62% 76.45% 100% 54% 59.15% 97.86%
    Empangan Sungai Tinggi 88.45% 42.23% 63.20% 68.82% 90.65% 61.40% 64.60% 94.97%

     

    Konsep HORAS ini merupakan konsep terbaik pada ketika ini untuk menyelesaikan isu sumber air mentah. Melalui konsep HORAS, Kerajaan Negeri Selangor mendapati HORAS menyumbang kepada keadaan pembekalan air mentah di Negeri Selangor dalam keadaan terkawal terutamanya semasa menghadapi musim panas dan kekurangan hujan.

    Kejayaan HORAS membantu masalah air di Selangor adalah sangat besar jika dibandingkan dengan kos pembinaannya.  Kejayaan HORAS ini adalah satu kenyataan yang bukan sahaja diketahui oleh rakyat Negeri Selangor, malah konsep pelaksanaan HORAS ini telah menjadi ikutan dari negeri-negeri lain.  Projek HORAS ini menjadi tapak lawatan dan sumber rujukan bukan sahaja dari wakil-wakil negeri seperti Melaka, Kelantan, Johor malah pelbagai agensi dan NGO juga datang untuk melihat sendiri bagaimana konsep yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri ini berjaya menyelesaikan masalah kekurangan sumber bekalan air terutamanya semasa musim kering melanda.

     

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.