Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017
190) STATUS KES MAHKAMAH
Tahun: 2017
Sesi: 3
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Datuk Halimaton Saadiah Binti Bohan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah kedudukan kes mahkamah melibatkan LBCN Developement Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd?
Untuk makluman Yang Berhormat, kesemua kes yang melibatkan LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd telah pun diselesaikan melalui resolusi rundingan alternatif (alternative resolution dispute) di Mahkamah di mana kesemua saman yang difailkan oleh kedua-dua syarikat ini di Mahkamah terhadap Kerajaan Negeri telah pun ditarik balik oleh pihak-pihak tersebut. Kesemua pihak yang terlibat telah bersetuju dan akur terhadap suatu penghakiman persetujuan bertarikh 17 Mei 2016 di mana kesemua terma-terma persetujuan secara global (global settlement) telah direkodkan bagi dilaksanakan oleh pihak-pihak yang terlibat.
-
Bagaimanakah Kerajaan Negeri memastikan keputusan kes ini menyebelahi Kerajaan Negeri dan memberi keuntungan kepada rakyat?
Tindakan Kerajaan Negeri untuk memulakan tindakan pengambilan tanah terhadap hakmilik-hakmilik di bawah Tetuan LBCN Development Sdn Bhd telah membawa kepada satu penyelesaian secara holistik dan menyeluruh bagi keseluruhan pembangunan di Bandar Alam Perdana dan melibatkan tanah seluas 1,077.28 ekar. Melalui tindakan pengambilan dan proses mahkamah yang dilalui, Kerajaan Negeri telah berjaya menyelesaikan masalah projek perumahan yang telah diisytiharkan sebagai terbengkalai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejak dari tahun 2006. Melalui tindakan pengambilan tersebut, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pemberimilikan semula tujuh hakmilik tanah yang diambul kepada Menteri Besar Incorporated (MBI) bertujuan untuk melakukan pemulihan projek terbangkalai dan ini termasuk mennguruskan proses tukar syarat tanah dan pengeluaran hakmilik individu. Tindakan ini ternyata berjaya apabila pemulihan tersebut berjaya disiapkan dan memperolehi Sijil Layak Menduduki (CF) dan unit-unit rumah tersebut kemudiannya diserahkan kepada peneroka dan pembeli-pembeli rumah yang terlibat seramai 4,461 orang terdiri daripada 1,318 pembeli rumah teres 1 & 2 tingkat 2,500 pembeli rumah kos rendah serta 383 orang peneroka di mana mereka telah mendapat rumah sepertimana yang dijanjikan apabila penyerahan milikan kosong mula bermula daripada April 2014. Selain daripada itu juga melalui tindakan pengambilan dan proses mahkamah yang dilalui, Kerajaan Negeri dan pihak-pihak yang terlibat telah berjaya membuat penyelesaian secara holistik bagi segala permasalahan melibatkan peneroka dan pembeli-pembeli rumah bagi hakmilik-hakmilik bersebelahan yang dibangunkan oleh Tetuan Mujur Zaman Sdn Bhd melalui penghakiman persetujuan yang direkodkan bertarikh 17 Mei 2016 yang mana terma-terma penghakiman tersebut memberikan keadilan dan situasi menang-menang kepada semua pihak yang terlibat. Melalui penyelesaian secara holistik ini, seramai 712 orang peneroka bakal mendapat sebuah rumah dua tingkat beserta pampas an diberikan kepada setiap peneroka yang terlibat.Manakala pembangunan perumahan baru yang dibangunkan oleh pemaju baru di hakmilik-hakmilik tersebut akan menawarkan 11,709 unit rumah kepada pemilik baru di kawasan tersebut di mana daripada jumlah tersebut 4289 unit telah ditetapkan bagi Rumah Selangorku. Pembangunan di kawasan tersebut juga akan turut dilengkapi dengan kemudahan awam seperti sekolah dan masjid serta kemudahan komersil seperti kedai dan kompleks perniagaan. Secara tidak langsung, sasaran Kerajaan Negeri untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat di Selangor adalah tercapai dan ini juga akan turut mendorong penjanaan ekonomi negeri selaras dengan pembangunan pesat pembangunan kawasan tersebut yang turut akan menarik perhatian peniaga dan pelabur untuk turut sama bersama-sama menyumbang kepada penjanaan pendapatan ekonomi negeri khususnya di kawasan tersebut.