Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017
180) MISKIN BANDAR
Tahun: 2017
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan sistem yang digunakan Kerajaan Negeri untuk mengenalpasti jumlah pelajar bawah umur yang tercicir di bandar
Ketika ini, Kerajaan Negeri Selangor tidak mempunyai sebarang sistem untuk mengenalpasti jumlah pelajar bawah umur yang tercicir di bandar. Data dan statistik pelajar sekolah adalah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia. Namun begitu, usaha membasmi kemiskinan terutamanya dari aspek pendidikan sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dengan memastikan semua rakyat terutamanya golongan miskin sentiasa memperoleh manfaat. Menyedari hakikat ini, program-program pembiayaan dan penajaan pendidikan sentiasa dipelbagaikan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha mengupayakan rakyat untuk keluar daripada kitaran kemiskinan.
-
Apakah pelan strategik untuk Kerajaan Negeri terhadap anak-anak dari keluarga miskin bandar agar mereka dapat keluar dari kategori ini?
Bagi membolehkan Negeri Selangor mencapai matlamat kemiskinan sifar dalam semua dimensi, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil pendekatan “peduli rakyat”. Pelbagai usaha terus dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam merealisasikan “Distributive Justice” kepada rakyat. Namun begitu, program-program pembasmian kemiskinan ini adalah bersifat menyeluruh kepada semua golongan miskin dan kurang berkemampuan di Negeri Selangor serta tidak menfokuskan golongan miskin bandar sahaja.
Sehingga September 2017, sejumlah empat puluh dua (42) Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor yang sentiasa peduli dan mengutamakan rakyat. Sebagai contoh, dari segi dimensi pendidikan, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Peduli Siswa, Biasiswa dan Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor, Biasiswa Selangor (untuk pelajar KUIS & UNISEL), Program Bantuan Sara Diri Pelajar (untuk pelajar KUIS, UNISEL dan INPENS), Program Kemahiran Teknikal (untuk pelajar INPENS), Program Tuisyen Rakyat, Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah untuk Anak Pekerja Ladang, Program Bantuan Yuran Pengajian (IPTA/ IPTS) untuk Anak Pekerja Ladang dan Program Kecemerlangan UPSR untuk Anak Pekerja Ladang. Program-program seumpama ini merupakan antara insiatif Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan bebanan rakyat di bandar dan luar bandar melalui penajaan/ pembiayaan pendidikan. Justeru itu, ianya diharap dapat mengupayakan rakyat untuk keluar daripada kitaran kemiskinan dan seterusnya melahirkan modal insan yang berupaya menyumbang kepada pembangunan ekonomi Negeri Selangor.