Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

54) PEMBASMIAN KEMISKINAN

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Ng Tien Chee

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Jelaskan kemajuan usaha Kerajaan dalam pembasmian kemiskinan secara terperinci.

    Saban tahun menyaksikan Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan pelbagai inisiatif baru yang memberi manfaat berterusan kepada rakyat terutamanya dalam meningkatkan taraf hidup rakyat yang masih berada di dalam kitaran kemiskinan. Semua rangka kerja, dasar, strategi dan rancangan pembangunan baru sentiasa dipelbagaikan oleh Kerajaan Negeri dalam membolehkan Negeri Selangor mencapai matlamat kemiskinan sifar. Dimensi yang diberikan fokus utama oleh Kerajaan Negeri dalam mengurangkan kadar kemiskinan adalah merangkumi kesihatan, pendidikan dan taraf hidup rakyat. Antara langkah-langkah dan inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 lagi adalah seperti berikut:-

    • Program Bantuan Perumahan

    Program Bantuan Perumahan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam memenuhi keperluan rakyat untuk memiliki rumah pada harga yang mampu dimiliki dan selesa untuk diduduki adalah Rumah Selangorku. Manakala bantuan skim pembiayaan perumahan adalah melalui Skim DanaSel. Skim Smart-Sewa pula diwujudkan bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan sederhana untuk menyewa dan akhirnya beupaya memiliki rumah di Negeri Selangor. Selain itu, Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin disasarkan khusus kepada golongan miskin yang menetap di rumah yang serba daif di mana rumah akan dibina dan diberikan secara percuma kepada yang layak.

    • Program Bantuan Pengupayaan Ekonomi

    Program-program Bantuan Pengupayaan Ekonomi pula adalah seperti Program HIJRAH, Dana Usahawan Mikro, Program Bantuan Makanan Asas (Food Stamp), Program Bantuan Nelayan/ Akuakultur, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Program Pemberian Bantuan Secara Baucer untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan serta pelbagai lagi Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) seperti Program Air Bersih Percuma sebanyak 20 meter padu sebulan, Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Skim Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Hadiah Anak Masuk Universiti, Insentif Perkahwinan Belia dan lain-lain. Melalui program-program tersebut, ianya dijangka berupaya melonjakkan dan meningkatkan pendapatan golongan miskin yang akhirnya dapat mengeluarkan mereka daripada kitaran kemiskinan. Ini secara tidak langsung akan menghasilkan impak positif terhadap taraf dan kesejahteraan hidup rakyat secara berterusan.

    • Program Bantuan Peningkatan Tahap Kesihatan

    Program-program Bantuan Peningkatan Tahap Kesihatan seperti Skim Peduli Sihat, Program Dialisis Rakyat, Skim Pemeriksaan Mammogram dan Program Bantuan Kesihatan Sihat Selangor (merangkumi bantuan seperti Katarak Mata, Pembedahan Kecil, Lain-lain Rawatan dan Kaki Palsu) pula dilihat sebagai inisiatif Kerajaan Negeri untuk mengurangkan bebanan kos hidup rakyat melalui bantuan kesihatan ke arah melahirkan rakyat yang sihat dan cergas.

    • Program Bantuan Pengupayaan Pendidikan

    Terdapat pelbagai Program Bantuan Pengupayaan Pendidikan yang bukan sahaja berupaya memperkukuhkan daya saing graduan, malahan dapat mempertingkatkan kebolehpasaran mereka. Antaranya adalah seperti Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Kolej Antarabangsa INPENS, Selangor Business School dan Program Boot Camp Akademik. Manakala program-program yang dapat membantu meringankan bebanan rakyat melalui penajaan/ pembiayaan pendidikan pula adalah seperti Program Peduli Siswa, Biasiswa dan Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor, Biasiswa Selangor (untuk pelajar KUIS & UNISEL), Program Bantuan Sara Diri Pelajar (untuk pelajar KUIS, UNISEL dan INPENS), Program Kemahiran Teknikal (untuk pelajar INPENS), Program Tuisyen Rakyat, Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah untuk Anak Pekerja Ladang, Program Bantuan Yuran Pengajian (IPTA/ IPTS) untuk Anak Pekerja Ladang dan Program Kecemerlangan UPSR untuk Anak Pekerja Ladang.

    Berdasarkan kepada Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2016 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor mencatatkan tiada insiden kemiskinan. Pengurangan insiden kemiskinan di Negeri Selangor yang dicatatkan hingga ke paras sifar pada tahun 2016 ini telah membuktikan bahawa semua agenda dan rancangan Kerajaan Negeri ini telah berjaya memperlihatkan kejayaan dan keberkesanan yang amat positif dalam memberi kesan langsung dalam menurunkan kadar kemiskinan di Negeri Selangor dan seterusnya memberi impak berterusan terhadap kesejahteraaan rakyat Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.