Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

4) PROGRAM PEMBANGUNAN USAHAWAN

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila senaraikan semua program Pembangunan Usahawan Negeri Selangor sejak 2014.

    Terdapat pelbagai program dan bantuan yang dijalankan sejak tahun 2014 oleh Kerajaan Negeri Selangor.  Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan menyediakan insentif berbentuk geran, program promosi dan latihan/ kursus untuk memperkasakan lagi usahawan di Negeri Selangor. Program-program yang dijalankan bagi membantu usahawan tempatan adalah seperti berikut:

    • Dana Usahawan Mikro Selangor

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan memberikan bantuan kepada industri mikro di mana ia ditakrifkan sebagai perniagaan dengan nilai jualan tahunan tidak melebihi RM300,000.00 dan mempunyai 2 hingga 5 orang pekerja tetap. Fokus Pembangunan Usahawan adalah untuk memberi bantuan kepada pengusaha mikro melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana Usahawan Mikro Selangor merupakan program khas yang memberi fokus untuk membantu usahawan-usahawan Industri Mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.

    • Skop Bantuan

    Setiap tahun Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000.00 bagi setiap daerah untuk menyalurkan bantuan kepada pemohon yang layak.  Seorang pemohon layak menerima bantuan sehingga RM30,000.00.  Skop bantuan adalah seperti berikut:

    • Bantuan pembelian mesin/ peralatan/ perkakasan;
    • Meningkatkan kualiti premis/ perniagaan iaitu mengubahsuai/ menaiktaraf;
    • Pembiayaan sebahagian kos penyertaan usahwan ke ekspo jualan dan promosi di dalam dan luar negara;
    • Pembiayaan sebahagian kos untuk pembangunan produk dan pensijilan seperti ujian nutrisi, pendaftaran cap dagang, pencarian dan pendaftaran paten, perlindungan harta intelek, persijilan GMP, HALAL, HACCP, ISO dan lain-lain dalam mematuhi standard nasional, antarabangsa dan menembusi pasaran global; dan
    • Lain-lain keperluan yang mempunyai nilai tambah dan mampu melonjakkan pembangunan usahawan mikro di Negeri Selangor.
    • Promosi

    Salah satu langkah bagi mengembangkan lagi permintaan pasaran produk para usahawan di negeri Selangor adalah melalui ekspo dan pameran.  Setiap tahun, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan menyediakan platform promosi dengan menyertai ekspo dan pameran tempatan yang bertaraf antarabangsa seperti Penang International Halal Expo Conference (PIHEC), Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), Selangor International Expo (SIE) dan Malaysia Halal Festival (HALFEST). Usahawan yang berkelayakan akan ditawarkan untuk menyertai ekspo/ pameran ini bagi mewakili delegasi Negeri Selangor.

    Penganjuran ekspo dan pameran ini telah memberi ruang kepada usahawan dalam meluaskan pasaran bukan sahaja di peringkat tempatan malahan ke peringkat antarabangsa. Usahawan yang paling berjaya pada tahun 2016 adalah Syarikat Inspire Human Capital Development Sdn Bhd yang menghasilkan produk kerepek seaweed jenama Teego semasa pameran MIHAS yang berlangsung pada   30 Mac – 2 April 2016.  Syarikat ini telah memperolehi kontrak pembekalan ke 3 buah negara iaitu Dubai, Jeddah dan Jepun.  Pada PIHEC 2017 yang berlangsung pada 24 – 26 Februari 2017, Syarikat Dhuha Tensai Resources yang menjual makanan Korea telah mendapat tempahan daripada Singapura.  Manakala syarikat Bio-Haruantech (M) Sdn. Bhd. di bawah label Rezza Brand yang menjual pelbagai produk mi segera telah mendapat tempahan daripada Singapura, Brunei, Hong Kong, China dan Korea.  Selain itu, pada MIHAS 2017 yang berlangsung pada 5 – 8 April 2017, Syarikat Yusa Food Products Sdn. Bhd. telah mendapat tempahan daripada Singapore, Vietnam, China dan kini sedang dalam perbincangan bersama syarikat daripada United Kingdom.

    Pada tahun ini, buat pertama kali Kerajaan Negeri telah menyertai pameran antarabangsa ke China ASEAN Expo (CAEXPO) 2017 pada 12 hingga 15 September 2017 di Nanning, China anjuran People’s Government of Guangxi Zhuang Autonomous Region dan ditaja oleh Ministry of Commerce, P.R. China.  Kerajaan Negeri Selangor telah menyertai pameran ini melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memandangkan badan ini berperanan untuk mempromosi, membantu dan membangunkan perdagangan luar Malaysia dengan memberi penekanan ekspot terhadap produk keluaran Malaysia.  Seramai lima (5) usahawan yang mempunyai produk yang boleh dikembangkan ke pasaran luar telah dipilih mewakili Negeri Selangor.  Pada pameran ini sekurang-kurang dua (2) hingga enam (6) syarikat daripada China telah menunjukkan minat terhadap produk usahawan Negeri Selangor. Penganjuran ekspo dan pameran ini telah memberi ruang kepada usahawan dalam meluaskan pasaran bukan sahaja di peringkat tempatan malahan ke peringkat antarabangsa.

    • Kursus/Latihan

    Kursus yang dijalankan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan di peringkat negeri adalah merangkumi latihan yang memberi fokus kepada pembangunan perniagaan, pengurusan kewangan, pemantapan produk dan strategi pemasaran.  Pada tahun 2017, kursus berbentuk modul kewangan untuk peniaga mikro dan kecil dijalankan di 9 daerah di Negeri Selangor  bagi mendapat capaian di peringkat akar umbi memandangkan kebanyakan permasalahan peniaga mikro adalah kegagalan untuk mengurus kewangan secara bijak dan teratur.  Kursus ini memberi penekanan secara praktikal supaya usahawan mikro dapat membezakan dan mengasingkan kos dan keuntungan setiap transaksi jualan.

    • Program Pembungkusan Produk Made In Selangor

    Untuk membawa produk ke tahap yang lebih tinggi Kerajaan Negeri telah mengadakan program ini khususnya kepada usahawan yang sudah bersedia meluaskan pasaran ke pasaraya rantaian dan ke peringkat antarabangsa. Program kerjasama dengan SIRIM Berhad ini memberi peluang kepada peserta untuk mengikuti program yang telah direncana khas bagi pembangunan  pembungkusan produk.  Peserta juga akan menerima pensijilan produk, carian jenama dan cetakan pembungkusan.

    • Pinjaman HIJRAH Selangor

    Agensi ini menawarkan pinjaman kepada usahawan di peringkat permulaan.  Ia merangkumi tiga perkhidmatan dalam satu urusniaga yang meliputi pinjaman, tabungan dan pelaburan.  Pinjaman ini menawarkan modal tambahan mengikut skim seperti berikut:

    Bil Skim Jumlah pinjaman
    1. Skim 1 RM1,000.00 – RM5,000.00
    2. Skim 2 RM6,000.00 – RM10,000.00
    3. Skim 3 RM15,000.00 – RM20,000.00
    4. Skim 4 RM30,000.00 – RM50,000.00.

     

  2. Sila senaraikan kesemua bantuan dan kemudahan yang disalurkan kepada usahawan oleh Kerajaan Negeri Selangor

    Sama seperti di SUB(a)

  3. Sila nyatakan apakah insentif dan kursus yang diberikan bagi mencungkil serta mendidik lebih ramai usahawan khususnya di kalangan anak muda?

    Sama seperti di SUB(a)

Lampiran

Tiada Lampiran.