Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

293) SUMBER PENDAPATAN NEGERI

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah sumber pendapatan baru untuk Negeri Selangor dalam 20 tahun akan datang?

    Sumber hasil Kerajaan Negeri adalah seperti yang termaktub dalam Bahagian 3, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, usaha penerokaan sumber pendapatan baru bagi meningkatkan Hasil Negeri adalah berdasarkan elemen sumber hasil yang boleh dikutip oleh Kerajaan Negeri di bawah kuasa yang diberikan mengikut Perlembagaan Persekutuan iaitu:

    • Hasil tanah;
    • Hasil lombong;
    • Hasil hutan;
    • Duti hiburan;
    • Terimaan mengenai bekalan dan perkhidmatan air;
    • Sewa dan jualan harta Negeri;
    • Bayaran fi, denda dan pelucuthakkan mahkamah selain daripada mahkamah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan;
    • Faedah atas baki wang negeri;
    • Bayaran mengenai perkhidmatan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri; dan
    • Harta karun.

    Hasil tanah dan hasil urus niaga berkaitan tanah menyumbang sebanyak 80% kepada hasil Negeri. Hasil tersebut masih menjadi penyumbang utama kepada hasil Negeri walaupun Tanah Kerajaan semakin berkurang kerana kuasa-kuasa yang dikurniakan oleh Kanun Tanah Negara kepada Pihak Berkuasa Negeri meliputi :

    1. Memberi milik Tanah Kerajaan secara jualan terus dan tender terbuka;
    2. Merizabkan Tanah Kerajaan dan memberi pajak tanah rizab;
    • Mengeluarkan lesen Pendudukan Sementara atas Tanah Kerajaan, tanah rizab dan tanah lombong;
    • Mengeluarkan Permit Bahan Batuan dan Mineral; dan
    • Mengeluarkan permit penggunaan ruang udara atas Tanah Kerajaan atau tanah

    Antara strategi dan fokus Kerajaan Negeri untuk menjana sumber pendapatan baru adalah:

     

    • Mendapatkan bayaran premium yang belum diterima daripada Kerajaan Persekutuan ke atas tanah yang dibangunkan oleh syarikat konsesi lebuh raya sebagai tapak komersial seperti stesyen minyak, restoran, hotel, kedai dan gerai. Kertas cadangan telah dibawa ke peringkat Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 14 Jun 2016. Perkara ini sedang dalam tindakan Kementerian Kerja Raya;

     

    • Proses menaik taraf tanah dibuat bersekali dengan semakan semula kadar cukai tanah iaitu pada tempoh 10 tahun sekali [Seksyen101 (5) (b)]. Kali terakhir proses menaik taraf tanah diadakan pada tahun 1995. Kesemua PDT akan memuktamadkan kawasan yang akan dinaiktaraf sebagai bandar atau pekan untuk diangkat ke pertimbangan MMKN dan seterusnya diwartakan mengikut Seksyen 11 (c) (a) dan Seksyen 11 (d) Kanun Tanah Negara 1965. Hasil Kerajaan Negeri akan meningkat kerana sebahagian besar kawasan yang terlibat adalah kawasan industri dan bangunan di mana cukai yang dikenakan ketika ini adalah kadar tanah luar bandar;

     

    • Pelaksanaan kadar cukai petak dan pengenaan fi cukai petak bagi pembangunan berstrata ke atas kaedah-kaedah hak milik strata Negeri Selangor selaras dengan pindaan Akta Hak milik Strata (Pindaan 2016) (A1518) bagi semua daerah di Negeri Selangor yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2018. Melalui pelaksanaan cukai petak ini, hasil kerajaan akan meningkat kerana;

     

    • Pemilik petak hak milik strata boleh membayar cukai bagi petak individu sahaja;

     

    • Kutipan tunggakan cukai bagi tanah di mana bangunan didirikan boleh diagihkan berkadaran dengan unit syer petak;

     

    • Memperuntukan prosedur tuntutan kutipan melalui penggubalan kaedah-kaedah hak milik strata Negeri oleh Pihak Berkuasa Negeri;

     

    • Melantik Pihak Berkuasa Statutori (PBS) sekiranya wujud kegagalan pemilik petak membayar cukai petak serta pelanggaran syarat pada petak;

     

    • Dapat memperuntukan kuasa kepada PBN untuk membuat kaedah berkenaan pengenaan, perebetan, pembayaran secara ansuran, penangguhan atau apa-apa perkara sampingan melibatkan cukai

     

    • Pemberimilikan tanah Kerajaan secara jualan terus tender terbuka yang telah dilaksanakan melalui Arahan Pengarah Tanah dan Galian Selangor bil. 3/2016 bagi tanah-tanah Kerajaan yang berpotensi untuk dibangunkan;

     

    • Pajakan tanah Kerajaan bagi tujuan tertentu dengan tempoh pajakan maksimum selama 21 tahun dengan kadar pajakan dan sewaan tanah yang ditetapkan;

     

    • Cadangan pelaksanaan dasar baharu berkaitan Pembangunan Berorientasikan Infrastruktur Awam di Negeri Selangor yang melibatkan pembangunan di kawasan berinfrastruktur awam seperti perkhidmatan transit dan sebagainya. Diantaranya, meningkatkan kepadatan unit rumah di kawasan Transit Oriented Development (TOD).

     

    • Selain itu, selaras dengan peruntukan Seksyen 101(5) (b), Kanun Tanah Negara 1965 memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk menyemak semula kadar cukai tanah setiap 10 tahun sekali. Kali terakhir semakan semula cukai tanah adalah pada tahun 2016 yang telah berkuat kuasa bermula pada Januari 2017. Daripada semakan setiap 10 tahun ini, Kerajaan Negeri boleh memperolehi pendapatan daripada hasil cukai tanah.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.