Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017
206) PEMBANGUNAN SUKAN GOLONGAN BELIA
Tahun: 2017
Sesi: 3
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Tuan Razaly Bin Hassan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri telah menyediakan insentif yang mencukupi untuk pembangunan sukan golongan belia sebagai salah satu langkah pencegahan dari pelbagai gejala sosial?
a), b) dan c)
Kerajaan Negeri amat prihatin serta menyediakan insentif yang mencukupi untuk pembangunan sukan bagi golongan belia sebagai salah satu langkah pencegahan dari pelbagai gejala sosial dengan menyediakan kemudahan sukan serta meningkatkan mutu sukan terutamanya di kalangan generasi muda dalam menggalakkan penglibatan mereka dalam aktiviti-aktiviti kesukanan. Justeru itu, dalam usaha untuk meningkatkan mutu dan kualiti kemudahan sukan, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM40,000.00 kepada setiap DUN untuk projek menaik taraf kemudahan sukan yang mana projek ini akan dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Kemudahan sukan ini disediakan bertujuan untuk memastikan kemudahan-kemudahan sukan tersebut dapat dinaiktaraf dan seterusnya digunakan untuk tujuan aktiviti sukan kemasyarakatan. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1,900,000.00 bagi pada tahun 2016 untuk membaikpulih kemudahan sukan yang boleh digunakan sebagai pusat latihan dan mengadakan kejohanan sukan bertaraf tinggi seperti pusat latihan gimnastik artistik, gimrama, dewan tempur dan boling padang. Manakala bagi tahun 2017 pula, peruntukan sebanyak RM1,900,000.00 telah diperuntukkan bagi membaikpulih Stadium Mini Shah Alam.
Di samping itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM11,570,000.00 bagi menjalankan program-program pembangunan sukan melalui Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) bagi membuat persediaan Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2018 dan seterusnya mengekalkan kejuaraan seperti yang telah dicapai oleh Negeri Selangor pada tahun 2016. Dengan kejayaan SUKMA, Kerajaan Negeri telah memberi insentif sebanyak RM1,123,600.00 kepada atlet-atlet sebagai penghargaan kepada mereka di atas kejayaan tersebut.
Selain daripada itu, pelbagai aktiviti pembangunan sukan golongan belia dengan pelaksanaan oleh Penggerak Belia Tempatan (PeBT) sebagai agen pembangunan Negeri juga telah dilaksanakan bagi menarik penglibatan golongan generasi muda dalam aktiviti kesukanan. Program-program ini dirangka bagi mewujudkan golongan belia yang sihat, aktif, berpandangan jauh, kreatif dan berdaya saing sekali gus dapat mengelakkan daripada terjebak dengan pelbagai gejala sosial yang semakin membimbangkan.
Seagai contoh, Program Liga Sukan Selangor Plus telah dilaksanakan bermula pada tahun 2015 dalam usaha untuk menggalakkan aktiviti bersukan di kalangan golongan belia. Pada tahun 2017, program ini masih diteruskan dengan pembaharuan di mana penglibatan adalah di peringkat Penggerak Belia Tempatan (PeBT). Inisiatif ini adalah selaras dengan pelantikan PeBT yang baru di kalangan generasi muda yang berumur 30 tahun ke bawah yang mampu menarik lebih ramai golongan belia untuk menyertai 5 acara sukan yang akan dipertandingkan iaitu tarik tali, futsal, bola jaring 3 on 3, bola keranjang 3 on 3 dan sepak takraw antara regu. Dengan adanya program sukan sebegini, ia mampu untuk menarik minat golongan belia untuk bergiat dalam aktiviti sukan dan seterusnya dapat melahirkan generasi yang aktif dan sihat.
Seterusnya, Program Fun Ride Tour de Selangor telah diadakan bersempena Program Tour de Selangor bagi menggalakkan golongan belia untuk menyertai aktiviti berbasikal yang mana telah menarik minat penglibatan oleh golongan belia dengan penyertaan oleh 400 orang peserta yang berumur di antara 25 hingga 35 tahun. Melalui program ini, secara tidak langsung dapat menggalakkan aktiviti sihat di kalangan belia.
Di samping itu, Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan melalui Majlis Sukan Negeri Selangor juga telah melaksanakan program kerjasama dengan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO). Di antara program yang telah dilaksanakan ialah Ekspedisi Berbasikal Tandem Kuala Lumpur-Selangor-
Tasik Banding yang telah diadakan pada 19-23 September 2017 dengan kerjasama oleh Persatuan Pelatih Pusat Latihan Gurney, Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB). Program ini berjaya menarik penyertaan sebanyak 70 orang peserta di kalangan belia yang mana seramai 35 orang peserta adalah di kalangan orang cacat penglihatan yang menyertai kayuhan tersebut dan program ini telah membuktikan bahawa kayuhan juga mampu dilaksanakan oleh orang kurang upaya sejauh 400km.
-
Jika ya, nyatakan insentif itu?
-
Jika tidak, apakah rancangan alternatif Kerajaan?