Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

188) LADANG AYAM

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Dr. Idris Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pencemaran alam sekitar di Kuala Selangor dengan bau busuk dan lalat berpunca daripada ladang Ayam. Apakah langkah jabatan-jabatan terlibat untuk memantau ladang-ladang Ayam yang menimbulkan masalah?

    Sepanjang tahun 2017, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Selangor) tidak menerima sebarang aduan berkaitan pencemaran alam sekitar di Kuala Selangor yang berpunca daripada ladang ayam. DVS Selangor sentiasa bersedia untuk bertindak apabila menerima sebarang aduan atau laporan awam tentang pencemaran alam sekitar berpunca daripada ladang- ladang ternakan ternakan. Namun, pihak yang membuat aduan dimohon untuk memberi maklumat-maklumat mencukupi seperti nama ladang, lokasi ladang supaya DVS Selangor boleh menjalankan operasi bersepadu dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi berkaitan yang lain dengan segera.

    Seterusnya, langkah-langkah DVS Selangor untuk memantau ladang-ladang ayam yang menimbulkan masalah pencemaran alam sekitar adalah seperti berikut :

    i.                          Penguatkuasaan Undang-undang

    Salah satu tugas para pegawai DVS Selangor adalah menguatkuasakan undang-undang ke atas penternak-penternak yang menimbulkan masalah. Antara undang-undang utama yang digunakan oleh DVS Selangor bagi menangani masalah alam sekitar berpunca daripada ladang-ladang ternakan termasuk ayam adalah :

    • Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) [Akta 647],
    • Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013) [Akta A1452], dan
    • Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor)

     

    Di bawah Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007, pemilik ladang unggas yang disabitkan kesalahan, boleh dikenakan penalti, iaitu :

    • Kompaun,
    • Denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,
    • Denda lima ratus ringgit setiap hari kesalahan terus dilakukan, dan
    • Pengarah DVS Selangor berkuasa untuk membatalkan lesen perladangan

     

    ii.                  Lawat Siasat Aduan Awam

    DVS Selangor segera menyiasat sebarang aduan berkaitan ladang- ladang yang melanggar peraturan seperti menyebabkan pencemaran alam sekitar dan menimbulkan kacau ganggu. Kebiasaannya, lawat siasat awalan akan dibuat oleh pegawai Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PVD) dan sekiranya perlu, akan disusuli oleh pegawai-pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Veterinar DVS Selangor.

     

    iii.                Program Pengembangan Veterinar

    Semua kakitangan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PVD) bertanggungjawab untuk memberi khidmat nasihat dan kepakaran bagi memajukan ladang-ladang penternakan di negeri ini. Ini termasuklah khidmat nasihat tentang kaedah-kaedah menambah baik sistem penternakan bagi mencegah pencemaran alam sekitar.

Lampiran

Tiada Lampiran.