Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

149) USAHAWAN AGRO GENERASI MUDA SELANGOR (AGROGEMS)

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah syarat-syarat melayakkan seseorang peserta menerima bantuan Agrogems tersebut?

    Program Agro Generasi Muda Selangor atau lebih dikenali sebagai AGROGEMS adalah merupakan satu program yang mula dilaksanakan pada tahun 2015. Tujuan utama program tersebut dilaksanakan adalah untuk memberikan galakan dan kesedaran kepada golongan generasi muda yang berumur di antara 18 hingga 40 tahun bagi menceburkan diri di dalam sektor pertanian dan seterusnya menjadikan ianya sebagai sumber utama pendapatan atau ekonomi kepada golongan tersebut. Selain dari itu, ianya juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada sektor pekerjaan yang semakin menguncup. Terdapat dua sasaran utama yang telah digariskan sebagai panduan pelaksanaan program iaitu golongan yang telah memulakan projek pertanian dan golongan yang berminat tetapi belum memulakan projek pertanian mereka disebabkan oleh faktor kekurangan pengalaman dan ilmu pengetahuan serta tanah dan modal

    Bagi melayakkan seseorang peserta AGROGEMS itu untuk menerima bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri, syarat utama yang ditetapkan adalah peserta telah pun memulakan projek pertanian sekurang-kurangnya setahun di atas tanah yang jelas statusnya. Jenis bantuan yang disediakan adalah berbentuk peralatan dan input-input pertanian serta baka dan bahan binaan. Setiap kelulusan bantuan yang akan diluluskan tidak melebihi dari nilai RM30,000.00 untuk seorang pengusaha.

  2. Adakah kesemua penerima bantuan telah menerima bantuan tersebut?

    Bagi permohonan tahun 2015 dan 2016, kesemua permohonan yang layak dan telah memenuhi syarat asas serta melepasi kelulusan lawat siasat oleh jabatan iaitu Jabatan Pertanian Selangor, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor dan Jabatan Perikanan Selangor, telah pun menerima bantuan mereka. Penerima bantuan untuk tahun 2015 adalah seramai 21 peserta dengan jumlah kelulusan berjumlah RM279,975.00 manakala bagi tahun 2016 pula seramai 44 peserta dengan jumlah sebanyak RM668,123.00. Jumlah keseluruhan peruntukan untuk bantuan yang telah dibelanjakan bagi tahun 2015 dan 2016 adalah sebanyak RM948,048.00 merangkumi seramai 65 peserta.

    Melalui pemantauan yang telah dilaksanakan oleh jabatan-jabatan yang berkaitan sehingga Julai 2017 menunjukkan bahawa pelaburan oleh Kerajaan Negeri di dalam bentuk bantuan kepada peserta yang berjaya adalah amat positif di mana kenaikan dari segi jumlah jualan tahunan melonjak sebanyak 63% berbanding sebelum menerima bantuan. Berdasarkan hasil yang positif melalui dapatan yang diperolehi, Kerajaan Negeri akan terus memberikan penekanan dan galakan serta mempertingkatkan lagi promosi program agar kesemua golongan generasi muda di Negeri Selangor yang terlibat di sektor pertanian dapat turut sama menyertainya pada masa akan datang.

Lampiran

Tiada Lampiran.