Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

108) PROGRAM USAHAWAN BELIA

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah program bagi menggalakkan belia India menjadi usahawan dan bagaimanakah penggunaan peruntukan 1 juta untuk usahawan belia India?

    Pada 31 Oktober 2016 di dalam Pembentangan Belanjawan 2017 Negeri Selangor yang lalu, Y.A.B. Dato’ Menteri Besar telah mengumumkan sebanyak RM1,000,000.00 diperuntukan bagi tujuan Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor atau Selangor Indian Entrepreneurship and Capacity Building Program : Towards Economic Resilience, Empowerment and Upward Mobility.

    Program ini akan dilaksanakan secara berperingkat di mana fasa pertama telah dimulakan pada Ogos 2017 melibatkan seramai 240 usahawan India. Manakala fasa kedua melibatkan seramai 90 usahawan India. Anggaran bagi penyertaan fasa selanjutnya adalah seramai 200 orang usahawan India. Kumpulan sasar bagi program ini adalah seperti berikut:

     

    • Lelaki dan wanita kaum India berumur 18 tahun sehingga 60 tahun;

     

    • Belia atau graduan menganggur kaum India; dan

     

    • Ketua keluarga India berpendapatan rendah iaitu di dalam kategori B40 / M40.

     

    Dari jumlah 330 usahawan india, dianggarkan seramai 15 orang peserta kumpulan pertama telah memulakan perniagaan mereka dan dianggarkan 13 orang peserta pula sudah pun mengambil inisiatif di bawah program Hijrah Selangor untuk mengembangkan perniagaan.

     

    Peserta yang menyertai program ini akan menjalani latihan berbentuk kemahiran bersama syarikat peneraju/ NGO terpilih dan akan dipantau oleh syarikat peneraju/ NGO. Selepas tamat tempoh latihan tersebut, peserta akan diberi peluang untuk terus mengendalikan perniagaan mengikut jenis latihan yang diceburi dan diberi peluang untuk memohon bantuan dana dari HIJRAH Selangor. Program ini adalah latihan secara terus di dalam bidang perniagaan dan peserta berpeluang untuk menjalani latihan dan dalam masa yang sama sebagai permulaan peserta dapat menghasilkan produk untuk dijual terus dalam skala yang kecil.

    Selain itu, Kerajaan Negeri melalui HIJRAH Selangor melaksanakan program mentor usahawan (mentoring system) iaitu Zero to Hero di mana pada program ini usahawan dilatih dan dipantau oleh syarikat peneraju (anchor company) dalam jangka masa 6 bulan untuk memastikan kejayaan mereka.

    Pada program Zero to Hero, para peserta akan di beri taklimat oleh syarikat peneraju dan HIJRAH Selangor dan peserta dibahagikan mengikut golongan sasar yang ditentukan. Seterusnya, peserta yang terpilih akan mengikuti latihan mengikut jangka masa yang ditetapkan.

    Setelah tamat latihan, peserta yang berkelayakan sahaja akan ditawarkan pinjaman HIJRAH dan tempat/tapak niaga. Syarikat peneraju akan membantu dengan membekalkan peralatan dan barangan perniagaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.