Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

73) TAHAP KEPUASAN DAN SOKONGAN RAKYAT KEPADA KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan sejauh manakah tahap kepuasan dan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Negeri Selangor?

    Berdasarkan survei terbaru oleh organisasi media Sinar Harian, tahap kepuasan dan sokongan rakyat terhadap Dato’ Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Bukit Antarabangsa menunjukkan tahap kepuasan dan sokongan rakyat Negeri Selangor berada pada paras 55 peratus. Hasil kaji selidik itu dilakukan Sinar Harian terhadap 550 responden di seluruh Negeri Selangor, di mana 301 daripadanya mahu Kerajaan Negeri sedia ada dikekalkan. Tinjauan Sinar Harian berkenaan diterbitkan akhbar itu pada 28 September

    Tinjauan Institut Darul Ehsan atau IDE pula pada Februari lalu membabitkan 2,018 responden di 56 Kawasan Dewan Undangan Negeri mendapati, sokongan rakyat Selangor kepada Kerajaan Negeri adalah sebanyak 62 peratus, manakala tinjauan IDE terbaru pada Ogos lalu membabitkan lebih 4,000 rakyat di 130 kawasan Parlimen  di Semenanjung Malaysia mendapati, 49 peratus responden menganggap prestasi Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Yang Amat Berhormat Bukit Antarabangsa adalah cemerlang.

    Satu lagi tinjauan oleh Merdeka Centre for Opinion Research yang diterbitkan pada Jun 2016 memperoleh hasil bahawa 65 peratus daripada 1,011 rakyat di 56 Kawasan Dewan Undangan Negeri Selangor berpuas hati dengan pentadbiran Yang Amat Berhormat Bukit Antarabangsa.

    Berdasarkan tinjauan oleh organisasi media Sinar Harian, badan pemikir berkaitan Kerajaan Negeri dan badan pemikir bebas sejak tahun lalu, tahap kepuasan dan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Negeri Selangor adalah konsisten pada paras antara 50 peratus ke 70 peratus. Hasil

    tinjauan berkenaan tepat dan memberikan gambaran sebenar sokongan rakyat terhadap Kerajaan Negeri Selangor berikutan respondennya membabitkan lelaki dan perempuan, semua kaum, semua kelas pendapatan, semua Kawasan Dewan Undangan Negeri yang terdiri daripada kawasan urban, semi urban dan luar bandar.

  2. Sila nyatakan apakah faktor utama yang mendorong kepuasan dan sokongan rakyat semakin melonjak terhadap Kerajaan Negeri Selangor?

    Berdasarkan tinjauan-tinjauan yang dilakukan itu, boleh dirumuskan faktor utama yang mendorong kepuasan dan sokongan rakyat melonjak terhadap Kerajaan Negeri Selangor adalah disebabkan keyakinan rakyat bahawa Yang Amat Berhormat mampu membawa kestabilan pentadbiran dan mempertahankan kedaulatan Negeri Selangor walaupun diserang dan diasak oleh pimpinan UMNO Barisan Nasional yang menerajui Putrajaya. Rata-rata rakyat, khususnya pengundi teruja akan kemampuan pimpinan Negeri Selangor mengekalkan kestabilan dan bekerjasama padu melaksanakan program Peduli Rakyat yang membantu mengangkat martabat rakyat serta meringankan beban harian mereka akibat dasar Putrajaya yang menindas anak Selangor, menerusi GST dan cukai lain yang

     

    Keberkesanan program Peduli Rakyat, terutama yang berimpak tinggi seperti perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor, Skim Peduli Sihat, Skim Peduli Siswa, Air Percuma, pengecualian cukai pintu penduduk kampung dan fi lesen perniagaan, Skim HIJRAH Selangor, Skim Mesra Usia Emas, TAWAS, Skim DanaSel, Skim Smart-Sewa dan program lain turut mendorong melonjakkan sokongan rakyat Selangor kepada pimpinan Kerajaan Negeri. Kemurahan hati Kerajaan Negeri membela penjawat awam negeri juga meningkatkan sokongan kepada Kerajaan Negeri Selangor.

     

    Amnya, tahap keberkesanan Peduli Rakyat ini bukan sahaja mendorong melonjakkan sokongan rakyat kepada Kerajaan Negeri Selangor, malah mendorong Putrajaya yang diketuai Dato’ Sri Najib Razak MENCEDOK, MEMPLAGIAT DAN MENIRU dasar Kerajaan Negeri ketika pembentangan Bajet Persekutuan 2018 dengan harapan beliau akan memperoleh sokongan rakyat yang semakin hari semakin menjauhi  beliau.

     

    Tidak dilupakan, dasar Putrajaya yang menindas seperti pelaksanaan GST, duti eksais melampau, kegagalan menangani inflasi, kemerosotan nilai ringgit, sikap mewah berbelanja pemimpin Persekutuan, urus tadbir yang lemah seperti yang ditunjukkan dalam pengagihan Bajet Persekutuan 2018 telah menambahkan lagi kebencian dan rasa  tidak puas hati rakyat kepada Kerajaan Persekutuan, sekali gus membawa perbandingan kepemimpinan antara Perdana Menteri dengan Dato’ Menteri Besar Selangor. Akibatnya, sokongan kepada Kerajaan Negeri Selangor bertambah kukuh, dan pada masa sama sokongan kepada Kerajaan Persekutuan, terutama di Selangor bertambah sangat tidak popular.

  3. Sila huraikan apakah pendekatan yang proaktif untuk memperkukuhkan kepuasan dan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Negeri Selangor?

    Hasil dapatan tinjauan-tinjauan ini digunakan bagi mengukur sokongan rakyat terhadap dasar dan program Kerajaan Negeri, rakyat jelas mahukan Kerajaan Negeri prihatin dengan kesusahan mereka akibat dasar Putrajaya yang menindas. Justeru, Kerajaan Negeri akan meneruskan semua program Peduli Rakyat dan menambahbaik pelaksanaannya dari semasa ke semasa. Kerajaan Negeri tidak mudah berpuas hati dengan usaha yang dilakukan setakat ini. Kerajaan Negeri akan sentiasa mencari jalan memberi perkhidmatan dan penyampaian yang terbaik kepada anak Selangor. Kerajaan Negeri juga tuntas memberdaya golongan yang memerlukan perhatian, khasnya golongan berpendapatan rendah supaya mereka dapat keluar daripada edaran celaka atau vicious cycle, sekaligus memperbaiki taraf hidup mereka. Kepemimpinan Kerajaan Negeri turut sedar bahawa politik kaum memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi serta kestabilan negeri, maka pimpinan Negeri Selangor komited mempertahankan kedaulatan Istana Selangor, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain dan menjunjung agama Islam serta kebebasan penganut agama lain beribadah. Semua perkara yang disebutkan tadi adalah pendekatan-pendekatan Kerajaan Negeri dalam menguruskan Selangor supaya negeri ini menjadi model masa depan Malaysia apabila berlaku perubahan kepemimpinan di Putrajaya

Lampiran

Tiada Lampiran.