Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

46) KEJAYAAN PERTANIAN DI SELANGOR

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan kejayaan utama kerajaan dalam melonjakkan aktiviti pertanian.

    Sebagai sebuah negeri yang bertunjangkan slogan Smart Selangor, aktiviti sektor pertanian di Negeri Selangor turut diberikan keutamaan dan perhatian yang serius ke arah tersebut. Walaupun dengan hanya memiliki jumlah kawasan tanah pertanian yang semakin mengecil kesan dari persaingan dengan arus kemajuan pembangunan yang tinggi dan rancak, golongan petani dan penternak di Negeri Selangor sentiasa diberikan perhatian khususnya di dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan bimbingan serta bantuan oleh jabatan-jabatan yang berkaitan. Ini dibuktikan dengan penggunaan kaedah pertanian persis (precision agriculture) di mana setiap faktor-faktor pengeluaran adalah tepat dan bersistematik yang menjurus kepada hasil yang tinggi dan berkualiti walaupun dengan penggunaan tanah yang kecil. Selain dari itu juga, penglibatan pihak swasta yang membawa bersama pengalaman dan teknologi- teknologi moden turut diberikan perhatian untuk dilaksanakan di Negeri Selangor. Hasil daripada faktor tersebut, ia telah dibuktikan dengan kejayaan- kejayaan oleh pengusaha-pengusaha sektor pertanian di peringkat kebangsaan seperti berikut :-

     

    • Jumlah pengeluaran padi per hektar yang tertinggi iaitu pada kadar purata 6.49 metrik tan per hektar berbanding pengeluaran purata negara iaitu 4.4 metrik tan per hektar;

     

    • Jumlah penerima Anugerah myGAP dan myOrganik tertinggi untuk tempoh selama 5 tahun berturut-turut. Untuk tahun 2016, seramai 209 (21%) pengusaha tanaman dari Negeri Selangor telah dianugerahkan Sijil myGAP dan myOrganik ( 208 penerima Sijil myGAP dan 1 penerima Sijil myOrganik) daripada seramai 973 penerima sijil myGAP dan 15 penerima myOrganik dari seluruh negara;

     

    • Penanaman berkonsepkan fertigasi dengan jumlah polibeg yang tertinggi iaitu sebanyak hampir 2 juta polibeg untuk tanaman dengan jumlah pengusaha lebih dari 1,000 orang dengan keluasan lebih kurang 790 hektar;

     

    • Program Taman Kekal Pertanian Makanan (TKPM) Negeri Selangor adalah merupakan program TKPM yang tertinggi dari segi catatan jumlah hasil jualan setahun berbanding Program TKPM seluruh negara dengan nilai jualan sebanyak RM32 juta atau 43% dari jumlah keseluruhan jualan TKPM yang lain;

     

    • Program ternakan ayam kampung secara moden bertingkat di Daerah Kuala Langat pula adalah merupakan projek ternakan ayam kampung yang pertama diwujudkan di Malaysia; dan

    Negeri Selangor adalah merupakan antara negeri pengeluar telur ayam tertinggi di Malaysia dan bekalan telur untuk Negeri Selangor telahpun mencapai 100% dari segi Self Sufficient Level (SSL).

  2. Adakah kerajaan bersedia membantu memberi subsidi khas bagi melestarikan sumbangan petani dan nelayan yang dihimpit masalah ekonomi keluarga?

    Golongan petani dan nelayan serta penternak adalah merupakan golongan yang penting di dalam sesebuah negeri atau negara bagi memastikan tahap sekuriti bekalan makanan atau food security berada pada tahap yang terbaik. Sehubungan dengan itu, kebajikan serta keperihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan tersebut sentiasa diambil berat khususnya di dalam meringankan beban masalah ekonomi terutamanya pada situasi ekonomi ketika ini yang dihimpit oleh kenaikan barangan keperluan harian. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa langkah bagi membantu golongan-golongan tersebut di dalam memastikan golongan tersebut terbela. Antara tindakan yang telah diambil adalah seperti berikut :-

     

    • Menyediakan bantuan peralatan dan input pertanian seperti peralatan menangkap ikan untuk nelayan, peralatan dan input pertanian untuk petani dan bantuan berbentuk peralatan, bahan binaan dan baka serta anak ikan untuk penternak;

     

    • Menyediakan peruntukan khas kepada golongan pesawah apabila dilanda bencana serangan penyakit sebagai contoh pesawah yang terlibat dengan serangan penyakit hawar daun bakteria atau Bacterial Leaf Blight (BLB) serta bantuan baja dan racun bagi meringan bebanan kesan dari kejatuhan hasil tanaman; dan

     

    • Kerajaan Negeri bersedia untuk memberikan pertimbangan yang sewajarnya ke atas apa sahaja permohonan dari golongan petani, penternak dan nelayan yang dilanda musibah akibat dari bencana alam atau seumpamanya berdasarkan tahap kerugian kesan dari kehilangan

     

  3. Sudah adakah Tabung Petani/ Nelayan untuk menjaga kebajikan diri dan keluarga?

    Pada ketika ini, Kerajaan Negeri belum mewujudkan Tabung Petani / Nelayan. Ini adalah kerana walaupun tanpa Tabung Petani / Nelayan tersebut, kebajikan golongan petani, nelayan dan juga penternak sentiasa diberi perhatian dan tindakan yang sewajarnya dengan kelulusan secara terus atau add-hoc bagi memastikan nasib golongan tersebut sentiasa terbela jika ditimpa bencana atau musibah.

Lampiran

Tiada Lampiran.