Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017
23) KEBAJIKAN DAN PEMBASMIAN KEMISKINAN
Tahun: 2017
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Puan Rodziah Binti Ismail
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah kadar kemiskinan yang diguna pakai oleh Kerajaan Negeri Selangor, untuk bandar dan luar bandar?
Usaha membasmi kemiskinan di kalangan rakyat sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dengan membantu masyarakat meningkatkan tahap pendapatan dan keadaan sosio ekonomi untuk berhijrah keluar daripada kitaran kemiskinan. Untuk itu, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor yang diguna pakai oleh semua Jabatan/ Agensi di Negeri Selangor yang menyelaras dan melaksanakan program bantuan adalah berjumlah RM1,500 seisi rumah bagi kedua-dua di bandar dan luar bandar. Ini adalah berdasarkan kepada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 40/2016 bertarikh 7 Disember 2016 bersetuju bahawa PGK Negeri Selangor dikekalkan pada paras RM1,500.00 seisi rumah. Terdahulu, PGK RM1,500 seisi rumah ini mula diguna pakai sejak tahun 2009 berdasarkan kepada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 1/2009 pada 7 Januari 2009. PGK Selangor ini juga dilihat lebih realistik dan bersesuaian dengan senario ekonomi semasa berbanding dengan PGK Nasional iaitu RM930 seisi rumah (mulai tahun 2014).
-
Kemiskinan di Selangor telah mencapai 0% pada 2016, apakah kayu ukur yang digunakan bagi mengukur pencapaian ini?
Bagi membolehkan Negeri Selangor mencapai matlamat kemiskinan sifar dalam semua dimensi, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil pendekatan “peduli rakyat”. Kerajaan Negeri juga sentiasa menyediakan peluang saksama kepada semua rakyat untuk turut serta dalam pertumbuhan ekonomi akan menghasilkan komposisi ekonomi yang seimbang dalam pekerjaan dan pemilikan perniagaan/ perusahaan tanpa mengira kaum, gender dan latar belakang.
Berdasarkan kepada Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2016 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor mencatatkan tiada insiden kemiskinan. Konsep kemiskinan yang digunakan adalah mengambil kira PGK makanan dan PGK bukan makanan bagi setiap isi rumah. Sesebuah isi rumah dianggap miskin jika pendapatan mereka kurang daripada nilai PGK yang diperlukan. Ini bermaksud isi rumah tersebut kekurangan sumber pendapatan untuk memenuhi keperluan asas makanan dan bukan makanan bagi setiap ahlinya.
Justeru itu, kayu pengukur yang digunakan bagi mengukur pencapaian ini adalah dari segi jumlah pendapatan isi rumah dan bilangan isi rumah di bawah PGK. Pengiraan kadar kemiskinan merangkumi kesemua isi rumah yang mempunyai pendapatan kasar bulanan di bawah PGK.
-
Apakah program-program bantuan yang dilaksanakan sehingga matlamat ini tercapai, nyatakan?
Negeri Selangor bukan sahaja penyumbang utama kepada KDNK negara, bahkan sentiasa terkehadapan dan menjadi peneraju di kalangan negeri-negeri lain dalam menyediakan pelbagai inisiatif yang berpaksikan rakyat sebagai usaha membasmi kemiskinan secara total dan efektif. Antara inisiatif tersebut adalah Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).
Terdiri daripada empat puluh dua (42) program, Program-program IPR merupakan usaha keras Kerajaan Negeri dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi golongan berpendapatan rendah di samping mengurangkan bebanan kos sara hidup dari dimensi kesihatan, pendidikan dan taraf hidup rakyat. Antara Program-program IPR adalah seperti Rumah Selangorku, Skim DanaSel, Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin, Program Bantuan Makanan Asas (Food Stamp), Program HIJRAH, Dana Usahawan Mikro, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Skim Peduli Sihat, Program Dialisis Rakyat, Program Peduli Siswa, Biasiswa dan Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor, Biasiswa Selangor, Program Kemahiran Teknikal melalui INPENS serta pelbagai lagi.
Pengurangan insiden kemiskinan di Negeri Selangor yang dicatatkan hingga ke paras sifar pada tahun 2016 telah membuktikan bahawa program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri telah terbukti berjaya dalam memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.