Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

18) KERAJAAN NEGERI MENJADI PERANTARAAN UNTUK MEMUDAHKAN PERMOHONAN MEMPATENKAN PRODUK

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Noor Hanim Binti Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bolehkah Kerajaan Negeri menjadi perantaraan untuk memudahkan permohonan mempatenkan produk-produk ciptaan mesin pembuatan oleh Industri Kecil Sederhana agar tidak ditiru oleh pihak lain?

    Dalam agenda memperkasakan usahawan-usahawan Negeri  Selangor,  Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan telah menyediakan insentif dan merangka program-program yang berimpak tinggi dalam meningkatkan mutu produk usahawan. Di antara insentif yang diberikan oleh Kerajaan Negeri adalah Dana Usahawan Mikro Selangor di mana objektif program ini adalah untuk mengukuh dan meningkatkan daya saing perniagaan dengan membantu dari segi pembelian mesin dan peralatan serta lain-lain keperluan yang mempunyai nilai tambah dan mampu melonjakkan pembangunan usahawan mikro di Negeri Selangor. Para usahawan juga boleh memohon dana ini untuk menampung kos pensijilan produk seperti paten, pensijilan halal, penjenamaan produk (branding) dan lain-lain.  Selain            itu, Kerajaan Negeri ada menyediakan program yang mempertingkatkan mutu produk usahawan iaitu program Pembungkusan Produk Made In Selangor yang dijalankan secara usaha sama dengan SIRIM Berhad. Salah satu modul dalam program ini adalah peningkatan produk melalui Pensijilan Halal dan Penjenamaan Produk (Branding). Pada program ini peserta akan menerima pensijilan produk, carian jenama dan cetakan pembungkusan yang telah diperbaharui.

    Paten merupakan salah satu kategori perlindungan harta intelek yang ditadbir urus oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Terdapat beberapa prosedur yang perlu dilalui sebelum pensijilan dan pewartaan paten diberikan. Selain daripada Paten, terdapat empat (4) harta intelek lain yang boleh melindungi produk usahawan iaitu Cap Dagangan, Reka bentuk Industri, Petunjuk Geografi dan Hak Cipta. SIRIM Berhad selaku institut piawaian dan penyelidikan perindustrian Malaysia mengendalikan pendaftaran harta intelek dan memastikan produk di pasaran menepati piawaian yang ditetapkan

     

    dan bermutu tinggi.  SIRIM  Berhad  juga  menjalankan  kajian  dari  semasa  ke semasa bagi memastikan tiada penyelewengan dari segi kualiti.

     

    Kerajaan Negeri boleh bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan dalam menawarkan bantuan pendaftaran paten untuk produk usahawan dan ia boleh dirancang untuk dilaksanakan di masa akan datang. Namun pada masa ini, Kerajaan Negeri dalam perancangan untuk berkolaborasi dengan agensi yang bertanggungjawab dalam pemberian pengiktirafan sijil halal kepada usahawan Selangor yang berkelayakan. Ia bagi memberi peluang kepada lebih ramai usahawan untuk menembusi pasaran tempatan khususnya di pasar raya rantaian dan mengeksport produk ke luar negara.

Lampiran

Tiada Lampiran.