Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

10) PERSOALAN MENANGANI GEJALA SOSIAL

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan apakah tindakan kerajaan untuk menangani gejala sosial khususnya di kawasan bandar?

    Kerajaan Negeri telah mengambil pelbagai langkah dan tindakan untuk menangani masalah gejala sosial secara menyeluruh yang meliputi kawasan bandar. Antara tindakan dan inisiatif kerajaan ialah dengan mengadakan perancangan dan program-program seperti berikut :

     

    • Menyediakan Pelan Tindakan Menangani Gejala yang dijadikan sebagai panduan untuk melaksanakan tindakan menangani gejala sosial secara bersepadu. Ianya meliputi semua aspek bagi memastikan tindakan menangani gejala sosial dapat dilaksanakan dengan berkesan dan menyeluruh di semua peringkat selaras dengan hasrat dan halatuju Kerajaan Negeri. Pelan Tindakan yang digunakan merangkumi pendekatan seperti melaksanakan Program Pendidikan, Program Pencegahan, Program Penguatkuasaan dan Program Pemulihan / Pemurnian;

     

    • Satu Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Sosial Peringkat Negeri Selangor diwujudkan bertujuan untuk merancang pelaksanaan program-program serta operasi menangani gejala sosial. Manakala Jawatankuasa yang bersifat inklusif telah ditubuhkan di setiap daerah yang melibatkan Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan, JKKK, Jabatan Pelajaran Selangor, Pertubuhan Belia, Pertubuhan Wanita, Majlis Permuafakatan Guru (MPPBIG), Majlis Permuafakatan Tadika Selangor, Majlis Institusi Pendidikan Islam Selangor, Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor, Ketua-ketua kaum, komuniti, Persatuan Pesara, Kaunselor dan NGO;

     

    • Pelbagai program juga telah dilaksanakan seperti Program Generasi Berimpak Selangor dengan pengisian aktiviti yang bermanfaat seperti forum, program hiburan berinformasi, aktiviti-aktiviti kecergasan seperti larian, pertandingan bola sepak, karom, catur berkhemah, pameran jabatan serta agensi kerajaan dan Bengkel Pelan Tindakan Menangani Gejala Sosial Daerah. Selain itu pihak kerajaan juga melaksanakan program-program pengupayaan komuniti dan program jati diri remaja;

     

    • Perkhidmatan kaunseling dan psikologi secara percuma kepada orang awam melalui Pusat Kaunseling Selangor (PKS) atau lebih dikenali sebelum ini sebagai ‘Talian Sahabat’ juga disediakan sebagai alternatif pemulihan. PKS ini diuruskan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan mendapat kerjasama daripada kaunselor sukarela yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia. PKS ini beroperasi di Kompleks PKNS, Shah Alam;

     

    • Pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga melaksanakan program-program pencegahan bersepadu bersama Pejabat Daerah, PBT, PDRM, Imegresen dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Antara operasi pencegahan yang dilakukan seperti Operasi Sambutan Tahun Baru, Sambutan Kemerdekaan, Operasi Ajaran Sesat dan Operasi Tabung / Kutipan Derma Tanpa Kebenaran;da

     

    • Selain itu, pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di bawah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) telah melaksanakan Delivery Service dalam semua aspek dan mengadakan kerjasama dengan masyarakat serta pertubuhan melalui konsep Community Policing. Susulan itu, tindakan penguatkuasaan dengan melaksanakan beberapa Operasi Rondaan telah dilakukan seperti NBOS Penugasan Rondaan Bersama PDRM dan ATM (Joint Patrol), Rondaan ‘OP Ledak’, Rondaan Awam, Polis dan Angkatan Tentera (RAPAT) serta dan mewujudkan Polis Bantuan Kontinjen

     

  2. Apakah kejayaannya?

    Program-program dan operasi menangani gejala sosial yang dilaksanakan oleh kerajaan Negeri dengan kerjasama semua jabatan / agensi telah berhasil. Kejayaan dan keberkesanannya dapat dilihat melalui aspek-aspek berikut :

     

    • Laporan statistik Jenayah Indeks bagi tempoh 01 Januari hingga 29 Oktober 2016 dan sehingga Oktober 2017 yang diperolehi daripada

     

    Jabatan Siasatan Jenayah Selangor mendapati terdapat pengurangan kadar peratusan kes iaitu sebanyak 18.81% seperti berikut :

      Kesalahan 2016 Oktober 2017 Pengurangan %
    a) Jenayah Kekerasan 5,669 5,417 – 252 – 4.45
    b) Jenayah Harta benda 21,038 16,266 – 4772 – 22.68
      Jumlah 26,707 21,683 – 5024 – 18.81

     

    • Pengurangan kes tangkapan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semasa operasi pada malam sambutan kemerdekaan 2016 sebanyak 95 kes, manakala tahun 2017 sebanyak 32. Ini menunjukkan satu kejayaan pelaksanaan program operasi bersepadu menangani gejala sosial; dan

     

    • Penglibatan secara langsung pimpinan masyarakat dalam membuat perancangan program dan aktiviti, mewujudkan persefahaman dan perpaduan kaum melalui program-program serta wujudnya jaringan kerjasama di antara jabatan/agensi kerajaan dan masyarakat dalam memastikan masalah gejala sosial dapat diatasi adalah hasil atau kejayaan yang
  3. Bagaimana solusi kerajaan untuk luar bandar?

    Kerajaan Negeri dalam mencari jalan penyelesaian atau solusi untuk mengatasi masalah gejala sosial terutamanya di kawasan luar bandar telah mengambil langkah dan inisiatif seperti berikut:

    Menubuhkan Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial yang bersifat inklusif di setiap daerah yang melibatkan Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Ibu Pejabat Polis Daerah, Pejabat Agama Islam Daerah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pelajaran, Jabatan Kesihatan, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Ketua-ketua kaum, komuniti dan Tujuan penubuhan jawatankuasa ini ialah untuk memberi fokus dalam merancang program dan melaksanakan operasi pencegahan gejala sosial;

    • Menubuhkan Pusat Sehenti GeMS di kawasan fokus yang berperanan sebagai pusat yang menyediakan khidmat informasi dan menerima aduan penduduk. Selain itu pusat ini juga berperanan sebagai pusat untuk merancang dan melaksanakan program kesedaran serta pencegahan gejala sosial;
    • Pendekatan lain yang diambil oleh pihak kerajaan ialah dengan melaksanakan Program Pengupayaan Komuniti Setempat iaitu satu program yang berbentuk penerangan dan pendedahan untuk menangani gejala sosial yang melibatkan penyertaan daripada semua pimpinan masyarakat seperti Ketua Kampung, Ahli Majlis, Pengerusi Persatuan Penduduk, Ketua Komuniti, Jawatankuasa Masjid dan penduduk setempat. Intipati program ini ialah memberi kefahaman kepada pimpinan masyarakat mengenai langkah pencegahan awal dan tindakan susulan jika gejala sosial dan jenayah berlaku di kawasan mereka; dan
    • Program Pemantapan Jati Diri Remaja juga dilaksanakan oleh pihak kerajaan bertujuan menyediakan aktiviti / program berkualiti kepada remaja dengan memberi penekanan kepada penerapan jati diri dan nilai-nilai murni. Di samping itu, untuk mewujudkan rasa tanggungjawab serta keprihatinan remaja terhadap isu-isu masalah sosial.

Lampiran

Tiada Lampiran.