Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

234) LANTIKAN AHLI LEMBAGA PENGARAH GLC SELANGOR

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Bin Ibrahim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sebarang pelan tindakan menghapuskan atau paling tidak, meminimumkan lantikan politik di Lembaga Pengarah/Pemegang Amanah di kesemua Anak Syarikat Negeri dan sebaliknya memberi peluang kepada golongan professional dan bekas penjawat awam yang kompeten demi prinsip urus tadbir yang baik

    Pada masa ini, tiada sebarang pelan tindakan bagi menghapuskan atau meminimumkan lantikan politik di Lembaga Pengarah/Pemegang Amanah di Anak Syarikat dan Badan Berkanun Kerajaan Negeri.

    Walaupun terdapat di antara Ahli Lembaga Pengarah/Pemegang Amanah Lembaga Pengarah/Pemegang Amanah di Anak Syarikat dan Badan Berkanun Kerajaan Negeri yang berkecimpung secara aktif dalam bidang politik, tetapi lantikan mereka adalah berdasarkan kepada keilmuan, pengalaman, keperluan mengikut Enakmen atau Memorandum Of Article dan kelayakan dalam bidang yang diperlukan dalam sesebuah Anak-Anak Syarikat mahupun Badan-Badan Berkanun.

    Keahlian mereka dalam Lembaga juga tidak bersifat dominan di mana keputusan yang dibuat dalam Lembaga adalah keputusan yang bersifat majoriti. Keahlian Ahli Lembaga juga sememangnya terdiri daripada golongan profesional yang berkomitmen dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh dedikasi dan komited tanpa sebarang sentimen yang bersifat memenuhi kepentingan mana-mana individu atau parti poltik secara khusus.

    Penglibatan ahli politik dalam Anak-Anak Syarikat mahupun Badan-Badan Berkanun Kerajaan Negeri juga bukanlah menjadi satu kesalahan selagi garis panduan dan etika tadbir urus korporat organisasi dipatuhi dan dipelihara. Selain itu, ahli politik juga merupakan individu yang mewakili rakyat. Justeru, aktiviti/pengurusan Anak Syarikat dan Badan Berkanun dapat dilaporkan secara telus dan berintegriti dalam memenuhi kepentingan rakyat.

Lampiran

Tiada Lampiran.