Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

220) JANJI PEMBINAAN RUMAH ALTERNATIF UNTUK 5 BUAH PELADANG DI BATANG BERJUNTAI SELANGOR

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Loh Chee Heng

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan terkini untuk lebih kurang 300 orang pekerja ladang dari 5 buah ladang (Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Minyak dan Ladang Bukit Tegar ) di Batang Berjuntai Daerah Kuala Selangor, Selangor yang menuntut pembinaan rumah alternatif oleh Tetuan Berjayacity, anak syarikat Tetuan Berjaya Corporation?

    Sebagaimana Yang Berhormat Telok Datok sedia maklum, isu bekas pekerja-pekerja Pengurusan Berjaya City Sdn. Bhd. adalah melibatkan lima (5) ladang iaitu Ladang Bukit Tagar, Ladang Mary, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Nigel Gardner dan Ladang Minyak. Sebanyak 197 keluarga menetap di ladang tersebut dan seramai 57 keluarga yang bersara dikenalpasti telah diberi Notis Pengusiran.

    Tagar Properties Sdn. Bhd. telah mengeluarkan Notis Pengusiran bertarikh 11 March 2016 kepada 57 keluarga tersebut dan memberi tempoh sehingga 15 April 2016 untuk mengosongkan rumah.

    Pada 18 April 2016, satu mesyuarat bersama YB ADUN Kuala Kubu Bahru, Majlis Daerah Kuala Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor, Berjaya City Sdn Bhd, Tagar Properties Sdn. Bhd., Kesatuan Sekerja dan Jawatan Kuasa Bekas Pekerja Berjaya City telah diadakan di pejabat EXCO. Mesyuarat memutuskan pihak Kumpulan Berjaya agar membuat suatu solusi dalam menyelesaikan isu perumahan bekas pekerja ladang.

    Mesyuarat juga merujuk kepada surat Tetuan Berjaya City bertarikh 27 Februari 2008 bahawa setiap bekas pekerja akan mendapat peruntukan tanah seluas 4,000 kaki persegi.

    Berjaya City Sdn. Bhd. melalui surat bertarikh 20 Januari 2015 telah memberi Surat Akujanji bahawa sekiranya Ladang Berjaya City dimajukan, maka mereka akan memastikan penyediaan perumahan tetap untuk pekerja dan memastikan segala kebajikan.

    Pada 14 November 2016, satu mesyuarat susulan telah diadakan di Pejabat EXCO bersama Berjaya City Sdn. Bhd.. Ekoran daripada mesyuarat tersebut,  Pihak Berjaya City Sdn. Bhd. melalui surat bertarikh 15 November 2016 berjanji akan membuat tawaran tunai sebanyak RM20,000 atau membuat pengurangan belian Rumah Selangorku kepada 69 orang keluarga bagi menggantikan tawaran asal iaitu memperuntukan tanah seluas 4,000 kaki persegi.

    Pada 30 November 2016, Jawatankuasa Pekerja telah menolak tawaran yang dikemukakan oleh Tetuan Berjaya City Sdn. Bhd. dan masih menuntut janji asal iaitu pampasan tanah seluas 4,000 kaki persegi dan juga memohon sumbangan untuk mendapatkan tapak tanah bagi Sekolah Tamil, kuil dan pembinaan dewan melalui mesyuarat bersama di Pejabat EXCO.

    Walau bagaimanapun, perjumpaan dengan Y.Bhg. Dato’ Francis Ng Sooi Lin, Ketua Pegawai Eksekutif, Berjaya Land Berhad telah memaklumkan bahawa syarikat mereka hanya dapat menawarkan sumbangan atas dasar “Corporate Social Responsibilities (CSR)”  kepada 69 orang yang telah berkhidmat dengan syarikat mereka sahaja.

    Pihak Berjaya City Sdn. Bhd. bersetuju untuk menawarkan Rumah Selangorku di Taman Berjaya (Berjaya Park), Shah Alam kepada setiap 69 orang kakitangan dengan diskaun sebanyak RM20,000 seunit sebagai ganti pampasan tanah seluas 4,000 kaki persegi kepada setiap bekas pekerja ladang tersebut.

    Sehubungan itu, Berjaya City Sdn. Bhd. telah mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang (KM) Pindaan Pelan Susunatur Bagi Cadangan Rumah Selangorku dengan rujukan (18)MBSA/PRG/2016-96(32A)Jld.4 pada 19 Ogos 2016 dan Pelan Tapak Cadangan Rumah Selangorku.

    Merujuk kepada surat bertarikh 13 March 2017, kebajikan pekerja-pekerja ladang dan usaha Tanggungjawab Sosial Korporat Berjaya City menyelesaikan isu 69 orang bekas pekerja ladang tersebut sepertimana berikut:

    • Penawaran wang tunai sebanyak RM20,000.00 kepada mereka sekiranya pembangunan perumahan akan datang di kawasan tersebut gagal disediakan tertakluk kepada penyediaan kemudahan infrastruktur dan utiliti dalam tempoh 2 tahun dari 13/03/2017 dan mereka boleh membuat tuntutan selepas tempoh tersebut ; atau
    • Penawaran diskaun sebanyak RM20,000.00 kepada mereka ke atas pembelian pembangunan perumahan akan datang di kawasan tersebut tertakluk kepada penyediaan kemudahan infrastruktur dan utiliti dalam tempoh 2 tahun.

    Walau bagaimanapun, segala tawaran Berjaya City Sdn. Bhd. adalah di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan tanpa prejudis

  2. Apakah bantuan yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor setakat ini untuk membantu para peladang?

    Sama seperti di SUB (a)

Lampiran

Tiada Lampiran.