Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

191) PROJEK PEMBANGUNAN

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan secara terperinci semua projek Kerajaan Negeri yang sedang dilaksanakan dan status.

    Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak 347 buah projek fizikal melibatkan enam (6) Vot Pembangunan iaitu Pejabat Menteri Besar dan SUK, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Status kemajuan projek fizikal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) adalah sebanyak 41% sedang dalam pelaksanaan dan 7.5% telah siap dilaksanakan.

  2. Apakah tindakan Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap projek yang dilaksanakan memenuhi KPI yang ditetapkan?

    Kerajaan Negeri komited untuk memastikan rancangan pembangunan dapat dilaksanakan di Negeri Selangor selaras dengan visi Membangun Smart Selangor Yang Peduli. Mekanisme pemantauan pelaksanaan projek-projek pembangunan negeri bagi tahun 2017 di peringkat Kerajaan Negeri dibuat melalui Jawatankuasa Tetap Kewangan yang dipengerusikan oleh YAB. Dato’ Menteri Besar Selangor yang dibuat sebanyak empat (4) kali setahun. Selain itu, pemantauan juga dibuat melalui Jawatankuasa Kerja Tindakan Negeri (JKTNg) yang dipengerusikan oleh YB. Setiausaha Kerajaan Negeri yang bermesyuarat sebanyak tiga (3) kali setahun dan juga Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Perancangan Projek Pembangunan Negeri (JKTPN) yang dipengerusikan oleh YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) yang bermesyuarat sebanyak enam (6) kali setahun.

    Kerajaan Negeri telah menetapkan sasaran pencapaian perbelanjaan pembangunan bagi tahun 2017 adalah sebanyak 95% sejajar dengan perkembangan status kemajuan fizikal projek yang telah dirancang yang mana 80% projek fizikal perlu disiapkan iaitu sebanyak 278 buah projek dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas Negeri Selangor (RMKe-11) iaitu mulai tahun 2016 dan akan berakhir pada tahun 2020.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.