Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

174) DATA EKONOMI

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan data-data penting ekonomi negeri sejak tahun 2000 hingga kini.

    Antara data-data penting ekonomi yang boleh dirujuk bagi melihat prestasi ekonomi semasa adalah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dari segi nilai dan peratus sumbangan kepada negara. Selain itu, prestasi setiap sektor juga boleh dijadikan kayu ukur bagi menentukan pencapaian prestasi ekonomi negeri memandangkan ekonomi negeri bergantung kepada pertumbuhan setiap sektor iaitu sektor perkhidmatan, pembuatan, perkuarian dan perlombongan, pembinaan serta Ringkasan bagi data-data penting ekonomi ini adalah seperti di Lampiran A.

  2. Apakah faktor-faktor yang boleh mengukuh dan melemahkan ekonomi negeri?

    Terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi ekonomi sesebuah negara mahupun negeri. Antara faktor-faktor yang mempengaruhi pertumbuhan ekonomi adalah:

    • Pertumbuhan Jumlah Penduduk

    Dengan pertambahan jumlah penduduk di negeri, ia turut akan menambahkan jumlah tenaga buruh, jumlah pengeluaran, saiz pasaran dan akan meningkatkan perbelanjaan agregat dan merancakkan aktiviti perniagaan berdasarkan permintaan yang tinggi

    • Kemahiran Buruh dan Usahawan

    Sesebuah negeri atau negara yang mempunyai buruh dan usahawan yang berkemahiran tinggi dan mampu untuk mengendalikan pengeluaran berasaskan teknologi tinggi akan dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran negeri

    • Pertambahan Pelaburan

    Pertumbuhan dalam pelaburan akan dapat membantu pengeluaran melalui modal yang disalurkan dan seterusnya mendorong pertambahan keluaran negeri dan pertumbuhan ekonomi

    • Kekayaan Sumber Alam

    Kekayaan sumber alam amat penting untuk menjamin bekalan faktor pengeluaran yang mencukupi bagi proses pengeluaran dan akan menarik minat pelabur asing untuk melabur ke dalam negeri

    • Kemajuan Teknologi

    Negeri yang mempunyai asas yang kukuh dalam kemajuan teknologi akan dapat meninggikan kecekapan pengeluaran, meningkatkan jumlah pengeluaran dan mengurangkan kos pengeluaran dan seterusnya mendorong pertambahan keluaran negeri dan pertumbuhan ekonomi

    • Perluasan Pasaran

    Perluasan pasaran ke luar negara akan membolehkan industri berasaskan eksport meningkatkan pengeluaran eksport ke luar negara dan membantu pengusaha-pengusaha untuk memperkembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa. Pasaran yang berkembang ini akan menggalakkan pengeluaran dalam negeri bagi memenuhi permintaan dari luar negara

    • Galakan Kerajaan

    Galakan dan insentif yang diterapkan oleh Kerajaan Negeri melalui dasar-dasar ekonomi dan penyediaan kemudahan infrastruktur dapat membantu penubuhan kawasan perindustrian baru dan akan menggalakkan pelabur untuk melabur di dalam negeri. Kemudahan-kemudahan yang disediakan juga akan menjadi daya penarik kepada pelabur untuk meneruskan pelaburan dalam jangka masa panjang

    • Kestabilan Politik, Sosial dan Ekonomi

    Keadaan politik yang stabil, sosial masyarakat yang teratur dan keadaan ekonomi yang stabil akan menarik pelabur tempatan dan pelabur asing untuk melabur ke dalam negeri. Keharmonian dalaman yang disertai dengan kemudahan dan sistem pengangkutan yang lengkap akan memberi keyakinan kepada pelabur dalam merencanakan perancangan pelaburan terutamanya kepada pelabur asing

    Faktor-faktor yang menghalang pertumbuhan ekonomi pula adalah seperti berikut:

    • Perledakan Penduduk

    Bagi negeri yang mempunyai sumber ekonomi yang terhad, pertambahan penduduk akan menyebabkan negeri tersebut tidak dapat menampung kebajikan penduduk seperti menyediakan peluang pekerjaan dan kemudahan asas yang mencukupi

    • Kekurangan Buruh Mahir dan Usahawan

    Kekurangan pekerja mahir akan menyebabkan negeri menghadapi kesukaran untuk menguruskan projek-projek pembangunan dan menyekat usaha penyelidikan. Kekurangan usahawan yang berpotensi pula akan melembabkan aktiviti ekonomi dan menyebabkan negara ketandusan modal untuk membiayai projek-projek pembangunan bagi menjana pertumbuhan ekonomi

    • Kurang Pelaburan

    Sesebuah negeri yang mempunyai pendapatan yang rendah dan jumlah tabungan yang terhad berpunca dari kurangnya pelaburan akan menyebabkan negeri tidak dapat membangunkan kemudahan asas bagi menyokong aktiviti ekonomi negeri

    • Teknologi yang Rendah

    Penggunaan teknologi kurang canggih akan menyebabkan penyelidikan dan pembangunan terjejas. Selain kurang efisyen dan  produktif, ia juga melambatkan proses pengeluaran mengakibatkan produk dan perkhidmatan berkurangan jika dibandingkan dengan pengeluaran yang menggunakan teknologi tinggi

    • Sistem Sosial dan Sikap Masyarakat

    Masyarakat yang lebih suka mengamalkan ekonomi sara diri akan menyebabkan kurang persaingan komersial. Di samping itu, masyarakat yang tidak kompetitif mengakibatkan sektor-sektor utama yang menyumbang kepada pengeluaran negeri tidak berkembang seterusnya  menghalang pertumbuhan ekonomi

    • Pasaran Terhad

    Sekatan perdagangan antarabangsa akan menghalang perluasan pasaran eksport. Saiz pasaran domestik yang terhad disebabkan bilangan penduduk dan taraf hidup yang rendah pula akan menyebabkan pasaran menjadi kecil

    • Ketidakstabilan Politik, Sosial dan Ekonomi

    Masalah politik, keruntuhan akhlak, jenayah yang berleluasa, negara mengalami inflasi dan mata wang jatuh akan menyebabkan kurang pelabur asing untuk melabur dan ini akan menghalang pertumbuhan ekonomi

    Bagi Negeri Selangor, unjuran pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor dibuat dengan mengambil kira prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia dan pasaran global. Faktor-faktor seperti persekitaran ekonomi dunia yang berdepan dengan harga minyak mentah yang tidak menentu, harga komoditi utama negara dan trend ringgit perlu diambilkira memandangkan ia memberi kesan secara langsung kepada ekonomi negara. Walau bagaimanapun, Negeri Selangor sangat bertuah kerana mempunyai fundamental pelaburan yang stabil, asas kewangan yang kukuh serta sektor-sektor ekonomi yang berdaya saing. Kesemua faktor tersebut merupakan penyebab utama ekonomi Negeri Selangor berupaya untuk kekal dalam prestasi yang memberangsangkan walaupun prestasi ekonomi negara berada dalam kadar perlahan.

Lampiran

Tiada Lampiran.