Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

172) PEWARTAAN TANAH REZAB SUNGAI DI SELANGOR

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah bilangan sungai di Selangor yang direkodkan oleh agensi-agensi yang berkenaan?

    Melalui rekod LUAS sehingga tahun 2017 bilangan cabang sungai di Negeri Selangor adalah sebanyak 631 cabang sungai dengan anggaran panjang 3,420.24 km. Jumlah ini terdiri daripada cabang utama sungai sehingga ke cabang-cabang anak sungai. Secara pentadbiran, pengurusan 631 cabang sungai ini dibuat melalui tujuh (7) lembangan sungai utama iaitu :

    • 184 cabang sungai di Lembangan Sungai Langat sepanjang 1,056.88 km;
    • 156 cabang sungai di Lembangan Sungai Klang sepanjang 485.05 km;
    • 137 cabang sungai di Lembangan Sungai Bernam sepanjang 863.69 km;
    • 89 cabang sungai di Lembangan Sungai Selangor sepanjang 748.61 km;
    • 53 cabang sungai di Lembangan Sungai Buloh sepanjang 161.64 km;
    • 6 cabang sungai di Lembangan Sungai Tengi sepanjang 78.91 km;
    • 6 cabang sungai di Lembangan Sungai Sepang sepanjang 25.46 km.

    Sumber data bagi bilangan sungai ini adalah merujuk kepada Data Topografi dan Hidrologi JUPEM Selangor 2015, Senarai Daftar Sungai Bernam JPS Selangor dan pengemaskinian dari masa ke semasa melalui kerja-kerja perwartaan sungai di Negeri Selangor sebagai zon perlindungan yang di laksanakan oleh LUAS yang telah dimulakan sejak 2011 sehingga kini. Bilangan sungai ini juga akan berubah sekiranya LUAS mendapati terdapat cabang aliran sungai baru yang dikesan terbentuk melalui kerja-kerja perwartaan ini.

  2. Daripada jumlah sungai yang ada, berapa banyak tanah rizab sungai yang telah diwartakan (gazeeted) dan yang belum diwartakan?

    Asas perundangan bagi perwartaan sungai yang dilaksanakan oleh LUAS sejak 2011 sehingga kini adalah merujuk kepada kerperluan Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999 bagi maksud penubuhan zon perlindungan melalui perwartaan dan juga merujuk kepada keputusan MMKN Ke 22/2008 pada 6.8.2008 dan disahkan MMKN Ke 23/2008 pada 13.8.2008 menyatakan arahan bagi merwartakan sungai di kesemua tujuh(7) lembangan sungai di Negeri Selangor. Bagi maksud ini, LUAS telah memulakan kerja-kerja pewartaan sungai secara berperingkat bermula dari tahun 2011 melalui pewartaan fizikal semasa sungai tersebut dan anjakan jajaran sungai selebar 50 meter kiri dan 50 meter kanan ari tebing sungai ini selaras dengan peruntukan perundangan di dalam Enakmen LUAS, 1999. Untuk makluman, anjakan jajaran sungai ini bukan rizab sungai dan tidak melibatkan pengambilan balik tanah seperti mana pewartaan melalui Kanun Tanah Negara (KTN) akan tetapi ia merupakan kawsan zon perlindungan sungai yang memerlukan kawalan pembangunan melalui syarat dan peraturan khusus yang lebih ketat.

    Sehubungan itu berkenaan status perwartaan ini, sehingga kini daripada jumlah 631 cabang sungai ini hanya 3 cabang sungai (0.47%) telah diwartakan sepenuhnya iaitu Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Damansara. Manakala 156 cabang sungai (24.70%) masih di dalam semakan JUPEM Selangor untuk pengesahan dan penerbitan Pelan Rangka dan Pelan Warta. Selain itu, sebanyak 144 cabang sungai (22.82%) sedang dalam proses penyediaan Pelan Ukur pada tahun ini. Manakala baki sebanyak 328 cabang sungai (51.98%) dijangkakan akan dilaksanakan penyediaan kerja ukur pada tahun 2018 sehingga 2020 bergantung kepada kesediaan peruntukan. Perincian status pewartaan ini adalah seperti Lampiran 1. Isu utama kelewatan penyemakan pelanukur oleh JUPEM Selangor adalah disebabkan pelan-pelan ukur yang dikemukakan untuk semakan pihak berkenaan adalah melibatkan helaian kertas yang banyak bagi satu-satu sungai kerana skala pelan yang digunakan bagi menunjukan keperincian lot-lot tanah terlibat. Selain itu, proses dan prosedur bagi menunjukan JUPEM Selangor akan mengemukakan terlebih dahulu draf pelan warta melalui semakan Pelan Rangka sebelum Pelan Warta akhir dikeluarkan, ini bagi memastikan pelan-pelan ini disemak dengan lebih tepat oleh LUAS.

  3. Nyatakan kos penyelenggaraan sungai mengikut PBT dan tindakan yang dikenakan kepada penceroboh tanah rizab sungai

    Pelaporan pencerobohan akan dihantar kepada Pejabat Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan, LUAS dan Jabatan Alam Sekitar untuk tindakan susulan seprti perobohan, penyitaan dan kompaun. Kos penyelenggaraan sungai yang dilaksanakan oleh JPS adalah seperti jadual di bawah. Kos penyelenggaran sungai adalah berbeza setiap daerah tertakluk kepada panjang sungai dan juga skop kerja yang dilaksanakan.

    DAERAH KOS

    (RM)

    Hulu Langat 3.5 juta
    Hulu Selangor 1.1 juta
    Hulu Langat 3.5 juta
    Sabak Bernam 7.6 juta
    Petaling 5.1 juta
    Klang 9.0 juta
    Kuala Selangor 7.0 juta

    MAKLUMAT TAMBAHAN:

    Tindakan yang akan diambil oleh LUAS kepada pencerobohan tanah rizab sungai adalah tertakluk di bawah peruntukan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 dan Manual Tindakan Penguatkuasaan dan Pengeluaran NOTIS LUAS. Sekiranya kesalahan pencerobohan tanah rezab sungai berkenaan melibatkan pengubahan sumber seperti mengorek tanah, ianya bersalahan di bawah Seksyen 43 Enakmen LUAS. Selain daripada tindakan pendakwaan di mahkamah, tindakan perampasan atau penahanan di bawah Seksyen 99 boleh dilaksanakan bagi apa-apa peralatan yang terlibat dengan kesalahan.

    Sekiranya pencerobohan berkenaan melibatkan pendirian struktur, ianya bersalahan di bawah seksyen 70 Enakmen LUAS 1999. Struktur yang berkenaan hendaklah dialihkan dan kegagalan mengalihkan struktur berkenaan, LUAS boleh mengalihkannya dengan belanja dan kos ditanggung oleh pemilikstruktur berkenaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.