Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
168) KAWALAN LADANG TERNAKAN HAIWAN
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri mempunyai perangkaan (1) jumlah ladang-ladang ternakan di Selangor (2) jenis haiwan ternakan dan (3) keluasan ladang mengikut PBT atau daerah?
Kerajaan Negeri memang mempunyai perangkaan berkenaan yang dinamakan Data Penternakan Negeri Selangor Tahunan. Sebagai ringkasan, jumlah ladang-ladang ternakan dan jenis haiwan ternakan mengikut daerah bagi tahun 2016 seperti dalam Lampiran A. Anggaran keluasan ladang-ladang ternakan mengikut daerah bagi tahun 2016 adalah seperti dalam Lampiran B.
-
Bagaimanakah pemantauan dan kawalan dilakukan terhadap ladang-ladang tersebut bagi memastikan penternak mematuhi peraturan
Pemantauan dan kawalan dilakukan terhadap ladang-ladang tersebut bagi memastikan penternak mematuhi peraturan adalah seperti berikut :
- Penguatkuasaan Undang-undang
Salah satu tugas para pegawai DVS Selangor adalah menguatkuasakan undang-undang ke atas penternak-penternak yang melanggar peraturan. Antara undang-undang utama yang digunakan oleh DVS Selangor adalah Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) [Akta 647], Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013) [Akta A1452], Akta Makanan Haiwan 2009, Akta Kebajikan Haiwan 2015, Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1991 dan Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007. DVS Selangor juga membantu pihak lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi menguatkuasakan undang-undang pihak berkenaan.
- Lawat Siasat Aduan Awam
DVS Selangor segera menyiasat sebarang aduan berkaitan ladang-ladang yang melanggar peraturan seperti menyembelih ternakan secara haram, menyebabkan pencemaran, menimbulkan kacauganggu, menzalimi haiwan dan sebagainya. Kebiasaannya, lawat siasat awalan akan dibuat oleh pegawai Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PVD) dan sekiranya perlu, akan disusuli oleh pegawai-pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Veterinar DVS Selangor.
- Program Pengembangan Veterinar
Semua kakitangan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PVD) bertanggungjawab untuk memberi khidmat kepakaran dan nasihat bagi memajukan ladang-ladang penternakan di negeri ini. Ini termasuklah penyampaian maklumat tentang peraturan-peraturan terkini dan khidmat nasihat kepada penternak tentang kaedah-kaedah menambahbaik sistem penternakan bagi mencegah sebarang pelanggaran peraturan.
-
Laporan awam menyebut, Sungai Beranang sering dicemari oleh najis haiwan daripada sebuah ladang penternakan. Sejauh mana tindakan agensi yang berkaitan?
LUAS sentiasa menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan ke atas sebarang aktiviti pencemaran sumber air. Antara tindakan yang telah diambil adalah seperti berikut:
- Mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan pada Jun 2016 kepada pengusaha atas kesalahan melepaskan efluen adaripada Aktiviti Berjadual tanpa Lesen Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Pencemar daripada Pengarah LUAS.
- Mengeluarkan Surat Arahan kepada pengusaha pada Januari 2017 di bawah Seksyen 41(3)(d) yang mengarahkan pengusaha untuk mengambil tindakan penambahbaikan ke atas sistem kawalan pencemaran di premis, dan
- Pemantauan susulan mendapati pengusaha telah menjalankan kerja-kerja penambahbaikan ke atas sistem kawalan pencemaran di premis.
Pemantauan berkala akan terus dijalankan oleh LUAS bagi memastikan tiada pelepasan efluen daripada premis ini yang boleh menyumbang kepada pencemaran Sungai Beranang.