Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
154) PEMBINAAN BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT (BBP) DI SETIA ALAM DAN BUKIT RAHMAN PUTRA
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Mengapa Kerajaan Negeri perlu mengenakan caj premium tanah tinggi kepada KPKT, sedangkan projek itu atas dadar kepentingan awam?
Untuk makluman YB Sungai Burong, premium adalah berdasarkan nilaian pasaran yang dinilai oleh Jabatan Penilaian Perkhidmatan Harta (JPPH) yang mana ianya adalah diluar bidang kuasa Kerajaan Negeri. Penyediaan infrastruktur awam seperti Balai Bomba, Balai Polis, Sekolah dan lain-lain lagi telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui peruntukkan lima tahun pelan pembangunan yang dikenali dengan RMK. Oleh itu bagi tujuan tersebut, Kerajaan Persekutuan perlu mengemukakan permohonan pemberimilikan tanah kepada Pihak Berkuasa Negeri. Selain daripada menanggung kos untuk pembinaan bangunan tersebut, bayaran premium tanah juga perlu dijelaskan kepada Pihak Berkuasa Negeri. Merujuk kepada Perkara 83(2) Perlembagaan Persekutuan, telah menyatakan dengan jelas sekiranya Kerajaan Persekutuan mengkehendaki tanah Negeri secara pemberimilikan tanah, Kerajaan Persekutuan hendaklah membayar kepada Negeri itu premium yang sama banyak dengan nilaian pasaran tanah itu. Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan dasar pemberimilikan tanah kepada Kerajaan Persekutuan mengikut jenis kegunaan awam tersebut. Dasar ini wujud sejak dari tahun 1997 yang masih digunapakai hingga ke hari ini yang mana telah menetapkan kadar pembayaran premium sebanyak 25%, 50% dan 100% daripada nilaian pasaran mengikut jenis kegunaan awam. Pembayaran premium pada kadar nominal hanya dikenakan bagi tujuan mendirikan sekolah dan bagi tanah-tanah pengambilan yang melibatkan bayaran pampasan oleh Kerajaan Persekutuan.
-
Bagaimana pula dengan Kerajaan Negeri boleh memberi diskaun premium tanah kepada pemaju yang bina rumah Selangorku, mengapa mekanisme yang sama tidak digunapakai?
Untuk pengetahuan YB Sungai Burong, tiada pemberian diskaun diberikan kepada Kerajaan Persekutuan namun Kerajaan Negeri pernah meluluskan permohonan mengaktifkan semula bayaran premium yang telah luput tempoh sejak dari 2004 hingga 2013 berjumlah RM83,293,153.25.
Pemberian diskaun premium bagi tujuan penyediaan Rumah Selangorku adalah bertujuan untuk menggalakkan pemaju hartanah menyediakan Rumah Mampu Milik di atas tanah milik mereka. Berbeza dengan penyediaan Balai Bomba dan lain-lain infrastruktur awam yang mana ianya menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan prasarana tersebut samaada di atas tanah yang diberimilik oleh Kerajaan Negeri atau tanah yang diperolehi melalui urusan pengambilan tanah dibawah Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT).
Maklumat Tambahan berdasarkan Pekeliling PTGS Bil. 3/1997
Terdapat empat jenis kegunaan yang diklasifikasikan mengikut kadar premium yang dikenakan seperti berikut:-
- Kegunaan yang memberi faedah secara langsung kepada Kerajaan Negeri seperti Hospital, Klinik, Balai Bomba, Perpustakaan dan lain-lain lagi yang telah disenaraikan dikenakan premium pada kadar ¼ harga pasaran
- Kegunaan yang memberi faedah bersama kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan seperti Balai Polis, Penjara, Kem Tentera, Institut Pertanian dan lain-lain lagi yang telah disenaraikan dikenakan premium pada kadar ½ harga pasaran.
- Kegunaan perdagangan atau memberi faedah secara langsung kepada Kerajaan Persekutuan seperti Pejabat Pos, Lapangan Terbang, Pejabat Kastam dan lain-lain yang telah disenaraikan dikenakan premium pada kadar penuh harga pasaran.
- Kegunaan bagi tujuan mendirikan sekolah dikenakan premium pada kadar nominal RM1,000.00 sahaja.