Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
142) PERPADUAN DAN PERSEFAHAMAN KAUM
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Senaraikan kos yang terlibat bagi penganjuran rumah terbuka pelbagai budaya sepanjang tahun 2016
Kos yang telibat bagi penganjuran rumah terbuka pelbagai budaya oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi tahun 2016 adalah sebanyak RM3,193,588.33.
-
Apakah ukuran kejayaan penganjuran rumah terbuka ini bagi mencapai perpaduan dan persefahaman pelbagai kaum?
Penganjuran rumah terbuka mendapat sambutan yang amat menggalakkan di kalangan masyarakat dan warga negeri Selangor adalah diukur berdasarkan bilangan kehadiran daripada berbilang kaum dan agama serta pelbagai kategori, lapisan dan golongan masyarakat. Majlis sambutan yang mendapat maklumbalas baik dan positif daripada masyarakat juga adalah salah satu petunjuk prestasi kejayaan majlis sambutan. Sehubungan itu, majlis sambutan perayaan dilihat dapat mengeratkan tali silaturahim dan semangat muhibah dikalangan pelbagai kaum dengan mengenali adat dan amalan sambutan mengikut budaya, persembahan serta fahaman masing-masing.
Selain itu, penganjuran majlis yang berjalan lancar tanpa menjejaskan ketenteraman dan keselamatan awam adalah salah satu natijah ukuran perpaduan kaum di Selangor. Masyarakat juga berlapang dada menerima secara terbuka atas setiap acara dan persembahan kebudayaan yang ditunjukkan oleh pelbagai lapisan masyarakat serta kaum dalam setiap majlis sambutan yang dianjurkan.
-
Apakah langkah lain yang diambil oleh Kerajaan untuk merapatkan jurang persefahaman antara kaum dan menghakis sentimen perkauman?
Kerajaan Negeri telah mengadakan pelbagai program tanpa mengira kaum serta diadaptasikan mengikut kesesuaian lapisan masyarakat yang tinggal dan menetap di Negeri Selangor. Program-program tersebut adalah dibuka dan dipelawa kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa seperti program-program pembangunan sosial yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri antaranya bantuan kerajaan prihatin dan pelbagai program termasuk program pembangunan Kg Tradisi dan Kg Baru. Selain itu program-program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang terbuka kepada semua kaum dengan mensasarkan mereka yang memerlukan bantuan seperti program Hijrah, Bantuan Food Stamp, Skim Peduli Sihat, Peduli Siswa, Rumah Selangorku dan lain-lain program di bawah IPR menunjukkan kepedulian dan keprihatinan Kerajaan Negeri kepada rakyat Selangor terutama golongan yang kurang berkemampuan.
Di samping itu terdapat juga program-program lain di bawah Jawatankuasa-jawatankuasa Tetap yang memupuk semangat dan perasaan perpaduan kaum seperti program 5000 langkah yang diadakan di peringkat daerah dan PBT, aktiviti larian, senaman, berbasikal yang melibatkan pelbagai kaum di sesuatu tempat untuk menggalakkan aktiviti sihat bagi segenap lapisan masyarakat.
Secara keseluruhannya semua dasar, program dan aktiviti yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri memberi peluang sama rata kepada segenap lapisan masyarakat dan kaum di Negeri Selangor terutama terhadap anak jati kelahiran Selangor. Malahan kaum dan warga lain yang menetap serta bekerja di Selangor turut dapat menikmati dasar dan program Kerajaan Negeri.