Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
139) AUTONOMI INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI SELANGOR
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah rancangan Kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan UNISEL?
Dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan di UNISEL Kerajaan Negeri sentiasa memandang serius bagi memastikan graduan yang dilahirkan daripada UNISEL mempunyai kompeten dan berdaya saing di pasaran kerjaya. Justeru itu beberapa langkah telah dan akan diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan kualiti UNISEL berada di tahap maksimum. Antaranya ialah :
- ( i ) Pada tahun 2016, Kerajaan Negeri telah memberi bantuan geran sebanyak RM20 juta bagi membaik pulih dan menyelenggarakan infrastruktur dan peralatan akademik bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif kepada pelajar seterusnya dapat meningkatkan kualiti akademik di kalangan pelajar.
- ( ii ) Penganjuran program-program berskala besar dan berimpak tinggi dianjurkan dengan kerjasama di antara kerajaan negeri dan UNISEL juga dapat memberi imej UNISEL positif di kalangan masyarakat melalui penglibatan pimpinan masyarakat, mahasiswa dan kakitangan UNISEL.
Pemberian biasiswa kepada pelajar-pelajar cemerlang yang melanjutkan pelajaran di peringkat tahun asas dapat menarik golongan cerdik pandai untuk menuntut di UNISEL segali gus memberi impak positif dalam akademik melalui perkembangan ilmu.
-
Adakah Kerajaan bersedia memberi autonomi kepada UNISEL?
Autonomi bagi merupakan elemen penting bagi memastikan perkembangan pendidikan khususnya di universiti sentiasa bergerak ke hadapan dan terus maju. Seperti mana yang telah dilaporkan bahawa Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia masih belum mendapat tempat di antara 100 teratas bagi Kedudukan Universiti Asia-Pasifik Times Higher Education (THE) 2017 yang diadakan buat julung kalinya. Oleh itu, autonomi juga merupakan salah satu elemen yang boleh menyumbang kepada pencapaian sesebuah universiti.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri tidak terlibat secara langsung dalam sistem pengurusan UNISEL sama ada daripada aspek pengurusan kewangan, pengambilan kakitangan, pelajar, serta program-program yang dijalankan. Kebebasan tersebut dibuat dengan kepercayaan bahawa pihak pengurusan UNISEL mampu menaik taraf universiti di samping mendukung kebebasan akademik. Hal ini telah dibuktikan melalui pelantikan Naib Canselor UNISEL yang baharu dilakukan secara telus melalui jawatankuasa gelintar yang terdiri daripada pakar serta penggiat industri tanpa campur tangan pihak kerajaan negeri. Proses ini dilakukan mengikut standard antarabangsa yang dipraktikkan oleh universiti-universiti ternama dunia.
-
Adakah autonomi memberi kesan terhadap peruntukan dana kepada institusi ini?
Bidang pendidikan merupakan tonggak dalam pembangunan sesebuah negara kerana dapat melahirkan cerdik pandai pada masa hadapan. Oleh itu, bagi memastikan universiti dapat mencapai hasrat tersebut ia memerlukan dana untuk meningkat kualiti pendidikan tersebut. Namun dalam aspek kesan terhadap peruntukan dana apabila autonomi diberikan kepada UNISEL ia tidak memberi kesan kewangan keseluruhannya kerana kerajaan negeri hanya memberi bantuan kewangan berbentuk suntikan modal atau pinjaman bukan keseluruhan pengurusan kewangan UNISEL.