Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
135) PENTADBIRAN YANG EFISYEN
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah kayu ukur yang diletakkan oleh Kerajaan bagi menilai pentadbiran yang efisyen?
Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan Anugerah Pengurusan Pejabat dan Pentadbiran Cemerlang (APPC) yang bertujuan untuk menilai prestasi dan seterusnya mengiktiraf kecemerlangan pengurusan organisasi sektor awam Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. APPC juga merupakan satu platform untuk mewujudkan persaingan sihat antara jabatan/ agensi dalam meningkatkan prestasi sistem pentadbiran serta kualiti penyampaian perkhidmatan secara berkesan.
Sejajar dengan perkembangan serta peningkatan tahap pendidikan dan pengetahuan rakyat, adalah menjadi harapan agar kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh setiap agensi kerajaan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Justeru, penyediaan dan penyampaian perkhidmatan yang cemerlang adalah fokus utama sesuatu organisasi dan APPC merupakan suatu program penilaian berstruktur untuk mengukur tahap kecemerlangan perkhidmatan organisasi. Dalam memastikan APPC adalah sentiasa relevan, berkesan dan mencapai objektif yang ditetapkan, penambahbaikan secara berterusan dilaksanakan mengikut keperluan dan kehendak semasa.
Selain itu, penilaian yang dijalankan oleh badan luar seperti SIRIM QAS International Berhad (MS ISO 9001:2015), Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Penilaian Penarafan Bintang) serta Jabatan Audit Negara (Indeks Akauntabiliti) juga dijadikan kayu pengukur kepada pentadbiran yang efisyen dengan memastikan semua prosedur kerja dipatuhi.
-
Adakah aduan merupakan ukuran utama terhadap keberkesanan pentadbiran Kerajaan?
Ya, aduan merupakan salah satu ukuran utama terhadap keberkesanan pentadbiran Kerajaan. Aduan merupakan sumber maklumbalas rakyat kepada kerajaan. Kebanyakan aduan yang disuarakan merupakan masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat dan memerlukan tindakan segera di pihak kerajaan. Keupayaan kerajaan untuk menangani isu-isu aduan dengan responsif, cepat dan berkesan membolehkan kerajaan melangkah ke fasa urustadbir yang lebih baik dengan mengambil langkah-langkah pro-aktif pencegahan dan penambahbaikan berdasarkan isu aduan yang diterima. Menerusi aduan yang diterima, kerajaan mampu menjadikan isu-isu aduan sebagai sumber inovasi dengan merangka dan menyediakan perkhidmatan yang paling berkesan. Justeru, aduan merupakan salah satu parameter utama untuk menilai keberkesanan pentadbiran kerajaan. Pada masa yang sama, aspek-aspek urustadbir yang lain juga memerlukan penambahbaikan berterusan agar berjalan seiringan dengan kemajuan pengurusan aduan awam.
-
Apakah langkah yang diambil untuk meningkatkan keberkesanan pentadbiran Kerajaan?
Bagi meningkatkan keberkesanan dan memastikan jentera pentadbiran sentiasa cekap dan berkesan, Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memastikan setiap prosedur kerja dan pengurusan kualiti dipatuhi. Sistem penyampaian perkhidmatan awam yang cekap amat diperlukan bagi menjamin kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan. Justeru, setiap agensi amat digalakkan untuk memperkemas serta merekayasa prosedur kerja bagi mempercepatkan proses kerja dan membantu membuat keputusan dengan lebih cepat.
Melalui pengurusan kualiti, usaha berterusan dilaksanakan melalui program-program inovasi, pelaksanaan Amalan Persekitaran 5S/ Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dan pelaksanaan standard pematuhan MS ISO 9001. Selain daripada itu bagi terus menggalakkan dan meningkatkan keberkesanan pentadbiran Kerajaan, beberapa pengiktirafan kecemerlangan telah dilaksanakan melalui Anugerah Pengurusan Pejabat dan Pentadbiran Cemerlang (APPC), Anugerah Inovasi Negeri Selangor dan pengiktirafan kecemerlangan lain yang dilihat sebagai medium bagi menerap dan memperluas budaya kecemerlangan dan keberkesanan pentadbiran kerajaaan. Selain itu, Sasaran Kerja Tahunan (SKT) juga dilihat sebagai salah satu langkah bagi agensi melaksanakan pemantauan dan penilaian secara berterusan.