Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
124) ISU PENGANGGURAN BELIA SELANGOR
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Puan Rodziah Binti Ismail
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah Kerajaan Negeri Selangor mempunyai data golongan belia yang mengganggur di Selangor? Berikan pecahan mengikut jantina dan lokasi PBT
Statistik kadar pengangguran golongan belia diperolehi daripada Penyiasatan Tenaga Buruh (PTB) yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dengan merujuk kepada penduduk yang berumur 15 hingga 64 tahun semasa minggu rujukan.
Berdasarkan maklumat tersebut,bilangan penganggur keseluruhan dan belia di Malaysia dan negeri Selangor bagi tahun 2015 dan 2016 adalah seperti Jadual 1, manakala kadar pengangguran belia di Malaysia dan negeri Selangor mengikut jantina dan strata bagi tahun 2015 dan 2016 seperti Jadual 2. Tiada maklumat data kadar pengangguran spesifik mengikut pecahan lokasi PBT atau daerah.
-
Apakah rancangan khas bagi menangani isu ini terutama dalam menempatkan mereka untuk mengisi pekerjaan di Selangor?
Pelan tindakan Kerajaan Negeri Selangor bagi mengurangkan kadar pengangguran di Selangor adalah seperti berikut:
- Program Karnival Kerjaya (Selangor Job Fair) adalah kerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja Selangor (JTK) dan Job Malaysia iaitu sebuah program yang memberi peluang kepada rakyat Selangor bagi mendapatkan pekerjaan. Program yang dilaksanakan pada 11 Mac 2017 telah berjaya melibatkan bilangan pengunjung seramai 559 orang dengan tawaran kekosongan jawatan sebanyak 1,382.
- Menyediakan pendidikan kemahiran dan vokasional secara percuma di Kolej INPENS bagi belia yang kurang berkemampuan tetapi masih ingin meneruskan pembelajaran tanpa mempunyai latar belakang pendidikan cemerlang.
- Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS) iaitu sebuah program latihan keusahawanan dalam bidang Penternakan, Bakeri, Percetakan Segera, Jahitan Pakaian, Penjagaan Awal Kanak-Kanak, Makanan Ringan (cendol dan laksa), Penyelenggaraan Penyaman Udara, Mutawwif, Rawatan Wanita Selepas Bersalin dan Jurubekam Klinikal Bertauliah. Program ini yang diberikan secara percuma merangkumi beberapa kategori iaitu belia, suri rumah, pesara dan ibu tunggal.
- Program Strategi Peningkatan Kemahiran Belia atau Youth Enhancement Strategy Selangor (YES) yang memberi fokus kepada belia yang tidak mempunyai akademik cemerlang untuk menjalani latihan di Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang-bidang tertentu seterusnya membolehkan mereka mendapat pekerjaan selepas tamat latihan.
- Program Graduate Employability and Enhancement Selangor (PROGRES) adalah sebuah program yang diperkenalkan pada tahun 2016 untuk memberi peluang kepada belia-belia yang masih belum mendapat pekerjaan untuk menjalani latihan meningkatkan kemahiran kebolehpasaran belia khususnya di Selangor termasuk penempatan di syarikat-syarikat terpilih.