Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
87) NAHI MUNGKAR YANG EFEKTIF
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bilakah terakhir semakan jumlah anggota penguatkuasa JAIS dilakukan?
Semakan terakhir dibuat adalah pada tahun 2016 yang lalu.
-
Isu gejala sosial/maksiat dan kemungkaran lazimnya sukar ditangani oleh JAIS kerana dikatakan tidak cukup anggota. Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk mempastikan langkah nahi mungkar berkesan dengan keperluan semasa?
Isu tidak cukup anggota PPA dihadapi oleh semua Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) seluruh Malaysia. Nahi mungkar perlu merujuk kepada penguatkuasaan (dengan tangan), dengan teguran yang baik (dengan lisan) dan paling lemah dengan membenci perbuatan tersebut. Jika nahi mungkar dinilai semata-mata dengan penguatkuasaan dan pendakwaan, keseluruhan umat ini diberi kuasa pun ia akan gagal dilaksanakan. Ini merujuk kepada prinsip seperti dinyatakan di bawah:
- Undang-undang adalah merujuk kepada statut yang dikuatkuasakan. Mana-mana kesalahan yang tidak diliputi tidak boleh dikuatkuasakan.
- Tidak boleh dalam Islam mencari-cari kesalahan yang tersembunyi.
- Tindakan pencegahan telah bermula awal lagi melalui sistem pendidikan agama yang diberi kepada rakyat melalui sistem sekolah agama
- Kesemua bahagian di JAIS turut melaksanakan tugasan nahi mungkar dengan proses-proses berterusan kepada pelbagai golongan sasar.
- Penyiasatan kepada satu fakta dan hal keadaan sesuatu aduan akan dibuat bila aduan didapati bertanggungjawab mengikut undang-undang.
- Penguatkuasa tidak akan membuat operasi memeriksa bilik-bilik hotel atau rumah individu tanpa aduan yang spesifik.
- Pegawai-pegawai Masjid yang diberikan kuasa mengikut undang-undang didapati gagal menjaga tingkah laku anak-anak kariah.
Tiada jaminan keberkesanan dapat diberikan kecuali:
- Usaha-usaha mendidik dapat dipertingkat dan dipelbagaikan
- Memerlukan masyarakat yang peka dengan persekitaran dan bertanggungjawab kepada perbuatan maksiat dan penyelewengan agama
- Tindakan tegas akan dikenakan kepada pegawai penguatkuasa yang cuai/ tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan tugasan.