Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
23) AHLI-AHLI LEMBAGA PENGARAH DI BADAN-BADAN BERKANUN SELANGOR
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Puan Yeo Bee Yin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila bekalkan senarai terkini ahli-ahli lembaga di setiap badan-badan berkanun Selangor
Badan Berkanun ertinya mana-mana pertubuhan perbadanan, tidak kira dengan nama apa ia dikenali, yang diperbadankan menurut peruntukan-peruntukan undang-undang persekutuan dan yang menjadi pihak berkuasa awam atau agensi Kerajaan Malaysia tetapi tidak termasuk pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan perbadanan yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 (Akta Badan Berkanun 1980). Terdapat enam (6) Badan Berkanun di bawah Kerajaan Negeri seperti berikut :-
Bil Anak Syarikat Kerajaan Negeri Selangor 1 Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) 2 Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) 3 Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 4 Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) 5 Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 6 Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS) Senarai terkini Ahli-Ahli Lembaga di setiap Badan-Badan Berkanun Negeri Selangor adalah seperti di Lampiran A.
-
Sila senaraikan pakej terkini untuk pengerusi dan ahli-ahli lembaga pengarah di setiap badan berkanun - gaji, elaun dan share option (jika ada)
Setiap Badan-Badan Berkanun mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk memastikan pengurusan syarikat mengikut etika Code of Corporate Governance yang telah diwujudkan bagi menentukan hala tuju strategik syarikat mengikut acuan sendiri. Oleh yang demikian, sebarang maklumat berkenaan gaji dan faedah-faedah perkhidmatan badan-badan berkanun ini tidak boleh didedahkan kepada pengetahuan umum bagi memelihara kod etika urus tadbir korporat masing-masing. Tambahan pula, maklumat terperinci berkenaan gaji dan faedah-faedah perkhidmatan bagi pengurusan atasan badan-badan berkanun ini merupakan perkara-perkara yang menyentuh kerahsiaan dan maklumat peribadi individu yang berhak untuk tidak didedahkan kepada mana-mana individu/ pihak yang tidak berkenaan.
Walaupun Badan-Badan Berkanun ini merupakan entiti yang dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor, pendedahan maklumat peribadi pihak pengurusan atasan terutamanya yang berkaitan dengan gaji, bonus dan faedah-faedah perkhidmatan adalah dianggap sulit dan rahsia. Walaupun Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 boleh digunakan untuk setiap individu hak untuk mengakses yang munasabah ke atas sebarang maklumat berkaitan Kerajaan Negeri Selangor, perkara berkaitan gaji dan faedah-faedah perkhidmatan ini tertakluk kepada pengecualian maklumat seperti yang termaktub dalam Seksyen 14, Enakmen yang sama.
Namun begitu, sekiranya Y.B. Ahli Dewan Negeri masih ingin mengemukakan pertanyaan berkaitan perkara ini, maka Y.B. Ahli Dewan Negeri bolehlah mengemukakan permohonan secara bertulis kepada Y.A.B. Dato Menteri Besar. Jawapan hanya akan diberikan secara umum sahaja kepada Y.B. yang bertanya sahaja.