Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

164) RUMAH IBADAT SELAIN ISLAM

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Hal Ehwal Selain Islam

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah rumah ibadat selain Islam pada tahun 2010, 2013 dan 2016 mengikut agama

    Berdasarkan rekod inventori Rumah Ibadat Selain Islam yang dikumpul sejak tahun 2010 hingga tahun 2016, terdapat 1,877 buah Rumah Ibadat Selain Islam di Negeri Selangor. Berikut adalah pecahan Rumah Ibadat Selain Islam mengikut Agama :

    BIL PBT RUMAH IBADAT JUMLAH
    KUIL TOKONG GEREJA
    1. MBSA 60 15 12 87
    2. MBPJ 44 52 37 133
    3. MPSJ 68 57 4 129
    4. MPKJ 57 101 11 169
    5. MPS 39 34 1 74
    6. MPK 165 297 13 475
    7. MPAJ 12 55 3 70
    8. MPSP 28 26 3 57
    9. MDKS 190 68 14 272
    10. MDSB 5 47 1 53
    11. MDKL 125 78 9 212
    12. MDHS 50 90 6 146
    JUMLAH 843 920 114 1,877
  2. Apakah prosedur untuk permohonan rumah ibadat selain Islam?

    Semua permohonan pewartaan bagi Rumah Ibadat Selain Islam (RIBI) perlulah dibuat melalui Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) masing-masing dengan mengemukakan dokumen lengkap seperti Surat permohonan rasmi berserta Pelan Akui atau Pelan Pra-Perhitungan. Permohonan yang diterima akan diproses oleh pihak Pentadbir Tanah dengan mendapatkan ulasan daripada beberapa Jabatan Teknikal yang berkaitan seperti Pihak Berkuasa Tempatan(PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan lain-lain.

    Permohonan yang lengkap akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam (HESI) untuk dipertimbangkan sebelum diangkat untuk mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.

    Tindakan mendapatkan pengesahan Pelan Akui daripada pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) perlu dilakukan sekiranya tapak yang diluluskan belum memiliki Pelan Akui.

    Setelah semua dokumen telah lengkap, Pentadbir Tanah akan menghantar makluman pewartaan kepada pihak Kamar Penasihat Undang-Undang untuk tujuan percetakan warta.

    Garis Panduan Berhubung Hal Ehwal Selain Islam Negeri Selangor telah menggariskan beberapa prosedur bagi permohonan Rumah Ibadat Selain Islam seperti berikut:

    1. Setiap permohonan pembinaan bangunan keagamaan hendaklah dipohon atas nama persatuan melalui Pejabat Tanah dan Daerah serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
    2. Keluasan tanah untuk kegunaan bangunan keagamaan selain Islam sedia ada di tapak adalah mengikut keluasan asal bangunan tersebut. Keluasan bangunan keagamaan selain Islam di tapak baru sama ada disediakan oleh kerajaan atau pemaju dan bagi tujuan pemindahan adalah ditetapkan tidak melebihi 10,000 kaki persegi. Walau bagaimanapun, jawatankuasa boleh mempertimbangkan keluasan melebihi 10,000 kaki persegi mengikut kes-kes tertentu.
    3. Tapak bangunan keagamaan selain Islam tidak boleh ditempatkan di sekeliling loji kumbahan atau pencawang TNB.
    4. Penentuan jenis bangunan keagamaan selain Islam adalah ditetapkan mengikut komposisi kaum dan sejarah kewujudan struktur.
    5. Pembangunan yang dibenarkan adalah tertakluk kepada garis panduan dan undang-undang yang diguna pakai oleh PBT.
    6. Bangunan keagamaan yang dipindahkan dicadangkan untuk ditempatkan secara tetap.

Lampiran

Tiada Lampiran.