Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017
144) ISU PENGAMBILAN TANAH SIMPANAN HUTAN MELIBATKAN PROJEK LEBUHRAYA SUNGAI BESI ULU KELANG (SUKE)
Tahun: 2017
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Loh Chee Heng
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah pembinaan Lebuhraya SUKE akan menggunakan sebahagian tanah Hutan Simpan Sungai Puteh Utara dan Selatan, Cheras, Selangor?
Dalam melaksanakan pembinaan projek lebuhraya SUKE ini, terdapat dua (2) kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang terlibat di negeri Selangor. Hutan simpanan kekal ini terletak di bawah Pentadbiran Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah. Berikut adalah jadual hutan simpanan kekal yang terlibat dalam projek lebuhraya SUKE:
Bil. Hutan Simpanan Kekal Luas Keseluruhan Luas Yang Terlibat 1. Hutan Simpan Bukit Sungei Putih Selatan 34.77 ha 21.33 ha 2. Hutan Simpan Bukit Sungei Putih Utara 61.18 ha 4.68 ha JUMLAH 95.95 ha 26.01 ha Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke-3/2016 yang bersidang pada 20 Januari 2016 dan telah disahkan oleh MMKN Ke-4/2016 pada 27 Januari 2016 telah memutuskan supaya:
- pihak SUKE memastikan proses pemansuhan keluar kawasan Hutan Simpanan Kekal dijalankan serentak dengan pewartaan kawasan penggantian untuk Hutan Simpanan Kekal dengan anggaran keluasan yang setara atau lebih dari kawasan yang dipohon. Kawasan tersebut mestilah berhutan dan dipersetujui oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor selaras dengan Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.
- pihak SUKE menggantikan bangunan Pejabat Hutan Daerah dan dua (2) buah rumah pegawai, lapan (8) buah rumah pekerja, sebuah stor besar, dua (2) buah stor kecil, landscape dan lain infrastruktur yang terlibat dengan pembinaan baharu di satu kawasan yang akan ditetapkan oleh pihak Jabatan Perhutanan sendiri.
Pada masa ini, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dalam proses penyiasatan awam sebelum kawasan Hutan Simpanan Kekal yang terlibat dengan projek Lebuhraya SUKE dikeluarkan daripada Hutan Simpanan Kekal.
-
Apakah kesan negatif yang bakal terjadi kepada alam sekitar kerana melibatkan penebangan pokok-pokok hutan?
Terdapat dua (2) kategori guna tanah di kawasan HSK ini yang melibatkan jajaran pembinaan Lebuhraya SUKE iaitu:
Kawasan tanah tidak berhutan
Di mana HSK ini digunakan untuk penempatan bangunan Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah dan Kuarters, permit penggunaan, jajaran TNB dan paip SYABAS. Dianggarkan kawasan ini berkeluasan lebih kurang 12.03 hektar.
Kawasan berhutan
Dianggarkan kawasan ini berkeluasan lebih kurang 13.97 hektar.
Untuk itu, penebangan pokok-pokok hutan hanya melibatkan sebahagian kawasan yang masih berhutan sahaja iaitu lebih kurang 13.97 hektar daripada keseluruhan 26.01 hektar (53.71%) yang terlibat. Projek lebuhraya ini telah mendapat kelulusan laporan Environmental Impact Assessment (EIA) serta Environmental Management Plan (EMP) daripada Jabatan Alam Sekitar. Untuk mengelakkan berlakunya risiko alam sekitar dan juga untuk memastikan kelestarian ekosistem, pelbagai langkah telah diambil bagi meminimakan impak alam sekitar di kawasan hutan yang terlibat seperti berikut:
- Pemilihan jajaran yang paling rapat dengan pinggiran atau sempadan hutan simpan.
- Penggunaan elevated structure bagi semua kawasan hutan untuk mengelakkan penimbusan hutan.
- Melantik Wild Life Consultant bagi memantau proses pemindahan dan pemeliharaan hidupan liar.
- Meminimakan R.O. W dan kerja tanah (cut and fill).
- Menggunakan kaedah pembinaan yang mengurangkan kerosakan pada hutan dan alam sekitar.
- Penggunaan sistem ‘Beam Launcher’ bagi mengurangkan kerosakan Flora dan Fauna.
- Penggunaan sistem ‘Caison Piles-Hand Dug’ bagi mengurangkan jentera berat memasuki kawasan hutan.
- Menggunakan jalan masuk awam yang sedia ada bagi mengurangkan pembinaan jalan dalam hutan.
- Pembinaan ‘Slit Trap’ bagi kawalan lumpur dan cemaran air permukaan ke sungai.
- Sistem perparitan yang sempurna disediakan semasa dan selepas pembinaan bagi kawalan air permukaan.
- Penghijauan semula kawasan pembinaan.
- ‘Slope Protection’ dan ‘Soil Stabilisation’ akan diberi perhatian semasa aktiviti pembinaan terutama di kawasan yang berhampiran dengan penduduk.
-
Sila membekalkan peta susunatur pembinaan laluan SUKE, maklumat kos pembinaan, tarikh mula dan siap kerja pembinaan, maklumat pembinaan interchange dan lokasi pembinaan tol.
Projek Lebuhraya SUKE bukanlah projek Kerajaan Negeri Selangor. Oleh yang demikian, maklumat yang diperolehi oleh Kerajaan Negeri adalah berdasarkan maklumat yang dibekalkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia dan juga konsesi yang terlibat.
Jajaran lebuhraya SUKE ini adalah sepanjang 31.8 km bermula di Seri Petaling, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di hadapan Endah Parade dan berakhir di Bukit Antarabangsa, Ulu Kelang. Peta susun atur pembinaan laluan lebuhraya SUKE adalah seperti di Lampiran. Anggaran kos pembinaan ialah RM4.6 billion dengan tarikh mula pembinaan adalah pada 29 Ogos 2016 dan dijangka siap pada hujung tahun 2019.
Lebuhraya SUKE mempunyai 14 persimpangan bertingkat seperti berikut:
- Persimpangan Bertingkat Sri Petaling
- Persimpangan Bertingkat Taman Bukit Teratai
- Persimpangan Bertingkat Alam Damai
- Persimpangan Bertingkat Taman Permai Jaya
- Persimpangan Bertingkat Cheras – Hartamas
- Persimpangan Bertingkat Jalan Ampang
- Persimpangan Bertingkat Taman Putra
- Persimpangan Bertingkat Ampang Puteri
- Persimpangan Bertingkat Taman Kosas
- Persimpangan Bertingkat Flamingo
- Persimpangan Bertingkat Sg Besi
- Persimpangan Bertingkat Taman Hillview
- Persimpangan Bertingkat Cheras – Kajang
- Persimpangan Bertingkat Ulu Kelang
Lebuhraya ini juga mempunyai 3 plaza tol seperti berikut:
- Plaza tol Alam Damai
- Plaza tol Bukit Teratai
- Plaza tol Ampang