Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017
107) PERUNTUKAN AHLI DEWAN BN
Tahun: 2017
Sesi: 1
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Hasbullah Bin Mohd Ridzwan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah peruntukan tahunan DUN yang diberikan kepada Ahli Dewan Negeri BN digunakan untuk manfaat rakyat?
Kerajaan Negeri telah meluluskan sejumlah RM2,600,000.00 iaitu RM200,000.00 kepada setiap 13 Ahli Dewan Negeri Bukan Kerajaan di Negeri Selangor bagi tujuan pelaksanaan projek kecil dan program mesra rakyat. Peruntukan tersebut diperuntukkan di bawah Vot Menteri Besar dan SUK – P01/01001 – Perkhidmatan Masyarakat mulai tahun 2015.
Pada tahun 2015, tiada perbelanjaan dibuat oleh ADN Bukan Kerajaan dan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 30/2015 yang diadakan pada 17 September 2015 yang telah disahkan oleh MMKN ke 31/2015 pada 22 September 2015 bersetuju meluluskan penyelarasan semula peruntukan ADN Bukan Kerajaan digunakan oleh Pegawai Penyelaras ADN yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri tertakluk kepada perkara berikut:
- i) Bersetuju cadangan penyelarasan semula penggunaan peruntukan pembangunan Perkhidmatan Masyarakat yang disediakan kepada ADN Bukan Kerajaan berjumlah RM200,000.00 boleh digunapakai oleh Pegawai Penyelaras DUN;
- ii) Bersetuju peruntukan pembangunan perkhidmatan masyarakat ADNBukan Kerajaan diguna pakai oleh Pegawai Penyelaras DUN tertakluk apabila peruntukan pembangunan sedia ada kawasan DUN yangdiselia oleh Pegawai Penyelaras DUN tahun 2015 berjumlah RM500,000.00 dan baki peruntukan pembangunan tahun 2014 telah habis dibelanjakan; dan
iii) Perbelanjaan/ penggunaan peruntukan tersebut adalah tertakluk dan mematuhi Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor Bilangan 1 Tahun 2015.
Pada tahun 2016, Kerajaan Negeri meneruskan pemberian peruntukan kepada Ahli Dewan Negeri Bukan Kerajaan dan masih tiada perbelanjaan dibuat sehingga bulan Mac 2016, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 10/2016 yang diadakan pada 16 Mac 2016 dan disahkan oleh MMKN ke 11/2016 pada 23 Mac 2016 bersetuju peruntukan pembangunan perkhidmatan masyarakat berjumlah RM6,000.00 setiap bulan mulai bulan Mac 2016 hingga Disember 2016 (10 bulan) disalurkan ke akaun Pusat Perkhidmatan Masyarakat (PKM) termasuk akaun Ahli Dewan Negeri Bukan Kerajaan bagi tujuan pengurusan pejabat.
Secara ringkasan, sejumlah RM872,259.97 telah dibelanjakan oleh Ahli Dewan Negeri Bukan Kerajaan pada tahun 2016 untuk pengurusan pejabat berjumlah RM720,000.00 oleh 12 Ahli Dewan Negeri Bukan Kerajaan dan baki sebanyak RM152,259.97 dibelanjakan bagi tujuan lain yang memberi manfaat kepada rakyat.
-
Boleh berikan prestasi penggunaan bajet tersebut
Pada tahun 2016, daripada peruntukan yang diluluskan sebanyak RM2,600,000.00 (Ringgit Malaysia: Dua Juta Enam Ratus Ribu Sahaja), sejumlah RM872,259.97 atau 33.5% telah dibelanjakan oleh Ahli Dewan Negeri Bukan Kerajaan sehingga 31 Disember 2016.