Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017
67) TAHUN MELAWAT KLANG 2017
Tahun: 2017
Sesi: 1
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Tuan Tan Pok Shyong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah rancangan pihak Kerajaan Negeri Selangor untuk mempromosikan Klang dan menarik pelancong untuk melawat Klang pada tahun 2017 yang selaras dengan Tahun Melawat Klang 2017?
- Tahun Melawat Klang 2017 telah diwartakan setelah mendapat kunjungan dari Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz pada 8 Disember 2017. Ini kerana Bandar Klang mempunyai banyak monumen sejarah serta pelbagai lokasi-lokasi yang berpotensi untuk menarik pelancong.
Sempena Tahun Melawat Klang 2017, Majlis Perbandaran Klang telah memperuntukkan anggaran sebanyak RM500,000.00 untuk melaksanakan program serta aktiviti bagi menarik pengunjung dari serata dunia.
Majlis Perbandaran Klang telah menubuhkan Jawatankuasa Kecil Pelancongan dengan semua ahli-ahli majlis, pegawai dan kakitangan digerakkan untuk membantu menjayakan Tahun Melawat Klang 2017. Di samping itu juga, Majlis telah bekerjasama dengan Tourism Selangor, Persatuan-persatuan/komuniti dan Badan Bukan Kerajaan untuk merancang dan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti sepanjang Tahun Melawat Klang 2017. Berikut adalah program dan aktiviti yang telah dirancang sepanjang tahun 2017:-
- Royal Klang Town Heritage Walk;
- Jom Berkelah;
- We Love Klang Treasure Hunt;
- Lawatan Ke Pulau Ketam;
- Pertandingan Memancing Selak Tirai;
- Klang Arts Festival;
- Pertandingan Fotografi Jambatan Kota;
- Kayuhan Basikal Klasik;
- We Love Klang Food Festival.
-
Apakah peranan yang dimainkan oleh Majlis Perbandaran Klang terhadap Tahun Melawat Klang 2017?
Peranan Majlis Perbandaran Klang pada Tahun Melawat Klang adalah seperti berikut:-
- Mempromosikan Klang sebagai destinasi pelancongan warisan dalam peta pelancongan dunia. Majlis Perbandaran Klang dengan kerjasama Tourism Selangor telah menyertai pameran pelancongan antarabangsa terbesar dunia di Berlin (Internationale Tourismus- Borse Berlin) pada 8 Mac hingga 12 Mac 2017 bagi tujuan mempromosikan produk pelancongan di Klang seperti Royal Klang Town Heritage Walk.
- Rancangan menaiktaraf kemudahan pelancongan di sekitar destinasi pelancongan (khususnya di sekitar Royal Klang Town Heritage Walk) dengan menyediakan Pelan Projek Pembangunan Pelancongan “Royal Klang Town Heritage Walk” dalam Projek Pembangunan RP3, RMKe-11, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia yang dianggarkan berjumlah RM6.25 juta.
- Menjana peluang pekerjaan dan ekonomi setempat melalui pertambahan jumlah pelancong yang datang ke Klang seperti menyediakan booth-booth jualan kepada peniaga-peniaga tempatan pada seperti karnival-karnival dan festival yang dianjurkan oleh Majlis seperti karnival Food Truck, Klang Arts dan lain-lain.
-
Apakah sasaran yang ditetapkan untuk dicapai bagi Tahun Melawat Klang 2017?
Majlis Perbandaran Klang mensasarkan sejuta (1 juta) pengunjung yang datang melawat Klang tahun 2017 dengan jangkaan 20,000 pengunjung setiap minggu datang ke daerah Klang.