Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017
59) DEWAN-DEWAN YANG ROSAK
Tahun: 2017
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah lama untuk Kerajaan membaiki Dewan yang telah dilaporkan rosak?
Pelaksanaan projek-projek membina baru, membaik pulih, menaiktaraf dewan serbaguna dan balai raya kampung tradisi adalah berdasarkan permohonan yang telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) melalui pejabat daerah sama ada daripada Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Ketua Komuniti, aduan penduduk serta pemantauan yang dibuat sendiri oleh Pejabat Daerah/Tanah dan permohonan tersebut perlu dirujuk kepada Ahli Dewan Negeri di kawasan berkaitan. Pemilihan projek-projek tersebut adalah berdasarkan keperluan untuk baik pulih dan tahap kritikal sesuatu permohonan projek. Sehubungan itu, tiada tempoh tertentu untuk tujuan pemilihan dan tempoh membaiki bagi projek yang diluluskan pula adalah berdasarkan kepada tahap kerosakan dewan tersebut.
-
Berapakah bajet diagihkan untuk penyelenggaraan dan pembaikan dewan?
Bagi tahun 2017, peruntukan sebanyak RM10 juta di bawah Vot P01/02005 – Kemudahan Awam/ Asas Desa untuk projek-projek membina baru, membaik pulih, menaiktaraf dewan serbaguna dan balai raya kampung tradisi. Setakat Mac 2017, sebanyak RM7,650,566.11 telah disalurkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah di Negeri Selangor.
Manakala, peruntukan sebanyak RM5 juta di bawah Vot P01/09001 – Kemudahan Asas PBT telah diperuntukkan bagi tujuan penyelenggaraan medan selera dan tandas awam di kawasan PBT. Setakat Mac 2017, sebanyak RM637,780.60 telah disalurkan kepada PBT di Negeri Selangor.
Selain itu, bagi tahun 2017 peruntukan RM4.5 juta Vot P01/09005 – Kerajaan Tempatan disalurkan bagi projek dan program di bawah peruntukan Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan seperti menaiktaraf dewan, menaiktaraf longkang, pemberian tong sampah, pembinaan padang cergas, menaiktaraf kemudahan OKU, pengurusan sampah pukal dan lain-lain. Setakat Mac 2017, sebanyak RM348,164.75 telah disalurkan kepada PBT di Negeri Selangor.