Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

49) BAS SMART SELANGOR DI LUAR BANDAR

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri berhasrat menambahkan laluan Bas Smart Selangor di luar bandar? Jika ya, nyatakan butir-butirnya

    Kerajaan Negeri telah memperluaskan perkhidmatan Bas Smart Selangor di kawasan luar bandar pada tahun 2016 iaitu di kawasan Selayang, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sabak Bernam. Prestasi perkhidmatan bas ini di kawasan luar bandar adalah sangat menggalakkan dengan jumlah penumpang pada tahun 2016 iaitu dari bulan Mei 2016 hingga 31 Disember 2016 adalah sebanyak 917,742 orang. Atas dasar keprihatinan Kerajaan Negeri untuk memperbanyakkan laluan Bas Smart Selangor, peruntukan bagi tahun 2017 telah dipertingkatkan daripada RM10 juta kepada RM20 juta bagi penambahbaikan perkhidmatan bas ini. Oleh itu, dijangka pada pertengahan tahun 2017, kawasan-kawasan tersebut akan turut menerima laluan baru ataupun tambahan bas di laluan sedia ada bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

    Pada tahun 2017 juga, konsep 1 plus 1 telah disyaratkan kepada beberapa PBT yang lain supaya lebih banyak laluan baru dapat diperkenalkan untuk memenuhi keperluan dan kemudahan rakyat di Negeri Selangor. Berdasarkan konsep ini, Kerajaan Negeri akan menanggung kos bagi satu laluan baru dengan mensyaratkan PBT untuk menanggung kos bagi satu laluan baru yang lain. Justeru itu juga, sebelas PBT telah pun membentangkan tiga (3) cadangan baru semasa Retreat Jawatankuasa Tetap Pengangkutan Negeri Selangor yang diadakan pada 6-7 Mac 2017 yang lalu untuk dilaksanakan pada tahun 2017. Laluan-laluan baru ini dijangka akan memulakan operasi pada bulan Julai 2017.

  2. Nyatakan peruntukan Kerajaan Negeri kepada PBT di luar bandar untuk pembinaan pondok perhentian Bas Smart Selangor

    Pada bulan Disember 2016, Jawatankuasa Tetap Pengangkutan Negeri Selangor telah menyalurkan sejumlah peruntukan kepada sebelas PBT termasuk enam PBT di luar bandar iaitu Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Daerah Sabak Bernam, Majlis Daerah Kuala Langat, Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor untuk pembinaan pondok atau perhentian bas di sepanjang laluan perkhidmatan Bas Smart Selangor. Peruntukan yang disalurkan adalah berdasarkan semakan dan penelitian anggaran kos bagi setiap hentian sebanyak RM20,000.00. Jumlah keseluruhan peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri bagi tujuan tersebut adalah sebanyak RM480,000.00. Pecahan peruntukan untuk setiap PBT luar bandar adalah seperti di Jadual 1.

     

    Jadual 1. Pembahagian Peruntukan Untuk Setiap PBT

     

    Bil. PBT Kuantiti Cadangan Peruntukan

    (RM)

    1. Majlis Perbandaran Selayang 3 60,000.00
    2. Majlis Perbandaran Sepang 3 60,000.00
    3. Majlis Daerah Sabak Bernam 3 60,000.00
    4. Majlis Daerah Kuala Selangor 5 100,000.00
    5. Majlis Daerah Kuala Langat 5 100,000.00
    6. Majlis Daerah Hulu Selangor 5 100,000.00
      Jumlah 24 480,000.00
  3. Nyatakan jumlah penumpang Bas Smart Selangor di luar bandar sehingga bulan Disember 2016.

    Sama seperti di SUB (a)

Lampiran

Tiada Lampiran.