Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017
43) HAL EHWAL HINDU DI SELANGOR
Tahun: 2017
Sesi: 1
Isu: Hal Ehwal Selain Islam
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri berhasrat menubuhkan satu penubuhan yang setaraf dengan Lembaga Wakaf Hindu Selangor (Selangor Hindu Endowment Board)? Jika ya, nyatakan butir-butirnya
Cadangan Penubuhan Selangor Hindu Endowment Board (SHEB) telah dicadangkan oleh Jawatankuasa Penaja Selangor Hindu Endowment Board dan beberapa ahli-ahli badan bukan kerajaan (NGO) India dan Hindu termasuk Malaysia Hindu Sangam melalui beberapa mesyuarat bersama Exco Kerajaan Negeri Selangor YB Tuan Ganabatirau Veraman.
Objektif utama penubuhan SHEB adalah untuk mengurus, mengawal, menyelia serta menyelaraskan segala hal ehwal berkaitan dengan Keagamaan Hindu di bawah satu Lembaga yang dipertanggungjawabkan. Jawatankuasa penaja ini telah mencadangkan SHEB sebagai badan berkanun yang berfungsi sebagai agensi yang membantu Kerajaan Negeri Selangor untuk menyelaraskan hal ehwal Hindu termasuk kuil, perkuburan dan Krematorium, Penyelidikan dan Pembangunan, Pendidikan dan Kursus Keagamaan, Kebajikan dan Sosial dan Kebudayaan, Kesenian & Warisan.
Kerajaan Negeri telah menyediakan satu kertas pertimbangan untuk mewujudkan Lembaga Endowmen Hindu Selangor (SHEB) dan telah mengangkat kertas pertimbangan tersebut kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) setelah mendapat ulasan daripada pihak Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri dan Perbendaharaan Negeri Selangor.
MMKN ke 5/2015 yang diadakan pada 4 Februari 2015, kertas MMK.No 2/5/2015 telah menangguhkan permohonan tersebut untuk tindakan pihak YB Ganabatirau meneruskan perbincangan dan mendapatkan pandangan lanjut daripada kalangan panel peguam pakar mengenai pandangan perundangan. Dalam masa yang sama juga, pihak Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri telah mengemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan pandangan kedua berkaitan isu cadangan penubuhan SHEB.
Ulasan dari Jabatan Peguam Negara melalui surat bertarikh 26 Oktober 2015 kepada Kamar Penasihat Undang-undang Negeri turut bersetuju dengan pandangan Kamar bahawa Dewan Undangan Negeri Selangor tidak mempunyai kuasa perundangan bagi maksud penubuhan SHEB. Kuasa untuk mentadbir hal berhubung “Hindu Endoment” adalah merupakan kuasa eksekutif Kerajaan Persekutuan dan bukannya Kerajaan Negeri.
Sehubungan itu, satu surat telah dihantar oleh pejabat YB Tuan Ganabatirau kepada YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan salinan kepada YB Datuk Seri Mah Siew Keong selaku Menteri yang mengurus Hal Ehwal Selain Islam di peringkat persekutuan untuk mendapatkan pandangan untuk penubuhan SHEB dari segi ‘Political Point’ dan keperluan semasa.
Kerajaan Negeri Selangor mempunyai satu Jawatankuasa Khas bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan keagamaan Selain Islam iaitu Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam (HESI) yang dipengerusikan oleh tiga (3) orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang terdiri daripada pelbagai agama. Ahli Yang Berhormat tersebut terdiri daripada YB Dato’ Teng Chang Khim, YB Puan Elizabeth Wong Keat Ping dan YB Tuan Ganabatirau a/l Veraman. Peranan utama Jawatankuasa HESI adalah seperti berikut :
i) Menyelesaikan masalah isu-isu mengenai bangunan keagamaan selain Islam;
ii) Memperakukan permohonan pewartaan tanah bagi tapak baru dan penggantian tapak bangunan keagamaan selain Islam;
iii)Membincangkan dan memutuskan hal-hal berkaitan tanah perkuburan selain Islam
iv) Menyalurkan peruntukan kewangan kepada setiap bangunan keagamaan bergantung kepada jumlah peruntukan semasa yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri; dan
v) Memperakui tindakan penguatkuasaan ke atas rumah ibadat selain Islam dan tempat penyembahan dibina tanpa kebenaran di negeri Selangor.
Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri merasakan kewujudan Jawatankuasa Khas ini mencukupi untuk membincangkan dan menjaga kemaslahatan masyarakat pelbagai kaum.
-
Nyatakan peruntukan Rumah Ibadat Bukan Islam Kerajaan Negeri yang telah disalurkan kepada kuil-kuil di Selangor mengikut tahun sejak tahun 2008
Bermula tahun 2008 hingga tahun 2016, Kerajaan Negeri mula memperuntukkan sumbangan bantuan kewangan kepada bangunan keagamaan selain Islam. Bagi kategori kuil dan gudwara, sebanyak RM16,090,230.00 telah di peruntukan. Berikut adalah butiran peruntukan yang telah disalurkan kepada kuil dan gudwara di Selangor sejak tahun 2008 hingga tahun 2016.
BIL. TAHUN KUIL (RM) GUDWARA (RM) JUMLAH PERUNTUKAN (RM) 1. 2008 1,749,950.00 0.00 1,749,950.00 2. 2009 2,528,500.00 128,000.00 2,400,500.00 3. 2010 2,054,000.00 120,000.00 1,934,000.00 4. 2011 1,826,500.00 10,000.00 1,816,500.00 5. 2012 2,760,000.00 110,000.00 2,650,000.00 6. 2013 1,262,500.00 70,000.00 1,192,500.00 7. 2014 1,030,000.00 20,000.00 1,010,000.00 8. 2015 1,628,380.00 120,000.00 1,748,380.00 9. 2016 1,748,400.00 160,000.00 1,588,400.00 JUMLAH 16,588,230.00 738,000.00 16,090,230.00 Jadual 1: Peruntukan kepada kuil dan gudwara sejak tahun 2008 hingga tahun 2016.