Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

29) FOOD STAMP

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Puan Yeo Bee Yin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah yang telah dibelanja untuk program food stamp sejak permulaan program ini?

    Program pemberian bantuan makanan asas ‘Smart Selangor Food Stamp’ telah mula dilaksanakan sejak Jun 2016 kepada 100 buah keluarga termiskin dari setiap DUN di Selangor dengan nilai RM50.00 bagi setiap set barangan bantuan makanan asas yang diberikan dan menjadikan jumlah perbelanjaan program ini bagi tahun 2016 adalah sebanyak RM2,116,800.00.

    Manakala bagi tahun 2017 (sehingga Mac 2017), sebanyak RM825,000.00 (RM50.00 x 100 buah keluarga termiskin x 55 DUN x 3 bulan) telah dibelanjakan bagi tujuan pelaksanaan program ini kepada penerima-penerima bantuan yang layak dan mematuhi syarat yang telah ditetapkan.

  2. Senaraikan syarikat-syarikat yang membekalkan barangan-barangan ini

    Melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 20/2016, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk melantik Hijrah Selangor sebagai pengendali yang bertanggungjawab membekal dan menghantar barangan makanan asas ke setiap PKM dengan baik. Pihak Hijrah juga bertanggungjawab dalam memastikan barangan yang dibekalkan adalah pada harga jualan terkawal, mutu dan kualiti yang sama dengan pasaran semasa serta membuat penghantaran ke PKM masing-masing sekurang-kurangnya sehari sebelum ‘Hari Food Stamp’ yang telah ditetapkan iaitu pada hari Jumaat minggu ketiga pada setiap bulan di lokasi yang telah ditetapkan oleh pihak PKM.

  3. Jelaskan demografi penerima-penerima food stamp termaksud saiz keluarga

    Bantuan ini diberikan kepada penerima tanpa mengira bangsa. Ianya selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu keluarga miskin dari seluruh Negeri Selangor yang lebih memerlukan bantuan makanan asas serta membantu meringankan kos sara hidup yang kian meningkat. Pelaksanaan program ini juga sedikit sebanyak membantu rakyat Selangor kerana program ini merupakan penjimatan dan jaminan kepada mereka dengan menerima bantuan makanan asas secara bulanan di samping menggunakan gaji yang diterima bagi bulan tersebut untuk memenuhi keperluan lain keluarga berkenaan. Secara keseluruhan penerima bantuan ini adalah terdiri daripada kalangan bangsa Melayu, diikuti dengan penerima bangsa Cina dan India.

    Kebanyakan penerima bantuan ini bukan sahaja daripada golongan keluarga yang mempunyai ramai tanggungan, namun turut diberi perhatian kepada keluarga yang mempunyai tanggungan yang sedikit dan pendapatan seisi rumah sesebuah keluarga yang kurang daripada RM1,500.00 sebulan. Walau bagaimanapun, keluarga yang mempunyai tanggungan ramai adalah diberi keutamaan. Pemilihan calon penerima bantuan ini adalah dilakukan oleh Pusat Khidmat Masyarakat di setiap DUN masing-masing.

Lampiran

Tiada Lampiran.