Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

9) PEWARTAAN JETI BAGAN SEKINCHAN

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila huraikan apakah status terkini proses pewartaan jeti-jeti tersebut?

    Pejabat Tanah Sabak Bernam telah menerima permohonan pewartaan pada 15 Julai 2016.

    Pada masa ini, kertas ringkasan telah disediakan untuk diangkat bagi pertimbangan dan kelulusan Y.A.B. Dato’ Menteri Besar.

    Kelewatan proses permohonan ini adalah disebabkan proses pindaan terhadap pelan yang dikemukakan oleh pihak pemohon. Pelan pindaan terakhir hanya diterima oleh pejabat ini pada awal bulan Disember 2016 selepas 3 kali pindaan pelan dilakukan oleh pihak pemohon.

  2. Sila nyatakan bilakah proses permohonan jeti-jeti yang dikenalpasti oleh LUAS akan diluluskan?

    Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil 21/2015 memutuskan isu perihal tanah diselesaikan melalui Strategi Penyelesaian Isu Jeti di mana tapak jeti perlu diwartakan di bawah Seksyen 62, KTN dan pajakan diberikan selaras dengan Seksyen 63.

    Memandangkan proses pewartaan mengambil masa yang lama, Pihak Berkuasa Negeri (PBN) juga bersetuju untuk memberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) selama setahun sehingga proses pewartaan dan pajakan selesai dijalankan. Untuk tahun 2017, PBN telah memberikan kelulusan LPS bagi permohonan jeti komersial. LUAS akan mengeluarkan lesen pendaftaran jeti apabila LPS diluluskan.

             Pihak LUAS bersama pejabat ini dan MDSB telah melakukan proses inventori dan telah mengenalpasti sejumlah 89 buah jeti (pelantar ikan) yang layak untuk dipertimbangkan permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) di bawah Seksyen 65 KTN.

    Bagi permohonan LPS, kertas ringkasan untuk pertimbangan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) sedang disediakan oleh pejabat ini dan akan dikemukakan kepada PTGS.

  3. Sila kemukakan berapakah caj tahunan bagi jeti-jeti tersebut yang bakal dikenakan oleh pihak Kerajaan?

    Bancian semula jeti telah selesai dijalankan bagi 5 daerah dan sedang dimuktamadkan bagi kawasan Pulau Ketam. Satu bengkel bagi membincangkan berkenaan penyelesaian isu jeti dijadualkan pada bulan April 2017.

    PBN memutuskan bahawa cadangan LUAS untuk mengenakan caj RM600 setahun terhadap jeti nelayan disemak semula dengan mengambilkira pandangan para nelayan dan pihak-pihak yang berkepentingan semasa inventori dan bengkel. Pelaksanaan caj tersebut tidak dilaksanakan sehingga selesai inventori dijalankan.

    Bayaran LPS adalah merujuk kepada Pekeliling PTGS Bil. 4/2015 di mana 30% x Nilai Sewaan Tanah Semasa* x 12 bulan @ Tempoh mengikut bulan sebelum tahun berakhir x Luas. Bayaran LPS bagi jeti di kawasan Bagan Sekinchan adalah dianggarkan di antara RM177.00 sehingga RM4,728.00 setahun mengikut keluasan masing-masing.

    • Nilai Sewaan Tanah Semasa adalah nilaian yang dikenakan berdasarkan nilaian sewaan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
    • Pemohon juga dikenakan denda sebanyak RM200.00 setahun sekiranya mengusahakan tanah tersebut sebelum​ kelulusan LPS.

Lampiran

Tiada Lampiran.