Kunjungan daripada delegasi Vietnam ke Dewan Negeri Selangor sempena lawatan kerja YB Nguyen Khac Dinh, Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan Vietnam ke Parlimen Malaysia

Shah Alam, 8 Ogos: Dewan Negeri Selangor telah menerima delegasi dari Viet nam sempena lawatan kerja Yang Berhormat Nguyen Khac Dinh, Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan Viet nam (Vice President of The National Assembly of Viet nam), diiringi oleh Yang Berhormat Dinh Ngoc Linh, Duta Besar Republik Sosialis Viet nam ke Malaysia, bersama pegawai-pegawai dari Parlimen Malaysia.

Ketibaan rombongan pada jam 2:30 petang di hadapan bangunan Wisma Dewan Negeri Selangor telah disambut mesra oleh YB Speaker Dewan Negeri Selangor sebelum mereka dibawa ke Bilik Gerakan untuk sesi perkongsian bersama YB Tuan Speaker, YB Tuan Lau Weng San.

Lawatan tersebut dimulai dengan ucapan aluan serta penerangan mengenai Dewan Negeri Selangor oleh YB Tuan Speaker, diikuti dengan ucapan daripada Yang Berhormat Nguyen Khac Dinh. Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan Viet nam tersebut menyatakan penghargaan kepada Dewan Negeri Selangor atas kesudian menerima kunjungan kerja beliau.

Antara perkara yang disentuh oleh Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan Viet nam adalah harapan bahawa lawatan kerja ini dapat meningkatkan hubungan bilateral antara Malaysia dan Viet nam. YB Speaker turut menekankan aktiviti pelancongan dan pertukaran budaya yang boleh dilaksanakan untuk mencapai hasrat tersebut.

Kemudian, delegasi telah dibawa melawat ke Chamber Persidangan Dewan Negeri Selangor oleh YB Speaker sebelum acara minum petang di Ruang Makan Wisma Dewan Negeri Selangor.

Turut berlangsung adalah sesi pemberian cenderamata kepada Yang Berhormat Nguyen Khac Dinh sebelum ahli-ahli rombongan dibawa ke Bangunan Dewan Negeri Selangor yang terdiri daripada Galeri dan Chamber untuk sesi lawatan.