[Bernama] Bangunan Baharu Di Selangor Perlu Bina Kawasan Tadahan Air Mulai Tahun Depan

Shah Alam, 20 Nov (Bernama) – Kerajaan Selangor bakal memperkenalkan syarat kepada pemaju untuk membina kawasan tadahan air ribut (OSD-On Site Detention) di setiap bangunan baharu mulai tahun depan. Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim berkata syarat baharu itu akan memastikan setiap bangunan berstrata di Selangor memiliki OSD sendiri, yang sekali gus dapat mengawal banjir.

Beliau berkata konsep baharu itu diperkenalkan supaya air dapat diuruskan di tempat asal lagi, sebagai contoh air yang banyak turun di bangunan 20 tingkat, seharusnya dikumpul terlebih dahulu di OSD sebelum perlahan-lahan dilepaskan ke sungai atau parit.

“Cara paling baik adalah kita tahan air, dan lepaskan bila sungai sungai dan parit sudah surut,” katanya ketika
menjawab pertanyaan Noor Najhan Mohamad Salleh (PN-Sementa) berhubung ‘Amalan Terbaik’ ntuk mengatasi masalah banjir di Selangor.

Beliau berkata inisiatif itu akan dibuat secara formal dan teratur serta dijalankan serentak di semua kawasan pihak berkuasa tempatan.

‘Kita mahu tengok dari segi teknikal dan perundangan terlebih dahulu. Semua bangunan jenis strata, jika tiada kawasan lapang, boleh sediakan tangki besar,” katanya.

Sementara itu Izham berkata Selangor bakal membina empangan bersambung (barrage) di Sungai Kapar Kecil, dekat sini bagi mengawal air banjir.

Ketika ditemui di luar persidangan beliau menjelaskan pembinaan empangan yang melibatkan kos RM220 juta oleh
Kerajaan Persekutuan itu akan bermula tahun hadapan dan dijangka mengambil masa selama dua hingga tahun
untuk disiapkan,

‘Barrage ini memiliki pintu air yang bersambung, ia dibuat kerana kawasan muka air terlalu lebar, jadi kita buat banyak pintu air. Peruntukan telah pun lulus dan kita akan bina di Kapar terlebih dahulu,” katanya.

Sumber: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2246250