[Utusan] Selangor kekal negeri pilihan pelabur

SHAH ALAM: Selangor kekal sebagai negeri pilihan pelabur tempatan dan asing walaupun negeri ini berdepan kes harian pandemik Covid-19 berdasarkan pencapaian melebihi sasaran RM12 bilion bagi 2020 dan tahun ini.

Petaling mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi berbanding daerah lain di Selangor dengan nilai pelaburan melebihi RM5.934 bilion, diikuti Kuala Langat melebihi RM5.78 bilion dan Klang melebihi RM3.477 bilion.

Hal demikian disumbang oleh peranan Kerajaan Persekutuan dan negeri menerusi pakej rangsangan ekonomi bagi memastikan kelangsungan persekitaran perniagaan di Selangor.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa syukur Selangor kekal menjadi pilihan pelabur berikutan terdapat kemudahan infrastruktur serta dasar kerajaan yang memudahkan persekitaran perniagaan.

“Kelebihan daya saing ini menyaksikan prestasi pelaburan dan perindustrian bagi tahun 2020 merekodkan pencapaian yang cemerlang yang mana Selangor mencatatkan jumlah pelaburan tinggi berbanding negeri lain.

“Sebanyak 324 projek perkilangan diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM18.43 bilion. Jumlah ini sebanyak RM6.95 bilion atau 30.77 peratus daripada pelaburan tempatan dan sebanyak RM11.48 bilion atau 62.3 peratus daripada pelaburan asing.

“Jepun masih merupakan pelabur utama diikuti pelabur dari Belanda dan China. Di sebalik kemelut pandemik Covid-19, beta dimaklumkan sebanyak 19,950 potensi peluang pekerjaan berjaya diwujudkan hasil daripada projek perkilangan yang diluluskan di Selangor,” titah baginda dalam ucapan Perasmian Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-14 hari ini.

Baginda bertitah, tumpuan pelaburan di Selangor turut disumbang oleh pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 di Selangor yang didukung menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Program Vaksin Selangor (SelVax).

“Beta difahamkan kadar vaksinasi di Selangor pada ketika ini adalah yang tertinggi selaras dengan kadar kepadatan penduduk dan bilangan kes yang tinggi.

“Setakat 13 Ogos sebanyak 5,874,162 dos vaksin diberikan kepada rakyat beta melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Ini bermakna 77.64 peratus populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala 46.05 peratus lengkap menerima dua dos.

“Beta turut dimaklumkan sebanyak 276,926 vaksin melalui SelVax diberikan kepada rakyat beta Beta yakin dengan melaksanakan program PICK dan SelVax bakal memberikan manfaat kepada rakyat Selangor,” titah baginda.

Selangor antara negeri terawal membuka kembali Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Johor pada 15 Ogos lalu.

Sidang DUN Selangor akan berlangsung selama sembilan hari bermula hari ini sehingga 3 September hadapan.

Sumber: https://www.utusan.com.my/terkini/2021/08/selangor-kekal-negeri-pilihan-pelabur/

Penulis: Mohamad Athir Ismail